esasterawan.net

 

azmi rahman

Laman utama
Maklumat peribadi
Weblog
Karya
Foto
Maklumat sisi
Promosi
Papan nota

info

Nama penuh
Mohamad Azmi Ab. Rahman

Email
azmi214@uum.edu.my

Laman web lain
http://azmirahman.esasterawan.net

Laman web kegemaran

GEBANG INTELEKTUAL DENGAN AZMIRAHMAN
Sebuah Wawancara yang disumbangkan pada 12/31/2008 11:59:41 AM











 


 

Diwawancara oleh: rimanilzah












Pengenalan


 


Bagaimana saudara dapat kenal e-Sastera? Bila? Mengapakah tertarik berkarya dsini?

Sebelum saya jawab soalan saudara, saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kerana sudi wawancara saya via e-mel. Inilah kelebihan dan manfaat teknologi, melalui alam siber dapat kita berwawancara. Tentang e-Sastera, bila saya kenal? Lama sudah, sejak 2004 lagi. Saya sekadar meneliti dari jauh, dari luar. Pernah juga saya teliti dan study e-Sastera di Barat, juga di Indonesia. Tapi di Malaysia, pernah saya baca fokus tulisan tentang e-Sastera, dalam Dewan Sastera, November 2004, muka depan wajah Prof. Drirwan. Saya teliti dan teliti, dan bertanya apa itu dan bagaimana rupa atau wajah e-Sastera (Melayu) di Malaysia? Biasanya, kalau kita cuba lari dari  konvensional, sukar diterima kerana tradisi sastera kita dalam bentuk tulisan bercetak. Mulai dari itu, saya menyimpan minat untuk berkarya dalam bentuk siber. Saya fikir, mediumnya ada di Malaysia, iaitu eSastera.com.


 


Terdetik dalam minda saya, berkarya secara konvensional membosankan, merumitkan dan melambatkan, juga tersekat kebebasan untuk bereksperimen. Jadi bagaimana untuk lari dari itu dalam usaha pengkarya mencipta kelainan dan mengekspresikan fikir rasa yang bermakna? Saya fikir, e-Sastera memberi ruang dan kebenaran untuk itu, meskipun masih terikat dengan akta dan peraturan negara. Saya faham itu, dan patuh pada hal-hal yang boleh menimbulkan masalah kepada negara.


 


Soalan mengapa tertarik berkarya di e-Sastera? Saya mula bergerak secara aktif berkarya di e-Sastera, pada 26 Disember 2006, dengan sajak pertama di e-Sastera,  “Pengembara Musim”. Maknanya belum sampai setahun lagi, 26 Disember 2007, genap setahun saya di e-Sastera. Menariknya berkarya di e-Sastera, pada saya kerana proses penerbitan sesebuah karya pantas, melalui teknologi siber, tapi bukanlah sewenangnya kita terbit begitu. Kita harus tapis, dan edit biar persis bahasa dan isi. Sebab lain ialah karya yang terbit di media siber, lebih kreatif, indah, dan bergaya dengan kesan audio, warna, visual, permainan aksara, dan pelbagai kemungkinan kreativiti lagi yang kita tak pasti, akan dimanifestasikan oleh pengkarya. Berbeza dengan karya bercetak konvensional,  warna hitam-putih, kalau adapun sedikit pengisian warna dan gambar statik. Karya di alam siber, luar biasa untuk kita nikmati. Inilah yang saya suka, dan seronok, tertarik berkarya dan menikmati karya-karya pengkarya lain, termasuklah karya Saudara Rimanilzah. Ini jujur, bukan saja-saja cakap.


 


Jawapan akhir itu, hampir-hampir membuatkan kerusi yang saya duduk jadi tak begitu besar. Hahaha. HESCOM 2007 baharu sahaja berlalu. Setelah lima tahun (seperti kata Dahrie), kita patut berasa bangga kerana telah berjaya melahirkan karyawan kita sendiri melalui e-Sastera. E-Sastera telah melahirkan Nimoiz TY, Aziz Zabidi, Kale Mas, dan beberapa orang lagi. Tiga nama yang saya sebut tadi bermula di e-Sastera - bukan media konvensional. Apakah pendapat saudara berhubung dengan hal ini?


 


Sebelum saya sambung wawancara ini, saya ingin memohon maaf kerana lambat memberi respons atas soalan ini. Setelah lama bercuti, makan banyak daging korban, terasa panas badan. Tentang jawapan terakhir itu, saudara harus terima hakikat itu kerana orang sastera bukanlah bermain-main dengan karya sastera atau kerja main­-main. Kerja sastera dan kerja seni, mesti serius. Saudara sendiri berada di dunia seni – sastera dan lukisan. Ini kerja yang serius. Hanya orang seperti saudara yang mempunyai bakat dan kesungguhan mampu kerja serius dalam seni. Seniman lain, kalau dapat saya sebutkan ialah Latiff Mohidin dan Siti Zainon Ismail, dinamakan penyair- pelukis.


 


Saya pendatang baru di dunia sastera siber, di eSastera.com. Namun begitu, cepat jatuh hati pada e-Sastera. Saya lawati dan studi komuniti-komuniti di e-Sastera terutamanya komuniti penyair, pantun, haiku, puisi Melayu tradisional, cerpen, dan lain-lain. Tapi yang menjadi minat saya ialah komuniti penyair yang menyiarkan genre sajak dan ulasan sajak.


 


Bila diteliti, tiga nama yang saudara sebut iaitu Nimoiz TY, Aziz Zabidi dan Kale Mas memang mula berkarya di e-Sastera. Mereka ada potensi menjadi sasterawan tersohor negara. Saya dapati mereka mempunyai bakat dan kekuatan masing-masing yang terpancar dalam karya masing-masing. Nimoiz TY dengan sajak, penuh daya kreativiti berteknologi, misalnya sajak “Aku dan Cinta”. Sajak-sajaknya lain, yang menarik pada pandangan saya ialah “Aku Hanyalah Banduan”, “Di mana Pohon Itu”, dan “Jalan Baru”, yang memperlihatkan persoalan dimensi kerinduan, semangat perjuangan dan perjalanan hidup penyair menuju pembaharuan.  Aziz Zabidi pula kuat dalam mengungkapkan diksi, bahasa dan pemikiran dalam sajak dan cerpennya. Saya sudah baca cerpen Aziz Zabidi, berjudul “Kota Tanpa Karya”. Cerpen ini menarik dan persoalan yang dilontarkan juga di luar kebiasaan tema yang diungkapkan oleh cerpenis di media konvensional. Aziz Zabidi, saya kenal rapat kerana dia pernah mengikuti kuliah penulisan saya di UUM. Dia minat membaca karya Chairil Anwar dan Pramoedya Ananta Toer. Kami selalu berbincang tentang karya­­-karya sastera terutamanya sajak-sajak yang dihasilkannya sebagai projek penulisan kreatif. Manakala Kale Mas, saya teliti karyanya di alam siber. Hanya dapat bersemuka dan berbicara dengannya, kebetulan duduk semeja dengan Ramy, MN Iskandar, Pak Camar, HMS Abu Bakar, Tuan Haji Adnan A.M, saudara pun berada di sebelah Ramy, juga Ilhami semasa HESCOM 07. Pada saya, Kale lebih menumpukan kepada genre sajak. Sajak-sajak Kale, ada kekuatan tersendiri, yang sarat dengan citraan, dan metaforikal alamiah. Kale, sebagai penyair lebih selesa dan biasa mengungkapkan persoalan cinta, rindu dan diri, misalnya saya dapat kesan dalam sajaknya “Membeli Cinta”, “Simpanlah Baki Rindu”, “Camar, Sampaikan Rinduku”, dan “Bila Cinta Tersia”. Persoalan begini, meronta-ronta dalam diri penyair. Hal ini perkara biasa, sebagai penyair. Persoalan lain dalam sajak Kale, yang menarik minat saya ialah patriotisme/ perjuangan, misalnya sajak “Cerita Anak Merdeka”, “Izinkan Aku Laungkan Merdeka”, dan “Bunga Api Merdeka Yang Padam”. Ada juga sajak tentang keagamaan, misalnya “Solat Uzur Di Sejadah Lusuh” dan “Saji Iman Terbuka”.  Panjang pula saya bercakap tentang ini. Ops… berhenti dulu.


