esasterawan.net

 

.Al-Quran Online

Laman utama
Maklumat peribadi
Weblog
Karya
Foto
Maklumat sisi
Promosi
Papan nota

info

Nama penuh

Laman web lain
http://

Laman web kegemaran

weblog • 27 • lihat arkib weblog

Isnin, 22 Mei 2006
Pelajaran 17

Alif :: Alif Hamzah Washol (3)

Perbincangan tentang AHW dilanjutkan lagi dengan melihat cara menampakkan fungsi AHW untuk kalimah fiil Amar. Bagi kalimah yang dikelaskan sebagai fiil amal, huruf pertama ialah AHW, huruf kedua berbaris sukun (mati) atau syaddah, manakala huruf ketiga berbaris fathah (atas), katsrah (bawah) atau dhommah (depan).

Kaedah menampakkan fungsi AHW pada kalimah fiil Amar mengikut ketetapan ini:

(i) Sekiranya huruf ketiga dalam kalimah itu berbaris fathah atau katsrah, alif ditanda dengan baris fathah.

(ii) Sekiranya huruf ketiga dalam kalimah itu berbaris dhommah, alif ditanda dengan baris dhommah.

Sebagai contoh kita lihat permulaan ayat-ayat 2 surah al-Munafiquun (kalimah yang sama terdapat pada ayat 31 surah At-Taubah), ayat 1 surah Al-Anbiyaa, ayat 41 surah At-Taubah dan ayat 9 surah Yusuf. Contoh ini dikemukakan kerana kalimah-kalimah tersebut terletak di permulaan ayat, dan biasanya dibaca dengan mengibda'kan (memulakan) bacaan dengan kalimah tersebut.

Contoh 1 Pel. 17

Sekiranya bacaan washol, bunyi huruf sebelumnya dimasukkan terus ke dalam huruf kedua dalam kalimah fiil Amar, contohnya:

Contoh 2 Pel. 17

Dalam pelajaran 18, kita akan membincangkan kaedah membaca kalimah yang berakhir dengan tanwin yang bersambung dengan kalimah yang mempunyai huruf AHW, insyaAllah.

Terma-terma seperti AHW, menampakkan fungsi AHW dan jenis kalimah yang mengandungi huruf AHW boleh dirujuk dalam Pelajaran 15. Sila klik ikon weblog di sebelah kiri laman ini.



Disumbangkan pada 7:07:42 AM • Lihat komen (2) / Tambah komen


Selasa, 16 Mei 2006
Pelajaran 16

Alif ::: Alif Hamzah Washol (2)

Dalam pelajaran yang lalu, kita telah membincangkan cara-cara menampakkan fungsi AHW bagi kalimah isim makrifah. Isim makrifah dicam dengan melihat permulaan sesuatu kalimah iaitu dimulai dengan huruf alif (AHW) dan lam. Jika perbincangan tentangnya dikembangkan lagi (dalam bab alif-lam), kalimah isim makrifah terbahagi kepada dua hukum tajwid yang lain: (1) Alif Lam Qamariah. (2) Alif Lam Syamsyiah. (Perbincangan tentang kedua-dua alif lam ini tidak akan dipanjangkan di sini, buat masa ini.)

Sekarang mari kita lihat perbincangan 'menampakkan fungsi AHW bagi kalimah yang tergolong dalam kategori isim isyarah'. (Sila rujuk jenis-jenis kalimah yang mengandungi AHW dalam Pelajaran 15). Bagi isim isyarah kaedahnya sama sahaja iaitu meletakkan baris fathah ketika memulakan (ibtida') bacaan dengan kalimah tersebut. Contoh yang ditunjukkan di bawah membincangkan kedua-dua kaedah pembacaan bergantung kepada kedudukan kalimah isim isyarah di dalam sesuatu ayat.

Contoh pel 16

Bagi contoh (a) dan (b), kalimah-kalimah isim isyarah (yang bergaris) terletak di permulaan ayat. Maka bacaannya menjadi (a) Alladziina (b) Allatii, manakala contoh (c) dan (d) merujuk kepada kalimah isim isyarah di pertengahan ayat. Apabila berada di pertengahan ayat dan bacaannya dalam keadaan washol (disambung dari kalimah sebelumnya), fungsi AHW ditiadakan. Maka bacaan bagi (c) illal-laaaii, dan (d) huwal-ladzii; masing-masing.

Terma-terma seperti AHW, menampakkan fungsi AHW dan jenis kalimah yang mengandungi huruf AHW boleh dirujuk dalam Pelajaran 15. Sila klik ikon weblog di sebelah kiri laman ini.



