|
Penghujung Mei aku mula menderita sakit. Hari tu aku mengamuk teruk. Bengkak-bengkak mata aku menangis. Aku SMS suami yang keluar ke pekan tanpa mengajak aku. Tidak pernah aku marah-marah begitu kepada suami. Biasanya aku biarkan sahaja suami ke pekan. Aku di rumah menjaga mak mentua. Tetapi pagi itu lain jadinya.
-Abang balik nanti Yang nak mengamuk.
+Kenape ni? Nak mengamuk pasal apa?
-O abang senang-senang aje jalan sana sini. Yang ni duk terperap kat rumah.
+Kalau Yang ikut sape nak jaga mak.
-Kalau abang nak tau Yang ni dah bosan. Hari-hari duk bilang bumbung rumah. Kadang rasa macam hamba abdi.
+Habis tu Yang nak abang buat macam mana?
Aku diam tidak membalas SMS suami.
+Terserahlah Yang nak mengamuk macam mana pun. Abang dah tak tau nak kata apa.
Saat itu aku tiba-tiba terkenang wajah suamiku. Pasti air matanya luruh. Tapi egoku tidak mahu mengalah.
-Petang ni Yang nak juga abang bawa Yang jalan-jalan.
+Yang nak ke mana?
Sekali lagi aku diam.
+OK nanti abang carikan orang untuk jaga mak.
Pulangnya suami dari pekan, aku berkurung di dalam kamar. Masak pun tidak. Air mata terlalu murah ketika itu.
Di dapur aku dengar bunyi periuk dan pinggan. Pasti suamiku memasak. Memang setiap hari dia memasak tatkala dia sihat. Aku hanya membantu menyiang sahaja. Tetapi kali ini aku berkurung.
Siap memasak, suami masuk ke kamar. Katanya dia sudah dapat orang untuk menjaga mak petang nanti.
Petang itu sebelum Asar kami keluar. Kami singgah beritahu Mak Teh yang akan datang menemani mak. Katanya selepas Asar dia datang.
Kami terus meronda tanpa tujuan. Akhirnya suami membawa aku ke Resort Kampung Raja Intan Suraya. Jauh perjalanannya. Turun bukit naik bukit, masuk kebun kelapa sawit, kebun getah, dusun buah-buahan dan kampung-kampung. Akhirnya kami tiba di situ. Tempat yang tenang dan damai. Di pesisir Sungai Perak. Dapat melihat orang memancing, mendayung sampan dan ada yang bersukan di tempat yang disediakan.
Aku pulang dengan hati yang puas dan kembali tenang. Amuk sudah hilang. |