 


Saya fikir, e-Sastera bukan hanya melahirkan tiga penulis/ sasterawan sahaja sepanjang lima tahun beroperasi di alam siber. Masing –­masing ada kekuatan tersendiri dalam berkarya. Mereka ada stail tersendiri dalam menyerlahkan idea, dan kreativiti karya – daya kreativiti tanpa had. Sekadar ingin namakan: Drirwan, Hasimah, Anbakri, Ode, Rimanilzah, Kalam, Ahkarim, Ilhami, Bayu, Abdullahjones, Pak Rahim, Aiza, Aziz Zabidi, Jebatsari, Tabir Alam, Lonely Rose Black, Anna, Brirasa, Zaidin Abadi, Ramy, MN Iskandar, Adnan A.M, Dr. Rahmat Haroun, Hani Hamsari, Dahrie, Fahd Razy, (ada lagi saya nak sebut, tapi panjang sangat. Maaf). Mereka ada stail tersendiri dalam berkarya. Inilah produk e-Sastera yang menjadi kebanggaan kita, dan semua. Meskipun mereka bergerak aktif di alam siber, alam nyata bukanlah khayalan. Mereka sering bertemu, dan membuat persembahan seni.  Ini, kalau hendak bercakap tentang karya-karya mereka, lagi panjang dan lama. Tidak mengapa, kita sembang pada lain kali dan lain ruang.


 


Membaca respons saudara sebelum ini membuat saya jadi gembira (terlalu gembira sebenarnya) kerana e-Sastera telah punya pengamat sastera yang serius (terutama di Penyair). Saya percaya para penulis di e-Sastera amat memerlukan pandangan kritikus seperti saudara. Mereka amat dahagakan komen dan suka karya mereka dikomen (lebih-lebih lagi Ustaz Ramy. Hahaha.) Begitupun saya dapati saudara amat berhemat dalam mengomen karya penulis di e-Sastera. Bagaimanakah jika saya mencadangkan agar saudara sedikit "ganas" dalam memberikan kritikan? Setuju?


 


Terima kasih kembali. Alhamdulillah dapat saya sambung lagi wawancara ini via e-mel. Maaf, kerana saya lambat membalas e-mel saudara, dan memberi jawapan bagi soalan tersebut. Hendak kata sibuk, taklah sibuk sangat. Kadangkala buat­-buat sibuk supaya biar nampak kita sibuk. Yang pasti saya sibuk berkarya, menelaah karya­-karya di e-Sastera, dan menulis; sajak, sesekali tulis pantun dan ulasan sajak.


 


Wow…payah saya nak bangun bila saudara nyatakan demikian. Sebenarnya saya bukanlah hebat dan handal dalam bidang ini. Teman-teman lain di e-Sastera, ada yang hebat dalam bidang ulasan/ kritikan sajak atau genre lain, misalnya saudara sendiri. Saya cakap jujur. Saya sudah teliti ulasan saudara terhadap sajak-sajak Ode, Ramy, dan Mokhtar Sah Malik. Saudara ada ilmu dalam bidang ini. Yang lain, tentunya Drirwan dan Ilhami, yang rajin juga mengulas sajak. Kalau lagi ramai pengulas dalam pelbagai genre, lagi meriah e-Sastera. Seperti kata Drirwan, berkarya di e-Sastera bukan kerja main-main. Kita serius berkarya dan membangunkan e-Sastera.


 


Saya mula-mula jadi pemerhati dan penelaah karya teman-teman. Lama juga, setahun lebih saya begitu. Lama juga saya fikirkan untuk mengulas sajak/ karya teman-teman. Saya fikir, ilmu yang ada kalau tidak disebarkan, tidak ke mana. Tambahan pula, di Universiti ini, disiplinnya bukanlah sastera. Hanya ada satu kursus sahaja tentang Pengantar Kesusasteraan Melayu. Itu pun setelah 10 tahun, wujud universiti, baharu muncul kursus itu. Saya berjuang untuk kembangkan disiplin itu. Bila ada guru-guru yang belajar di sini, mereka mengambil kursus ini. Sampai bila kursus ini boleh bertahan, tak tahulah. Mungkin setahun dua lagi atau dua tiga tahun lagi. Bila ada e-Sastera, saya fikir itulah ruang terbaik untuk saya sebarkan ilmu dan membangunkan e-Sastera supaya lebih cemerlang. Muncul nanti penulis alam siber yang tersohor, dikenali bukan sahaja di alam siber, malahan di alam nyata. Saya tidak boleh bersendirian dalam hal ini. Saudara dan teman-teman lain harus bergerak bersama-sama meletakkan e-Sastera di persada terbilang. Insya-Allah.


 


Cadangan saudara supaya saya sedikit “ganas” bila memberi komen dan ulasan sajak, ada positif dan negatifnya. Yang positif ialah kalau penulis atau pengkarya boleh menerima dengan hati terbuka, OKlah tapi kalau sebaliknya, terus sahaja berhenti menulis. Itu yang negatifnya. Komen boleh membina penulis. Komen yang bersifat peribadi dapat menjatuhkan nama baik dan maruah penulis. Justeru, pada pandangan saya komen atau ulasan hendaklah bersandarkan ilmu, bukanlah memasukkan unsur peribadi dalamnya.