Disumbangkan pada 10:04:10 PM • Lihat komen (0) / Tambah komen


Rabu, 10 Mei 2006
Pelajaran 15

Alif ::: Alif Hamzah Washol (1)

Alif Hamzah Washol (AHW) ialah huruf alif yang bertanda kepala shaad.

AHW

Huruf AHW ditemui dalam al-Quran pada tiga tempat sama ada pada kalimah yang menunjukkan perkataan itu merupakan

(i) Isim Makrifah

(ii) Isim Isyarah

(iii) fiil Amar.

kalimah AHW

Isim Makrifah ialah kata nama khas yang dimulai dengan huruf 'alif' dan 'lam' seperti kalimah Alhamdu dalam ayat 2 surah al-Fatihah. Manakala isim isyarah ialah kata nama rujukan yang bermaksud 'orang yang' seperti Alladzi, allati, Allaa-i, dll. Dan kalimah fiil amar merupakan kata perintah yang terbit daripada perkataan asas kata kerja. Secara umum, huruf AHW hanya dinampakkan fungsinya apabila mengibdakkan (memulakan) bacaan pada kalimah yang mempunyai AHW. Menampakkan fungsi bermaksud membariskan huruf AHW ketika membaca. Sebaliknya apabila bacaan dibaca secara sambung, fungsi itu dinafikan seolah-olah huruf AHW tidak wujud.

Dalam pelajaran ini, perbincangan akan ditumpukan kepada cara membaca kalimah isim makrifah.

Apabila bacaan

(i.a) diibdak (dimulakan) dengan kalimah ini, secara automatik huruf AHW ditanda dengan baris fathah seperti contoh kalimah al-hamdu. Makanyanya apabila memulakan ayat kedua ini (tanpa menyambung dari ayat 1) bacaannya menjadi alhamdu bukan ilhamdu atau ulhumdu.

(i.b) disambung dari ayat sebelumnya, secara automatik fungsinya dihilangkan. Bacaannya menjadi (dengan mengambil contoh lengkap ayat 1 dan 2 surah al-Fatihah) - 'Bismillaahirrahmaanirrahiimilhamdulillaahi.......'. Perhatian: Di sini bunyi huruf miim yang bertanda katsrah dimasukkan secara terus ke dalam huruf lam mati pada kalimah al-Hamdu. Kebanyakan orang yang tidak faham kaedah ini akan membaca 'Bismillaahirrahmaanirrahiimi-alhamdulillaahi.....' dan bacaan seperti kurang tepat.

ayat 1 & 2 al-Fatihah

Ayat 1 & 2 al-Fatihah.



Disumbangkan pada 8:11:33 AM • Lihat komen (7) / Tambah komen


Ahad, 7 Mei 2006
Pelajaran 14

Alif :: Bab Alif Hamzah Qatho'

Dalam al-Quran terdapat dua jenis Alif yang utama iaitu

i. Alif Hamzah qatho' (ejaan qatho' ialah qaaf-thaa'-'ain)

ii. Alif Hamzah Washol (ejaan washol ialah wau-shaad-lam)

alif

Alif Hamzah Qatho'. Kalimah qatho' atau qat-'ie bermaksud tetap iaitu perkara yang sudah tidak boleh dipersoalkan seperti hukum-hakam Islam yang tetap. Qatho' dalam ilmu tajwid merujuk kepada huruf alif yang berbaris tunggal sama ada fathah (baris di atas), katsroh (baris di bawah), dhommah (baris di hadapan) atau tanwin (baris dua).

Membaca kalimah yang mempunyai alif hamzah qatho' ialah dengan cara membunyikan bacaan dengan jelas mengikut baris yang terdapat padanya tanpa mengubah fungsi baris.

i.a. Membunyikan alif hamzah qatho' yang berbaris tunggal.

Baris Fathah bunyinya - 'a', Katsroh - 'i' atau sama seperti anda menyebut huruf 'e'. Manakala dhommah - 'u', sebut 'u' seperti sebutan baku perkataan 'ulat'.

i.b. Membunyikan alif hamzah qatho' yang bertanda tanwin.

Baris Fathataini (baris dua di atas) - bunyinya 'an'. Baris Katsrataini (baris dua di bawah) - bunyinya 'in'. Manakala dhommataini (baris dua di hadapan) 'un' seperti anda menyebut perkataan Inggeris own.

