|
Makna Stail/ Gaya
Kata stail atau gaya berasal daripada bahasa Latin, stilus, bahasa Greek pula, stylos bermaksud “manner of writing.” Gaya atau stail ialah keseluruhan proses yang diperguna untuk memindahkan fikiran penulis kepada bahasa sebagai media utama karya sastera. Robert P. Warren dan Cleanth Brooks pula menyatakan bahawa stail merujuk kepada pemilihan dan penyusunan bahasa penulis. Jelaslah bahawa stail mempunyai hubungan dengan peribadi atau pemikiran seseorang penulis (Seiichi Makino, 1972 : 243). Stail atau gaya dalam karya kreatif dapat dianggap sebagai jalinan penulisan yang berhubung dengan diksi, imej, imajan, sintaksis dan unsur-unsur bunyi. Penulis karya kreatif menulis dengan stail yang tersendiri. Penggunaan bahasa adalah sesuai dengan apa yang ingin disampaikannya untuk memberi kesan estetik kepada pembaca.
Dalam konteks penulisan sajak, gaya dianggap sebagai cara penyair menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan tertentu. Apabila sajak dibaca atau dihayati, kesan estetik sajak dapat dirasai pembaca. Pembaca dapat mengesan stail yang dipilih atau digunakan oleh seseorang penyair dalam sajak-sajaknya.
Pembicaraan tentang stail atau gaya bahasa dalam hubungannya dengan kesusasteraan sebenarnya adalah pembicaraan yang khusus tentang penggunaan bahasa. Maksud gaya bahasa dalam sajak ialah cara penyair memberikan watak kepada penulisannya dengan memperguna bahasa sebagai media untuk menyalurkan idea atau perutusan kepada pembaca. Penyair haruslah bijak menggunakan bahasa dalam sajaknya. Kebijaksanaan penyair menggunakan bahasa yang tepat, segar dan asli akan dapat memperlihatkan ciri keindividualan dan peribadi kepenyairannya serta mempamerkan warna kepada keindahan sajak-sajaknya.
Stilistik
Dalam disiplin linguistik, terdapat stilistik. Stilistik merujuk kepada penggunaan prinsip-prinsip linguistik terhadap bahasa sastera. Stilistik atau ilmu gaya dapat diangap sebagai kajian variasi linguistik. Variasi linguistik ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konteks teks dan konteks situasi. Stilistik mempunyai hubungan yang rapat dengan disiplin sosiolinguistik dan dialektologi. Kedua-duanya pula merupakan cabang linguistik.
Beberapa pendapat lain yang dapat dikutip tentang stilistik ialah yang pernah diutarakan oleh Donald C. Freeman (1970 : 4). Baginya stilistik itu melihat penggunaan bahasa yang menyimpang atau deviasi daripada norma-norma tatabahasa, penggunaan pengulangan dan meminjam usaha-usaha pengarang (dalam konteks ini penyair) untuk mendapatkan kepadatan tulisannya. J. Middleton Murry pula berpendapat bahawa stilistik itu ialah gaya sebagai sesuatu yang istimewa, sebagai teknik eksposisi, pencapaian estetika dan pernyataan sikap penulis. Pemilihan kata dan penyusunan struktur ayat itu memperlihatkan ciri-ciri keperibadian penulis.
Bahasa sastera khasnya bahasa puisi paling menonjol deviasi atau penyimpangan bahasa. Dalam kajian puisi, stilistik melihat kaitan bahasa puisi dengan unsur linguistik seperti fonologi, morfologi dan sintaksis. Stilistik juga melihat diri puisi sebagai bahasa kreatif yang membenarkan terjadi deviasi/ penyimpangan dalam aspek-aspek linguistik secara eksplisit mahupun implisit.
Dalam kajian stilistik, karya-karya sastera dianalisis dengan menggunakan pendekatan linguistik. Tujuan utama ialah untuk melihat dan mengesan nilai estetik atau gaya pemakaian bahasa dalam diri karya-karya tersebut. Penerapan unsur-unsur linguistik-stilistik dalam menilai karya-karya sastera sebenarnya dapat membantu disiplin kritikan sastera supaya lebih mantap, beraneka ragam, dan Tahap penghayatan karya-karya sastera itu dapat diangkatkan lagi tingkatnya.
Stail Kepenyairan
Karya kreatif dalam genre puisi dan prosa tidak sama dengan karya non-kreatif. Pengarang-pengarang karya kreatif lebih menjurus kepada stailnya yang tersendiri dalam proses penciptaannya. Jika dibandingkan antara puisi dengan karya prosa, stail dan deviasi lebih ternampak pada karya-karya puisi. Masing-masing penyair ternama seperti Chairil Anwar, Sutardji Calzoum Bachri, Sitor Sitomurang, W.S.Rendra, Amir Hamzah dan Sapardi Djoko Damono dan sebagainya di Indonesia atau Muhammad Hj. Salleh, Kassim Ahmad, Baha Zain, Usman Awang, Latiff Mohidin dan Kemala di Malaysia, mempunyai stail kepenyairan tersendiri.
Stail kepenyairan seseorang penyai lebih terlihat sangat intim dengan unsur deviasi bahasa yang dipakai. Stail itu dalam proses penciptaan puisi dapat dianggap sebagai hak cipta dan hak diri penyair. Dan stail juga adalah sebagai eksploitasi ragam bahasa dalam berkarya. Stail dan deviasi adalah warna peribadi penyair itu sendiri. Stail berpuisi yang terpancar pada puisi-puisi seseorang penyair dapat mewarnai ciri peribadi kepenyairannya.
Penyair memang amat tidak menyedari tentang stail yang dimiliki. Tetapi pengkritik yang kuat dan berperanan besar dalam menyelami stail yang wujud dalam diri sajak-sajaknya yang tercipta. Kritikawan sastera yang memakai acuan linguistik lebih melihat aspek deviasi dalam bahasa puisi.. Deviasi merupakan sebahagian daripada gagasan stilistik. Genre puisi/ sajak yang terhasil tetap mengandungi beberapa bentuk deviasi kerana setiap penciptaan itu terhasil melalui proses dan ciri-ciri tertentu. Deviasi terlalu lumrah terdapat dalam proses dan ciri penglahiran puisi. Dalam proses penciptaan puisi itu sendiri, soal kongkongan tatabahasa tidak dikenakan terlalu ketat. Sifat sajak sendiri mempunyai kebebasan pemakaian dan penggunaan apa sahaja unsur-unsur bahasa untuk penyampaian mesej penyair kepada khalayak.
|