 


Saya lebih suka mengambil pendekatan positif dalam memberi komen atau ulasan setiap karya. Namun begitu, bukan setiap karya dikatakan sempurna. Dan pendekatan pengulas pula pelbagai dimensi dengan ilmu dan pengalaman yang ada. Apa-apa pun kita terima dengan hati terbuka demi kebaikan mutu karya kita. Mengambil pengalaman saya semasa mengikuti kuliah dan pelbagai bengkel penulisan dan kritikan sastera, dengan pelbagai teori pula, sering dikomen oleh para mahaguru. Komen mereka membina dan merangsang saya sebagai penulis yang mula bertatih di arena penulisan. Kemudianlah, melalui proses kematangan usia, dan pengalaman serta pembacaan luas, kita menjadi diri kita sendiri.


 


Saya lebih bersetuju, kalau pengulas / pengkritik sedikit “ganas” bertempat dan melihat karya itu secara positif demi penambahbaikan mutu. Pada pandangan saya, penulis muda dan baru mula bertatih, perlu dididik, diasuh dan diberi pendedahan secara tertib. Saya mengambil contoh, cara para penggerak mapan dalam Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI)  semasa Perkampungan Penulis Kedah 2007 lalu, menyediakan barisan pelapis muda, generasi ketiganya yang nanti bakal muncul dengan karya besar di persada sastera nasional. Para fasilitator (sasterawan mapan) memandu mereka dengan memberi ulasan terhadap karya secara tertib dan merangsang mereka. Para penulis muda, nampak lebih bersemangat berkarya.


 


Saya fikir di e-Sastera pun begitu. Kita perlu lahirkan barisan pelapis penulis alam siber, dengan pelbagai kemungkinan daya kreativiti, dan penyerlahan bahasa kreatif yang segar, baru dan sarat dengan makna. OK. Rima, kita berhenti dulu. Kita sambung lagi nanti. Terima kasih.


 


Ya, saya amat bersetuju agar kita mengulas karya (pada sisi yang positif dan negatif) bukannya peribadi pengkarya. Saya juga bersetuju bahawa ulasan yang keterlaluan "ganas" akan membunuh minat penulis yang baru berjinak untuk berkarya. Manakala ulasan yang terlalu memuji tak bertempat pula akan meletakkan mereka di kayangan dalam khayal tak berjejak di bumi nyata.


 


Yang ini pula persoalan lapuk tapi masih relevan untuk dibincangkan. Jawapan saudara menunjukkan bahawa mata pelajaran Kesusasteraan Melayu turut terpinggir di universiti rupanya. Di sekolah pula. mata pelajaran ini ditawarkan kepada "murid-murid kelas hujung". Pada pandangan saudara, bagaimanakah masa depan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di negara ini?


 


Sekali lagi terima kasih Saudara Rimanilzah. Selepas makan tengah hari, pekena kari pedas, dan segelas air suam, tidaklah rasa mengantuk. Membaca pula e-mel saudara, lagilah tidak mengantuk saya. Hanya bila diajukan soalan tentang masa depan Kesusasteraan Melayu, tambahan pula subjek Bahasa Melayu, dan subjek yang diajar dalam bahasa Melayu, di universiti di sini, dan di universiti-universiti lain, terfikir panjang hendak menjawabnya.


 


Memang diakui bahawa subjek Kesusasteraan Melayu lewat diperkenalkan di UUM. Subjek Kesusasteraan Melayu di sini baharu diperkenalkan kepada pelajar baharu lima tahun, sedangkan usia Universiti sudah mencapai hamper 25 tahun. Itu pun setelah masuknya guru-guru bagi Program Pengsiswazahan Khas Guru (PKPG) yang akan berakhir pada 2010, dan Program Khas Pengsiswazahan Guru Besar (PKPGB) yang baru bermula setahun dua ini. Mereka inilah yang minornya Bahasa Melayu mengambil subjek Bahasa dan Linguistik Melayu, dan Kesusasteraan Melayu.


 


Sebelum ini, pernah saya tawarkan kursus Gaya Bahasa. Sekejap saja buka kedai, kemudian tutup kedai. Pelajar-pelajar dari disiplin lain, mereka tak berminat dengan Kesusasteraan, kecualilah saudara Aziz Zabidi, yang sedang mencipta nama di e-Sastera. Dia dari disiplin bukan sastera. Yang anihnya, mereka yang mengambil subjek ini, dapat A, sekadar dapat A sajalah. Bukan untuk menghasilkan karya kreatif. Ini pastinya berbeza. Yang belajar, yang berminat, yang berbakat, dan yang berkarya. Bukan semua manusia begitu. Berapa ramai yang berijazah tinggi dalam bidang Kesusasteraan Melayu yang berkarya? Mereka hanya belajar. Tidak mengapalah. Kalau daripada ratusan atau ribuan yang belajar disiplin itu, terhasil seorang dua pun cukup.


 


Kita melihat beginilah tentang masa depan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, kita lihat pemimpin kita. Mereka yang menggubal pelbagai polisi sistem pendidikan dari prasekolah hinggalah ke universiti. Sistem kita tak ada hala tuju dan tidak tetap berpegang kepada falsafah pendidikan. Kita ikut perubahan. Begini, suatu ketika Negara kekurangan tenaga sumber manusia dalam bidang sains dan teknologi maklumat, maka kita pun habis-habisan macam kilang keluarkan produk berkenaan. Sekarang apa jadi, graduan IT, kurang tidak mendapat tempat lagi. Misalnya, kumpulan pertama PKPG, major IT dan Multimedia, bila posting, mereka mengajar Bahasa dan Sastera Melayu.


 


Masa depan subjek Kesusasteraan Melayu, sebenarnya banyak bergantung kepada pucuk pimpinan negara. Kalau para pemimpin, majoriti Melayu, melaksanakan polisi mengejapkan akar bahasa, sastera dan budaya Melayu, maka akan suburlah ia. Kita ambil contoh negara-negara jiran kita, kesusasteraan bangsa mereka kuat, juga budaya mereka sebati. Ini bagi negara Thai. Negara sebuah lagi, saudara tentu tahu, kita pernah dan masih berkiblat kepada kesusasteraan mereka kerana kita berasal dari rumpun yang sama. Mudah kita menerimanya pula. Kesusasteraan di sana masih subur.


 


Saya yakin masa depan Kesusasteraan Melayu akan terus cemerlang. Kita tidak boleh berdiam diri. Saya di sini, berjuang secara senyap, selama 10 tahun, menanam minat kepada pelajar di universiti. Mereka ini pendidik dan bakal pendidik. Mereka ini perlu ditanam minat cintai Kesusasteraan Melayu. Cara paksa mereka membaca karya-karya sastera, lebih berkesan dan berjaya. Akhirnya mereka jatuh cinta. Enam pelajar PKPG, yang asalnya tidak berminat langsung, akhirnya meneruskan pengajian mereka ke peringkat sarjana dalam bidang pengajian Bahasa Melayu Kontemporari. Hidup juga subjek ini di peringkat ijazah lanjutan. Mereka ini bila kembali ke sekolah, akan kembangkan minat dan subjek ini. Ada juga yang berkarya di e-Sastera.