Perkara yang perlu diperhatikan oleh pembaca al-Quran. Kebanyakan orang mengambil mudah sehingga melupuskan fungsi alif hamzah qatho' terutama apabila kalimah tersebut mengandungi dua alif hamzah qatho' secara berjujukan. Contohnya kalimah-kalimah

cth Pel 14

Dalam kalimah ini, sebutan setiap alif yang bertanda mestilah jelas. Meninggalkan salah satu sebutan pada mana-mana huruf sama ada huruf yang pertama atau kedua akan merosakkan makna ayat. Dalam contoh yang dinyatakan ini, alif hamzah qatho' yang pertama membawa makna persoalan hal atau 'adakah', 'apakah'.

Dalam siri akan datang kita akan membincangkan pula huruf alif hamzah washol, insyaAllah.



Disumbangkan pada 9:06:42 AM • Lihat komen (0) / Tambah komen


Khamis, 20 April 2006
Pelajaran 13

Ayat 11 surah Yusuf juga mempunyai tanda rombus pada kalimah ta'-mannaa.

ayat 11 surah yusuf

Asal perkataan ini ialah ta'manuuna yang bermaksud mempercayai kami. Dalam sirah Nabi Yusuf, diceritakan Allah bahawa sebelum saudara-saudara baginda merancang untuk melenyapkan nabi Yusuf kerana perasaan dengki. Mereka mendapati kasih sayang nabi Yaakub alaihissalam lebih mendalam kepada nabi Yusuf. Justeru syaitan menghasut mereka supaya disingkirkan nabi Yusuf dari rumah. Ketika meminta keizinan membawa keluar bersiar-siar, nabi Allah Yaakub tidak bersetuju, berat hatinya melepaskan pergi kerana sangsi dengan perlakuan anak-anaknya yang lain. Walhal sebelum itu nabi Yusuf telah menceritakan mimpi baginda melihat matahari, bulan dan sepuluh matahari sujud (tunduk hormat) kepada baginda. Keadaan ini menyebabkan nabi Yaakub amat berhati-hati dengan pergerakan nabi Yusuf kerana dia tahu syaitan akan membuat perancangan yang buruk terhadap nabi Yusuf.

Apabila permohonan membawa keluar nabi Yusuf, nabi Yaakub amat berat melepaskannya. Sehingga tiba saat-saat abang-abang nabi Yusuf mencebik (memuncung) bibir kepada ayah mereka nabi Yaakub. Bacaan pada kalimah ta'mannaa disebut dalam al-Quran sebagai bacaan Isymam. Bacaan dengan cara memuncungkan bibir sebagai mengambil iktibar terhadap perlakuan biadap saudara kandung nabi Yusuf kepada nabi Yaakub. Betapa al-Quran memiliki seni bacaan yang tersendiri.

(1) Cuba sebut...... ta' manuunaa (disebut dengan memuncungkan mulut apabila sampai pada suku-kata 'nuu').

(2) Kemudian sebut pula ........ ta'mannaa.

Jika disebut secara biasa-biasa, bibir kita berada pada kedudukan biasa, iaitu dalam keadaan kedua-dua bibir tidak berkatup dan leper. Bacaan Isymam dibuat dengan memuncungkan bibir ketika menyebut suku-kata 'mannaa'.

Nota: Disebabkan darihal teknik ini amat sukar untuk diterangkan dengan perkataan, saya mengalami kesukaran untuk mencoret Pelajaran ke-13 ini. Diharap saudara saudari dapat merujuk kepada guru al-Quran untuk mendapat tunjuk ajar (secara talaqqi). Pelajaran ini cukuplah sekadar bagi anda mengetahui jenis bacaan pada kalimah ta'mannaa seperti yang digariskan oleh Imam 'Ashim.



Disumbangkan pada 1:07:16 PM • Lihat komen (5) / Tambah komen


Sabtu, 8 April 2006
Pelajaran 12

Kita masih lagi dalam perbincangan tanda-tanda dalam al-Quran. Kita mungkin akan bertemu satu tanda rombus pada dua tempat di dalam al-Quran. Tanda ini dapat ditemui dalam ayat 41 surah Hud dan 11 surah Yusuf.

Tanda seperti ini mempunyai makna tersendiri. Walaupun tandanya sama, namun bacaannya berbeza. Istilah yang diguna untuk menyebut kalimah "majreeha" dalam ayat 41 surah Hud ialah bacaan Imaalah. Bacaan yang lazim didengar di Malaysia dipanggil bacaan Lafzu al-'Ashim kerana kita mengikut bacaan (qiraat) yang dibaca oleh imam 'Ashim.