 


Media elektronik pula memunculkan sastera siber/ elektronik. Muncul pula eSastera. com  dengan 17 komuniti; sajak, pantun, dunia kini, teka-teki, haiku, dan sebagainya merancakkan lagi perkembangan dan pertumbuhan sastera Melayu di Malaysia, malahan di peringkat internasional. Wadah siber ini unik. Dengan sekelip mata sahaja, sentuhan jari kita, karya kita akan terpampang di skrin, dapat ditatap, dinikmati dan diberikan ulasan oleh pembaca e-Sastera. e-Sastera sendiri melahirkan ramai sasterawan/ penulis siber. Karya-karya siber lebih interaktif, beranimasi, ada grafik, berwarna-warni, aksara dan visual bergerak-gerak, dan bersuara, serta ada iringan muzik. Seperti kata Drirwan, selaku founder eSastera.com karya siber adalah karya yang dikomposisikan. Kita dedahkan keunikan karya sastera siber, dan senangnya berkarya di alam siber, pastinya mereka tertarik. Masa depan Kesusasteraan Melayu sebenarnya terletak di tangan kita, juga tidak dapat dinafikan peranan para pemimpin kita dalam membangunkan bahasa dan sastera Melayu.


 


Saya ingin mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya memasukkan dalam silibus Kesusasteraan Melayu, komponen sastera siber, dan menjadikan bahan-bahan atau karya dalam sastera siber sebagai bahan pengajaran. Para pelajar akan lebih berminat dan tertarik dengan subjek ini kerana subjek ini menggabungkan teknologi, siber, realiti, dan apresiasi. Kalau inilah menjadi realiti, sastera Melayu akan mendapat tempat. Apatah lagi, di universiti, saya dalam proses memperkenalkan kursus Kesusasteraan Siber dengan merujuk e-Sastera. Banyak yang boleh dikaji mengenai e-Sastera dan analisis karya-karya siber dari pelbagai dimensi. Kajian tentang ini, boleh dilakukan di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan. Saya telah pun memulakan itu di sini. Dan saya bercadang untuk menjemput Drirwan ke sini, berwacana tentang e-Sastera, mengaitkannya dengan perkembangan dan pertumbuhan Bahasa dan Sastera Melayu. Kalau tidak didedahkan ini, khalayak tidak tahu. Insya-Allah, masa depan bahasa dan sastera Melayu ada tempatnya sama ada di alam siber atau alam realiti.


 


Wajarkah Kesusasteraan Melayu menjadi subjek wajib pada peringkat SPM?


 


Terima kasih kembali. Salam pertemuan dan wawancara siber kita. Soalan ini, wajar atau tidak subjek Kesusasteraan Melayu menjadi subjek wajib pada peringkat SPM, kalau sekadar memberi pandangan, bolehlah. Suara saya dan suara kita, siapa hendak mendengarnya. Kes lain yang besar dan serius, iaitu kes pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, pinggirkan bahasa asal bahasa Melayu, telah diberi pendapat oleh para sarjana dan pakar bahasa, serta bidang pendidikan, kemudian dilakukan kajian, hasilnya merugikan anak-anak Melayu, di luar bandar. Tiada kesan apa-apa pun. Malahan diteruskan juga agenda itu, jadi agenda nasional. Rasionalnya mudah, bahasa Inggeris adalah bahasa global dan internasional. Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu. Itu logik alasan pimpinan di atas untuk menjayakan agenda nasional itu.


 


Untuk menjadikan subjek itu subjek wajib, kita hendaklah beri rasionalnya kenapa subjek itu, bukan subjek-subjek lain? Dasar pendidikan kita yang masih kuat ialah subjek wajib ialah Bahasa Malaysia. Dan untuk bekerja dengan kerajaan, pula mesti kredit subjek Bahasa Malaysia. Kalau bekerja di swasta, majikan tidak mengambil kira langsung subjek itu. Subjek Bahasa Inggeris, dan subjek-subjek lain, misalnya sains dan matematik, kedudukannya tinggi untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Kita hanya boleh berbangga kerana komponen sastera Melayu (KOMSAS) bersatu dalam subjek Bahasa Malaysia.


 


Susah kita hendak merasionalkan  subjek Kesusasteraan Melayu secara berasingan sebagai subjek wajib. Kata Melayu sudah bertukar menjadi Malaysia. Pernah ada orang Melayu mengusulkan supaya Kesusasteraan Melayu menjadi Kesusasteraan Malaysia. Ini lagi parah nasib kata Melayu. Alasan mereka, subjek itu tidaklah fokus kepada Melayu sahaja. Di Malaysia mengikut pendapat orang Melayu ini, bukan hanya ada orang Melayu. Ada juga orang Cina, India dan Bumiputera. Lagi pun ini zaman globalisasi dan pascamoden, di mana letak duduk kesusasteraan Melayu?


 


Saudara sendiri sudah dapat mengagak jawapan bagi soalan ini. Kewajaran yang saya nyatakan bergantung kepada beberapa faktor; sistem dan dasar pendidikan, keperluan subjek, kepimpinan,  semangat kecintaan terhadap Melayu, dan penerimaan bangsa-bangsa lain terhadap subjek ini.


 


Memang betul. Subjek Bahasa Melayu (Malaysia) dan Kesusasteraan Melayu tiada nilai komersil. Oleh sebab itu, kedua-dua subjek ini (terutama Kesusasteraan Melayu) seakan-akan dipinggirkan. Tapi, e-Sastera sepanjang lima tahun, saya dapati semakin berkembang. Walaupun ada penulis yang pergi, banyak juga penulis yang datang. Apakah pandangan saudara tentang masa depan sasterawan di e-Sastera?


 


Terima kasih. Seronok saya diwawancara oleh saudara via e-mel. Soalan-soalan saudara mencabar minda saya. Terfikir panjang juga saya bila hendak menjawabnya. Sedaya upaya, saya cuba memanfaatkan wacana ini untuk melontarkan idea dan pandangan saya terhadap isu-isu berkaitan dengan sastera, bahasa, dan pemikiran kita. Moga ada manfaat kepada khalayak pembaca.


 


Hari Sabtu lepas, bertarikh 5 Januari 2008, saya bercakap kepada pelajar-pelajar saya tentang isu peminggiran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, bukan sahaja di peringkat sekolah, malahan di universiti. Mereka ini semuanya guru, dan bersetuju akan kenyataan itu. Dalam sistem pendidikan kita begitulah. Kita menerima hakikat, meskipun dengan berat hati. Yang mampu kita hanya bersuara. Orang politik juga menyuarakan protes tapi mereka ada agenda di sebaliknya. Mereka ada agenda politik. Jadi, apa boleh kita buat untuk membangkitkan semangat, dan memberi nafas bahasa dan kesusasteraan Melayu supaya tidak mati atau berkubur?


 


Saya bertanyakan mereka. “Pernah dengar e-Sastera? pernah dengar sastera siber dalam bahasa Melayu?” Mereka tidak pernah dengar e-Sastera, apatah lagi sastera siber berbahasa Melayu., apatah lagi mengakses/ membuka laman web e-Sastera.  dalam hati kecil saya berkata, “Bagus juga mereka tak tahu apa-apa tentang e-Sastera. Inilahlah masanya untuk saya menjadi “mubaligh sastera siber” (pinjam kata Drirwan). Sampaikan sedikit promosi tentang eSastera.com.


 


Pada saya, sastera dan bahasa Melayu di alam siber tidak akan mati. Malahan ia akan berkembang dan berkembang. Selagi kita berkarya, bertambah jumlah karya, selagi itu bahasa dan kesusasteraan Melayu bernyawa, dan hidup. Tapi kita mesti serius berkarya, bukan untuk kepentingan diri; untuk pembangunan dan masa depan e-Sastera kita.


 


Strategi kita ialah kita bercakap tentang e-Sastera kepada para pelajar kita, kepada khalayak kita supaya mereka berminat, dan lama kelamaan mereka jatuh hati dengan e-Sastera. Memanglah usia e-Sastera, baharu lima tahun, masih bayi lagi, masih merangkak, kalau dianalogikan dengan seorang bayi. Tapi saya lihat, e-Sastera tidak begitu, lima tahun usia e-Sastera, macam remaja yang pantas bergerak, dan berdaya saing, penuh kreatif dan memanifestasikan kreativitinya di alam siber, dicetak menjadi karya di alam nyata.


 


Akhir percakapan saya bagi soalan ini, saya optimis masa depan e-Sastera gemilang. Sastera siber bergerak seiring dengan sastera dalam bentuk konvensional/ bercetak. Kita bukan hendak menunjukkan bahawa sastera Melayu mana yang lebih ramai khalayak atau sebaliknya. Tapi lebih penting, kita bersama-sama, menggerakkan  dan memberikan nafas segar terhadap perkembangan kesusasteraan dan bahasa Melayu di pentas nasional dan global.   


 


Memang banyak yang rasa "bertuah" apabila saya wawancarai. Hahaha. Yang lain jangan cemburu pula.


HESCOM 2007 anugerah kelas kedua? Demikian tajuk rencana (yang berupa pertanyaan) oleh Azman Ismail dalam Utusan Malaysia bertarikh 7 Januari 2007. Pandangan saudara bagaimana?


 


Terima kasih Saudara Rima kerana masih sudi mewawancara saya. Memang jawapan yang dikirim bagi setiap soalan yang saudara kemukakan adalah secara spontan, dan lahir dari fikir rasa saya, tanpa dipaksa-paksa dan saya tidak berselindung di sebaliknya. Saya menjawab dengan penuh rasa jujur, dan melontarkan pendapat demi kebaikan dan masa depan e-Sastera. Pada saya e-Sastera sebagai wadah “daripada kita, untuk masa depan bahasa dan sastera kita”.


 


Berbalik kepada soalan saudara berhubung dengan HESCOM 2007 anugerah kelas kedua? Saya membaca tulisan itu setelah terpapar di papan nota pada hari Rabu, 9 Januari 2007. Soalan itu, pada saya nampak positif kerana setelah lima tahun, HESCOM sudah berada di kelas kedua, tidak ketiga atau tanpa kelas begitu! Sedangkan pelbagai anugerah sastera yang diwujudkan oleh institusi-institusi lain sudah lama diperkenalkan, sudah lebih lima tahun. Maka meletakkan anugerah-anugerah itu di kelas pertama, kita terimalah. Kalau begitulah penilaian mereka (?).   


 


Anugerah adalah pengiktirafan institusi atau badan yang terlibat secara langsung dalam bidang sastera terhadap para penulis atau penggerak yang konsisten. Yang menjadi isu berkenaan anugerah ialah nilai material setiap anugerah, yang rendah dari segi Ringgit Malaysia (RM). Pada saya, bukanlah isu besar untuk setiap anugerah. Kalau tidak diberikan apa-apapun, sekadar sijil atau trofi, sudah memadai. Yang penting ialah pengiktirafan terhadap penulis atau sasterawan. Dalam konteks ini, saya merujuk kepada penulis atau sasterawan alam siber.


 


Bagaimana kalau, nilai setiap anugerah sastera siber, begitu lumayan sama atau lebih nilainya daripada anugerah sastera konvensional atau bercetak? Pastinya mereka akan celik mata luas-luas, dan mereka akan beralih ke sastera siber pula untuk meraih ganjaran lumayan itu. Bagaimana kalau semua sayembara penulisan sastera nasional disiberkan? Tentunya sastera siber akan lebih dikenali dan mendapat tempat. Akan pula berlaku peralihan penulis atau sasterawan untuk berkarya di alam siber.


 


Pada saya, soal kelas bukanlah penting sangat. Saya ingin bertanya, siapa yang meletakkan kelas bagi setiap anugerah? Atas dasar apa kelas diberi? Saya fikir sukar untuk kita memberi jawapannya. Justeru, tulisan itu berupa suatu pertanyaan yang sukar diberikan jawapan. Dan cabaran juga kepada kita supaya lebih serius berkarya, dan membuktikan kepada khalayak atau pihak-pihak tertentu bahawa sastera siber lebih berkualiti, lebih menyerlah kreativiti, dan berjaya menarik minat khalayak yang lebih luas berbanding dengan sastera dalam bentuk konvensional.


 


Perkara lain yang penting dalam soal anugerah sastera siber ialah sokongan dan bantuan material dan moral daripada pihak kerajaan, swasta dan individu dalam usaha meletakkan sastera siber Melayu di persada nasional dan global. Alhamdulillah, kita berterima kasih, misalnya DBP kuat menyokong e-Sastera.


 


Insya-Allah, setelah e-Sastera melalui perjalanan yang panjang, dengan terhasil karya yang berkualiti, muncul pula sasterawan siber yang hebat, dan pelbagai anugerah ditawarkan dengan nilai yang setimpal, HESCOM akan beralih kelasnya, dari kelas kedua ke kelas pertama, dan berada sebaris dengan anugerah-anugerah sastera nasional lain yang sudah lama diwujudkan.  


 


Tapi satu yang pasti, penulis siber mampu menulis secara konvensional. Penulis konvensional belum tentu dapat menjadi penulis siber. Tapi itu bukan persoalannya. Setiap orang punya cara. Dan saya bersetuju yang dipentingkan ialah mutu.


Saya berganjak kepada soalan lain. Mengapakah tajuk sajak saudara panjang-panjang?