Jika kita mengikuti perkembangan Majlis Tilawah Al-Quran, kita mungkin mendengar gaya pembacaan yang berbeza. Hal ini kerana al-Quran boleh dibaca dengan tujuh cara. Istilah yang merujuk kepada tujuh cara pembacaan ialah Qiraat Sab'ah yang dipelopori oleh imam-imam: (1) Imam Nafi' (2) Ibnu Amr (3) Ibnu Kathir (4) Ibnu Amir, (5) Imam 'Ashim (6) Imam Hamzah dan (7) Imam al-Kisai

Imaalah ialah menyebut bunyi dengan secara leweh. Iaitu jika kita biasa menyebut kalimah 'alaa sebagai 'a-laa. Apabila dilewehkan bacaan ia ('alaa) menjadi 'a-lee. Dan bagaimana dapat dijelaskan lagi sebutan 'alee itu tanpa anda mendengarnya? Begini........

Jika kita mendengar orang Kelantan bercakap, apabila sesuatu perkataan yang berakhir dengan huruf 'n' akan disebut dengan stail yang tersendiri. Contohnya Roslan akan disebut 'Rosley' (sila sebut seperti mana orang Kelantan sebut). Sedar tidak sedar, sebenarnya dialek Kelantan merupakan sebahagian daripada gaya penuturan yang dilewehkan.

41

Berbalik kepada perbincangan tentang bacaan Imaalah dalam ayat 41 surah Hud. Jika bacaan biasa, 'ro fathah' dibaca 'roo' (dua harakat). Maka bacaan imaalah menjadikan kalimah ini dibaca dengan bunyi "majreeha" iaitu suku kata 'ree' dibaca dengan panjang dua harakat dan disebut sebagai mana kita menyebut perkataan 'rehat'.

Maknanya kalimah "majreeha" ('ree' dibaca dengan kadar dua harakat) menurut imam 'Ashim sebagai pengecualian daripada cara penyebutan biasa yang digariskan oleh beliau.

---------------------

Pelajaran ke-13, kita akan membincangkan satu lagi istilah pembacaan yang lain yang terdapat dalam ayat 11 surah Yusuf. InsyaAllah.



Disumbangkan pada 9:00:43 AM • Lihat komen (2) / Tambah komen


Selasa, 4 April 2006
Pelajaran ke-11

Kalimah 'lisyai-in' atau 'miatin' seperti yang terdapat dalam surah al-Kahfi ditulis dengan memasukkan huruf alif hazaf.

Dalam hal seperti ini, huruf alif hazaf tidak terletak di akhir kalimah yang lengkap seperti contoh dalam pelajaran 10.

Maka pembacaannya mestilah terus iaitu tidak boleh diwakafkan pada huruf tersebut untuk menampakkan fungsinya

seperti yang boleh dibaca pada kalimah 'qawaariira' dalam surah al-Insaan.

Hal ini bermakna, kalimah-kalimah yang mengandungi huruf alif hazaf terdiri daripada dua jenis iaitu pada:

(i) akhir kalimah

(ii) di tengah kalimah.

Bagi jenis (i), fungsi alif dinasakhkan (dimansuhkan) atau sebaliknya bergantung kepada cara pembacaan kita. Sekiranya

dibaca secara washol, alif tersebut dinasakhkan fungsinya. Jika dibaca secara waqaf, alif tersebut berfugsi sebagai huruf mad

yang memberikan hukum mad asli. (Kita telah melihatnya dalam pelajaran 10 untuk contoh ini) Manakala bagi jenis (ii) bacaan

mestilah disambung seolah-olah kalimah itu pada asalnya ditulis tanpa kewujudan huruf alif hazaf tersebut. Bermakna tidak

berhenti melainkan menyebut kalimah tersebut sepenuhnya. Satu contoh ditunjukkan di sini, ayat 23 surah al-Kahfi.

23 alkahfi

Apakah ada juga huruf 'ya' hazaf?

Jawabnya ya hazaf tidak wujud.

RALAT: Dalam catatan asal pelajaran 10, disebutkan tanda shifr juga wujud pada huruf 'ya'. Editor memohon maaf di atas ralat yang

berlaku. Namun, ralat tersebut telah diperbetulkan.



Disumbangkan pada 1:58:39 PM • Lihat komen (2) / Tambah komen


Khamis, 30 Mac 2006
Pelajaran kesepuluh.