 


Ya, penulis siber boleh berada dalam dua alam; alam maya dan nyata. Ini uniknya penulisan dan penulis alam siber. Tapi soal mutu karya hendaklah diberi perhatian supaya tidaklah dilabelkan, mudah berkarya di alam siber kerana tiada tapisan kualiti, dan tiada saringan editor. Penulis siber mempunyai hak dan kebebasan menerbitkan karyanya tanpa had kuantiti. Tapi di e-Sastera penyair, ada hadnya iaitu sebuah sajak sehari. Terlalu pantas pergerakan masuk – keluar sajak di komuniti ini, hinggakan tidak sempat kita membaca sajak­-sajak itu, apatah kita mengapresiasi estetik sajak-sajak berkenaan. Saya sendiri, ada masalah tentang itu. Dengan hambatan yang ditempuhi, terpaksa juga selektif. Ini juga menjadi isu, tanpa apresiasi, karya itu berlalu begitu sahaja. Kita tidak belajar sesuatu daripada karya itu. Ini akan merugikan kita sebagai penulis atau pembaca.


Mari kita sama-sama fikir, mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa depan gemilang e-Sastera kita.


Soalan saudara berkaitan dengan tajuk sajak panjang, kenapa? Saya namakan jenis atau bentuk visualnya, saja-saja akronimnya “tasapan” = tajuk sajak panjang. Saudara mungkin tak bersetuju. Tidak mengapa. Saudara ada hak untuk tidak bersetuju kerana nature sastera adalah subjektif.


 


Panjang juga ceritanya bagi menjawab soalan saudara itu. Sebelum saya beralih ke sastera siber, taksub dengan e­-Sastera, saya menjadi pemerhati e­-Sastera dan karya­-karyanya, membaca tentang tulisan Drirwan dalam Dewan Sastera, bulan  November 2004. Isu e-Sastera dengan pelbagai hujah positif dan negatif. Saya tertarik bila mendapati founder e­-Sastera, seorang sarjana dan profesor dalam bidang biokejuruteraan, dan handal pula berkarya sastera.  Teman-teman e-Sastera yang lain juga, bukan calang-calang orang, dan dari pelbagai disiplin ilmu. Mereka bersatu idea dan fikiran di alam siber. Saya kagum dengan e-Sastera. Setelah setahun lebih, saya membaca tulisan S.M. Zakir dalam Mingguan Malaysia tentang penulis generasi berilmu di e-Sastera. Saya respons tulisan itu dalam weblog saya. Setahun juga saya ambil masa membuat penelitian terhadap e-Sastera.


 


Semasa di universiti, saya belajar secara formal menulis karya kreatif; sajak, skrip drama, cerpen, dan penulisan kritikan sastera. Kalau dapat dinamakan mahaguru saya dalam penulisan kreatif, misalnya Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Harun Mat Piah, Allaharyam Dr. Othman Puteh, Allaharyam Dharmawijaya, Dr. Ramli Isin, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Prof. Dr. Sahlan Mohd. Saman, Dr. Mana Sikana, Prof. Dr. Ali Ahmad, Prof. Emeritus Shahnon Ahmad, Prof. Dr. Salleh Yaapar, Prof. Rahman Shaari, Sasterawan Negara A.Samad Said, dan bercantum dengan mahaguru linguistik-stilistik di dalam dan di luar negara. Saya tetap menghargai jasa baik dan segala ilmu sastera, bahasa dan penulisan yang disumbangkan kepada para pelajarnya.  Tanpa ilmu mereka, kita pun tak dapat ilmu dengan bersemuka.


 


Enam tahun  saya belajar tentang sajak dan mendalami dunia sajak, penulisan dan terjemahan sajak  dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu daripada mahaguru sajak saya, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, semasa saya menjadi pelajar ijazah pertama dan ijazah lanjutan. Pengaruh sajak­-sajaknya dan cara kritikannya kuat mempengaruhi cara saya berkarya. Semua sajak dan tulisannya saya telaah dan hayati. Selalu dia menyatakan makna sajak mengikut S.T. Coleridge, seorang penyair Inggeris yang hidup sezaman dengan penyair Wordsworth; sajak/ puisi ialah the best words in their best order (perkataan terbaik dalam susunan terbaik).


Belajar dengannya, saya didedahkan dengan sajak-sajak Inggeris, haiku, sajak Mexico, Amerika Latin, dan pemenang Nobel Prize Kesusasteraan, misalnya Pablo Neruda dan Milosz. Di Malaysia, pada masa itu disuruh baca sajak-sajak Baha Zain, A.Latiff Mohidin, Usman Awang, dan Kassim Ahmad, kemudian sajak-sajak T.Alias Taib. Allaharham rapat dan baik dengan Muhammad Haji Salleh. Saya juga kenal baik dengan Allaharham. Saya panggilnya Pak Ku. Selalu kami sembang-sembang tentang sastera dan sajak semasa dia menjadi karyawan tamu di UKM. Saya masih ingat pesan beliau “Azmi, serius menulis, banyak membaca karya orang lain, dan mesti ada kamus untuk rujukan kosakata.” Di Indonesia, disuruh baca karya Subagio Sastrowarjoyo, Chairil Anwar, Sapardi Djoko Damono, dan  W.S. Rendra,  Saya juga membaca dan meneliti sajak-sajak koleksi peribadi saya yang melebihi 300 buah.


 


Selain itu, saya teliti juga sajak­-sajak yang dinamakan sajak eksperimen, terutamanya dari segi bentuk. Ada yang menamakan sajak ini, sajak konkrit. Saya teliti, sajak-sajak konkrit/ eksperimen Melayu oleh Sutardji Calzoum Bachri dan Ibrahim Sattah di Indonesia. Di Malaysia, saya teliti sajak-sajak A. Ghaffar Ibrahim dengan sajak 3V, juga sajak­-sajak Sani Sudin, “Dalam Di Dalam”, berbeza bentuk sajak.


 


Bentuk judul sajak yang panjang, bukanlah dicipta begitu saja atau suka-suka tanpa penelitian terhadap sajak-sajak penyair lain sama di tanah air atau di luar negara.  Misalnya, cuba teliti sajak-sajak Sutardji, dalam antologi “Amuk”. Judul sajak-sajaknya satu/ dua patah perkataan sahaja, begitu juga sajak-sajak penyair konkrit dari Riau, Ibrahim Sattah. Sajak panjang Sutardji, berjudul “Amuk” panjangnya 24 halaman, setiap rangkap satu halaman, berhuruf kecil, dengan pelbagai tipologi. Sajak “Kucing” dibina hanya satu rangkap penuh satu halaman, berhuruf kecil kecuali huruf O dan kata M bagi “Mu”. Judul-judul sajak Sutardji, bunyinya aneh, misalnya judul “Tangan”, “Pil”, “Tapi” dan “Tak”. Kita barangkali biasa dengan sajak berjudul “Luka”, kemudian ditulis /ha ha/. atau sajak “Kalian” yang ditulis /pun/. Itupun dinamakan sajak. Anehkan begitu? Pembaca mungkin berkata, senangnya menulis sebuah sajak. Tapi kalau ditulis begitu, kita sudah ciplak idea Sutardji. Penyair bernama Sutardji, pada pandangan pengkritik, misalnya Subagio, Umar Junus, Popo Iskandar, HB Jassin dan Asrul Sani, mengangkat Sutardji sebagai penyair yang telah membawa pembaharuan dalam sajak Indonesia. Dia telah membebaskan kata-kata dari makna. Begitu juga, dengan penyair konkrit Indonesia, Ibrahim Sattah, membawa sajak antikata, mengikut kata Dami N. Toda, dan isi serta bentuk sajak unik, kata H.B. Jassin, atau sajak-sajak Ibrahim Sattah, kata-kata sudah secara langsung melahirkan ruang, kata Rudjito. Judul sajak-sajaknya hanya satu patah kata, misalnya “Ibrahim”, jumlah 19 halaman, berakhirnya dengan kata /ibrahim/.


 


Idea judul juga saya perolehi hasil penelitian sajak-sajak Barat, jenis yang dinamakan concrete/ pattern/ shape poetry, atau akronimnya VisPo bermaksud visual poetry. Sajak-sajak VisPo seperti yang dihasilkan oleh penyair Amerika Syarikat, E.E. Cummings, Estlin, lebih mengutamakan tipografi/ visual, memberi efek kata, ritma dan rima. Lebih menarik, kalau kita teliti sajak-sajak penyair Brazil, yang terkenal dengan sajak VisPo, iaitu Augusto de Campos; dengan sajak berwarna-warni, dan penuh aksara yang pelbagai saiz. Itupun dinamakan sajak. 


 


Sebelum ke e-Sastera, saya pernah mencuba sajak konkrit, terpengaruh dengan sajak-sajak konkrit Barat. Selain itu, pernah juga saya meletakkan judul sajak di tengah­-tengah isi sajak. Ada juga sajak, judulnya di bawah isi sajak. Ada juga sajak yang hasilkan cantuman daripada sajak, pantun, dan peribahasa, yang saya namakan satunsa. Saya mencuba dan mencuba mencari kelainan bentuk, supaya sebagai karya yang bernama sajak, ada pelbagai bentuk yang boleh penyair persembahkan. Kemudian, saya mencuba eksperimen sajak yang tajuk/ judulnya panjang, kalau itu dinamakan eksperimen. Pada saya, ruang siber memungkinkan pelbagai kreativiti. Pernah saya mencuba di media cetak konvensional, tak diterima dan ditolak. Pernah juga saya bercakap dengan kawan-kawan yang kurang berminat dengan sajak, katanya pelik judul begitu dan itu bukan sajak. Jadi, apa itu? Tidak mengapa, dia tidak faham apa itu sajak. Mungkin, sajak pada tafsirannya adalah mengikut Coledrige atau Muhammad Haji Salleh.


 


Kenapa tajuk sajak panjang? Saya tidak mahu mengikat makna sajak dengan tajuk yang dua tiga perkataan atau sebuah kata atau frasa atau klausa. Saya mahu tajuk sajak adalah citraan atau sudah melekat gambaran mental pembaca dengan pelbagai citraan sama ada yang konkrit atau abstrak. Citraan dalam tajuk boleh disimbolikkan, dimetaforikalkan, dipersonifikasikan atau didipersonifikasikan. Saya faham bahawa, kelihatan ada percampuran citraan/ imej dalam judul, kalau mengikut mahaguru sajak saya, sajak yang tidak indah. Untuk tujuan tertentu, sayembara mungkin, kita ikutlah acuan sajak begitu. Tapi kalau hendak mengajar penulis/ penyair baru, kita kena ajar bentuk sajak yang begitu. Kalau terus dengan sajak eksperimen atau konkrit atau VisPo, terkejut mereka nanti. Lama kelamaan, mereka faham bahawa sajak sebagai sajak, adalah bentuk bebas.


 


Dalam sajak, saya memikirkan tajuk panjang yang memberikan gambaran atau huraian dalam baris-baris sajak atau perluasan makna tajuk. Saya mahu bila pembaca membaca judul, seolah-olah sudah membaca sajak meskipun hanya membaca judul yang disusun sama ada dengan kata-kata puitis atau biasa. Saya juga memikirkan bahawa ada dua atau lebih tajuk dalam sebuah sajak tapi berkaitan tajuk dan baris-baris sajak. Selain itu, saya memikirkan bahawa tajuk sajak panjang tapi padat baris/ baris-baris isi sajak. Ada baris­baris itu berupa kesimpulan dari tajuk sajak dan ada yang merupakan huraian kepada tajuk sajak. Juga saya memikirkan tajuk-tajuk sajak yang panjang, mungkin satu muka penuh, tanpa baris-baris isi atau hanya satu baris isi. Saya terfikir juga, belum ada judul antologi sajak, judulnya panjang, penuh satu kulit buku sajak. Bagaimana, saudara dengan idea saya ini?


 


Macam­-macam lagi saya fikirkan tentang sajak  dan warna diri sajak supaya ruang siber lebih meriah dengan sajak-sajak siber yang berlainan bentuk, bahasa dan estetiknya. Hanya hambatan saya ialah tidak mendalami ilmu multimedia. Kalau tidak saya mahu tajuk sajak saya bergerak-gerak, berterbangan, berpecah-pecah, ada muzik, bersama imej, berwarna-warni, bersuara, dan baris-baris isinya mencari-cari diksi dalam tajuk. Kalau dapat semuanya adalah original hasil penyair, lagilah indah persembahan sajak itu. Sajak-sajak VisPo Melayu belum berkembang lagi, di ruang siber e-Sastera. Saya ada idea tapi seperti yang saya beritahu, hambatan saya ialah tidak menguasai ilmu teknologi dan multimedia/ animasi. Maka, saya tidak mampu mengkomposisikan sajak siber tulen.  


Proses menghasilkan sajak-sajak begini, bukanlah sehari dua. Ada yang berbulan-bulan. Ada langsung tidak siap menetas. Bermula proses mencari idea, mengeram, menetas, dan menatang anak-anak idea yang lahir, prosesnya lama. Kalau orang mengatakan bahawa dia pun ingin buat begitu, tidak mengapa. Itu hak dia sebagai penyair siber. Idea-idea kreatif yang lain, harus dijelmakan supaya ruang siber sastera kita lebih berwarna­-warni. Itulah jawapan bagi soalan saudara tentang tajuk sajak panjang dengan saya menceritakan tentang latar belakang proses kreatif, sebelum saya mendapat idea menghasilkan sajak-sajak yang berbentuk begitu.


 


Wah, panjang jawapan daripada saudara kali ini! Dan banyak ilmu di dalamnya. Berkenaan dengan persoalan tajuk sajak yang panjang ini saya tertarik akan pendapat Dr. Ismail Thamby yang saya baca dalam Utusan Malaysia jika tidak silap. Panjang atau pendek tidak penting. Yang penting puas. Komen saudara?