Kali ini mari kita lihat tanda ‘shifr’ di dalam al-Quran. Dalam bahasa Melayu, ‘shifr’ bermakna sifar.

Tanda ‘shifr’ ialah ‘o’, biasanya ditemui di atas huruf alif dan wau.

 

Pertama, sekiranya tanda ‘shifr’ berada pada huruf alif, bacaannya boleh dibaca dengan dua cara mengikut keadaan (i) washol (sambung) dan (ii) waqaf (berhenti).

 

(i)                  Bacaan washol.

Huruf alif dihazafkan (dimansuhkan) fungsinya dan panjang bacaan satu harakat seolah-olah tiada huruf alif yang menjadikannya seperti hokum mad asli.

 

(ii)                Bacaan waqaf.

Sekiranya kita berhenti pada kalimah yang hurufnya berakhir dengan huruf alif bertanda ‘shifr’ ini, maka bacaannya menjadi dua harakat, iaitu alif tersebut berfungsi sebagaimana fungsi alif yang membentuk hukum mad asli.

 

Contoh 1:

insaan

 

Dalam contoh di atas, pada ayat 15, kalimah ‘qawaarira’ dibaca dengan kadar dua harakat (iaitu ‘qawaariiraa’) sekiranya kita membaca secara waqaf. Sebaliknya jika ayat 15 dibaca secara washol, kalimah ‘qawariira’ dalam dibaca dengan kadar satu harakat (iaitu ‘qawaariira’).

Begitu juga halnya dengan kalimah yang sama dalam ayat 16.

 

 

Contoh 2:

 

Seterusnya mari kita lihat keadaan-keadaan yang biasanya terdapat pada kalimah ’ana’. Jika kalimah ana yang bermaksud saya seperti di dalam ayat 4 surah al-Kaafiruun ini, kadar bacaannya ialah satu harakat (iaitu ana-’aabidun) sebaliknya jika diwaqafkan pada kalimah ana, bacaan ana dibaca dengan kadar dua harakat (iaitu anaa).

 

kaafiruun

 

Kedua, sekiranya tanda ‘shifr’ berada pada huruf wau

 

Keadaan bacaan sama seperti keadaan (i) (tetapi di sini huruf wau dihazafkan) di atas kerana tidak ada kalimah yang berakhir dengan huruf wau. Biasanya bagi kalimah yang mengandungi huruf wau yang bertanda ‘shifr’ terletak pada awal-awal kalimah seperti contoh yang ditunjukkan.

 

Contoh 3:

 

wauhazaf

 



Disumbangkan pada 5:17:55 PM • Lihat komen (1) / Tambah komen


Isnin, 27 Mac 2006
Pelajaran 9


Dalam pelajaran 8, telah diterangkan tentang penandaan 'wau' dan 'ya' kecil sebagai pengecaman kepada hukum mad shilah. Walhal dinyatakan tanpa meletakkan tanda tersebut, hukum tajwid pada kalimah yang berakhir dengan 'ha marbuthoh' masih boleh dikenal pasti. Perlu disedari, pemabaca al-Quran bukanlah semua yang mahir Bahasa Arab. Al-Quran yang diturunkan kepada umat manusia ditatap dan dibaca oleh seluruh umat Islam yang berbagai ras. Tentulah tidak adil kepada mereka yang bukan berbangsa Arab untuk memperoleh peluang membaca al-Quran dengan betul.

Bagaimana pengecaman untuk mengetahui sama ada kalimah yang mengandungi 'ha marbuthah' dibaca mengikut hukum tajwid mad shilah?
Sekiranya huruf sebelum 'ha marbuthoh' dalam kalimah tersebut mempunyai baris sama ada fathah, katsroh atau dhommah. Namun begitu, memandangkan terdapat juga kalimah yang berakhir dengan 'ha marbuthoh' tidak mewakili 'ha dhamir' seperti ayat 91 surah Hud.
hud91

Kalimah nafqahu, sebutan 'hu' dibaca dengan satu harakat kerana 'ha marbuthoh' dalam kalimah itu merupakan salah satu huruf daripada perkataan itu sendiri. Maka dapatlah kita lihat di sini bagaimana penulisan resam Uthmani ditulis bagi memudahkan pembaca al-Quran membaca dengan betul. Sampai di sini, kita telah faham mengapa diletakkan tanda 'wau' dan 'ya' kecil untuk memudahkan mengenal pasti apakah di situ terdapat hukum tajwid mad shilah atau sebaliknya.

 

--------------------------

Kemudian mari kita lihat pula contoh tandaan 'wau' dan 'ya' kecil yang menunjukkan hukum mad asli (thobi'ie). Contohnya, pada kalimah 'walwuuna' ayat 78, 'talwuuna' ayat 153, atau kalimah 'yuhyii' ayat 156 surah Aali-'Imran.


78

153

156


Kalimah-kalimah yang ditunjukkan di atas dan seumpamanya mestilah dibaca dengan dua harakat iaitu menepati kaedah panjang bacaan mad asli.



Disumbangkan pada 9:41:50 AM • Lihat komen (3) / Tambah komen


Jumaat, 24 Mac 2006
Pelajaran 8

Tanda Wau dan Ya kecil.

Dalam pelajaran 7 yang lalu, dinyatakan tulisan al-Quran di dalam cetakan lama tidak menggunakan penandaan alif kecil sebagai tanda mad. Iaitu sesuatu huruf yang bersambung dengan alif biasanya ditulis secara biasa, manakala gaya penulisan mushaf Uthmani menggunakan tanda alif kecil sebagi tanda mad. Di dalam contoh kalimah maaliki dalam pelajaran 7, hukum tajwid yang terdapat padanya adalah mad asli. Dalam contoh tersebut, dikatakan mad asli kerana sebelum alif mati ada huruf yang berbaris di atas. Maka panjang bacaannya dua harakat.

Hukum mad pada alif kecil ini bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu, dan hukum tajwidnya terbahagi kepada beberapa jenis.

Jika ditanya kepada kita, apakah hukum mad yang ada di dalam al-Quran? Secara umum, mad terbahagi kepada dua iaitu mad asli (atau mad thobi'ie) dan mad far'ie (iaitu terbitan daripada huruf mad asli yang terbahagi pula kepada 13 jenis).

Namun begitu, perlu disedari oleh kita, di dalam mushaf Uthmani, kalimah Allah (lafzu al-Jalalah) ditulis tanpa diletakkan tanda alif kecil padanya. Ini adalah kes istimewa dengan anggapan pembaca faham dan sedar bahawa lafzu al-Jalalah mesti dibaca dengan dua harakat. Sila rujuk kalimah Allah seperti dalam contoh ayat 152 surah Aali-'Imran. Ada orang yang terkeliru dengan perkara ini, membaca kalimah Allah dengan satu harakat terutama apabila disambungkan huruf 'ha' yang terakhir dengan 'mim' (iaitu Allahumma).

Sila lihat contoh ayat 26, surah Aali-'Imran.

 26:3

-----------------------

Huruf wau dan ya kecil juga seperti alif kecil yang menunjukkan hukum mad asli atau terbitan daripada mad asli mengikut keadaan tertentu.

Namun begitu, gaya penulisan resam mushaf Uthmani juga memudahkan seseorang pembaca mengecam tempat yang mesti dibaca secara panjang atau pendek terutama pada kalimah yang mempunyai huruf 'ha dhamir'. Huruf 'ha dhamir' ialah 'ha' simpul (marbuthoh) sebagai ganti nama diri yang bermaksud nya. Meski jika tidak diletakkan tanda wau atau ya kecil selepas huruf 'ha dhamir' itu, seseorang yang mahir dalam al-Quran masih dapat membezakan panjang bacaaannya (sama ada membaca dengan satu, dua, empat atau enam harakat).

Dalam contoh yang dinyatakan di bawah, terdapat dua-dua contoh yang melibatkan hukum tajwid berkaitan 'ha dhamir'. Pengecamannya dipermudahkan dengan meletakkan tanda 'wau' dan 'ya' kecil selepas huruf 'ha dhamir' tersebut. Jika 'ha dhamir' berbaris di bawah (kastroh) maka tanda wau kecil menyusul selepasnya. Jika 'ha dhamir' berbaris di hadapan (dhommah) maka ya kecil menyusul selepasnya.

 152:3

Pertama, apabila 'ha dhamir' bertemu dengan alif, hukum tajwidnya ialah mad shilah Thowilah. Panjang bacaan empat hingga enam harakat.

Kedua, apabila 'ha dhamir' bertemu dengan selain daripada huruf alif, hukum tajwidnya ialah mad shilah qashirah. Panjang bacaan dua harakat.



Disumbangkan pada 7:55:55 AM • Lihat komen (4) / Tambah komen




Mukasurat dari 3


Hakcipta © 2005 eSastera Enterprise • Kemaskini terakhir 10/14/2009 11:49:10 PM • Bilangan pelawat 32187