 


Dalam logik, penyataan begitu dinamakan non-sequitur. Maka, sajak adalah sajak sebagai satu daripada karya sastera tanpa mengambil kira panjang atau pendek bentuk/ saiznya. Kalau dibuang/ tanpa itu pun, tanpa alat itupun, kepuasan boleh dinikmati. Tentang ini, pernah saya hadiri seminar seksualiti di Alor Setar. Dr. Ismail, cakap terus tanpa berselindung. Tunjuk gambar-gambar lagi. Dia bercakap bab ini berdasarkan kajian empirikalnya sebagai pakar sakit tuan. Kebetulan pula saya kini sedang menyiapkan kajian tentang seksualiti Melayu. Dalam kitab-kitab lama Melayu, lagi hebat dihuraikan bab seksualiti Melayu/Islam.


 


Bentuk sajak saudara membuktikan bahawa adanya sajak donat di e-Sastera. Sajak donat merujuk kepada sajak-sajak yang dihasilkan agak kerap di e-Sastera dalam bentuk yang lebih kurang sama. Boleh juga dinamakan gaya persajakan - kalau mahu - saya cuba tidak mengaitkan sajak donat dengan karya yang diterbitkan secara konvensional kerana antologi sajak atau sajak yang diterbitkan di media lazimnya telah melalui satu proses pemilihan dan penyuntingan. Begitu pun sajak donat bukan berkaitan dengan mutu tetapi berkaitan dengan bentuk.


 


Apakah pandangan saudara tentang sajak donat?


 


Tentang sajak donat, saya kurang berminat untuk membincangkannya. Donat itu makanan, sajak adalah sajak, bukan makanan pejal/ jasad.


 


Donat bukan setiap hari saya makan. Sebulan pun belum tentu makan. Makan, tak timbul soal sajak donat, pernah dulu mahaguru sajak saya, menamakan sajak kabur, sajak kurang matang, sajak sampah, lantaran sajak-sajak seorang penyair tersohor juga, prolifik dan selalu menang hadiah sastera. Lagi pun siapa yang buat donat setiap hari? Kenapa tidak sajak cucur (orang Kedah sebut cucuq), sajak yang tumbuh setiap hari di bumi sastera. macam si penanam. Sajak adalah sajak, bukan donat, bukan mi segera, bukan apa-apa pun.


 


Kalau hendak dikaitkan dengan donat, kalau kita sukan makan donat setiap hari, makanlah. Kalau nak makan seminggu, sebulan, setahun sekali atau tak mahu makan donat langsung, itu hak sebagai pengkarya.


 


Kita berhak menamakan apa saja, sajak donat, sajak kek tapi hendaklah ada asas yang kukuh. Sajak kemanusiaan, sajak intelektual, sajak visual, bukan arbitrari, lontaran kita. Kita mesti serius, selalu ingat pesan Cikgu Shahnon Ahmad dalam suatu pembentangan proposal ijazah sarjana Faisal Tehrani, di USM, “komenlah yang membina…biarlah, dia nak belajar…” Faisal teruslah belajar dan belajar, setiap tahun dua tiga buah novel, dia hasilkan. Semasa saya bercakap­cakap dengan penyair terkenal ASASI, setiap hari dia hasilkan sajak, terbit banyak antologi sajak. Tiada pula dilabelkan sebagai sajak donat, timbul isu bila disiarkan setiap hari dalam media elektronik. Kalau setiap minggu, dalam pelbagai media bercetak, bagaimana pula? 


 


Saudara Rima, isu sajak donat, memang menarik bila ditimbulkan dalam e-Sastera. Tentang sajak donat, saya tidak respons. Donat itu makanan, sajak adalah sajak, bukan makanan pejal/ jasad. Tapi kalau hendak cakap tentang sajak donat, sekadar beri pandangan bolehlah. Jangan ambil kira sangat pandangan saya ini yang spontan sahaja. Saudara barangkali ada pendapat lain. Saya terima.


 


Donat bukan setiap hari saya makan. Sebulan pun belum tentu makan. Maka, tak timbul soal sajak donat, pernah dulu mahaguru sajak saya, menamakan sajak kabur, sajak kurang matang, sajak sampah, lantaran sajak-sajak seorang penyair tersohor juga, prolifik dan selalu menang hadiah sastera. Itu mungkin ada kaitan dengan hal peribadi penyair dengan pengkritik itu. Saya hanya berada di tengah-tengah.


 


Lagi pun siapa yang buat donat setiap hari? Kenapa tidak sajak cucur (orang Kedah sebut cucuq), sajak yang dihasilkan setiap hari di e-Sastera. Kalau analogi cucuq, lagilah menarik; ada variasi cucur meskipun setiap hari sama. Bentuk cucur berbeza, hargapun berbeza, warna berbeza, rasa berbeza. Bahan buatan saja sama iaitu tepung. Sajak adalah sajak, bukan donat, bukan mi segera, bukan apa-apa pun.


 


Kalau hendak dikaitkan dengan donat, kalau kita suka makan donat setiap hari, makanlah. Kalau nak makan seminggu, sebulan, setahun sekali atau tak mahu makan donat langsung, itu hak sebagai pengkarya.


 


Kita berhak menamakan apa saja, sajak donat, sajak kek tapi hendaklah ada asas yang kukuh. Sajak kemanusiaan, sajak intelektual, sajak visual, bukan arbitrari, lontaran kita. Kita mesti serius, selalu ingat pesan Cikgu Shahnon Ahmad dalam suatu pembentangan proposal ijazah sarjana Faisal Tehrani, di USM, “komenlah yang membina…biarlah, dia nak belajaq…” Faisal terus belajar dan belajar, setiap tahun dua tiga buah novel, dia hasilkan. Mengikut Cikgu Shahnon, semasa Pertemuan Penulis Kedah 2007, Faisal Tehrani memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa.


 


Semasa saya bercakap­-cakap dengan penyair terkenal ASASI, Jamaludin D, setiap hari dia hasilkan sajak, terbit banyak antologi sajak. Tiada pula dilabelkan sebagai sajak donat, timbul isu bila disiarkan setiap hari dalam media elektronik. Kalau setiap minggu, dalam pelbagai media bercetak, bagaimana pula?  Saya secara peribadi, respek Jamaludin D, banyak terbit antologi sajak atas pembiayaan sendiri. Dan dia jual sendiri antologi-antologi sajak itu di mana-mana ada kesempatan.


 


Betul. Kadang kala nama sudah tidak penting. Nama hanya untuk merujuk konsep tertentu sahaja. Bukanlah apa-apa. Malahan konsep nama juga boleh berubah. Misalnya maktab ialah meja mengikut makna asalnya dalam bahasa Arab tetapi berubah maknanya dalam bahasa Melayu. Mangkuk ialah bekas mengisi makanan pada asalnya tetapi kemudiannya dimaknakan sebagai bodoh juga. Makna boleh berubah.


 


Seperti teks KOMSAS juga akan diubah menjelang tahun 2010. Soalnya? Wajarkah karya pop turut dipilih menjadi teks KOMSAS dan karya Sasterawan Negara diketepikan?


 


Alhamdulillah, saya masih dapat bersama saudara Rima dalam sesi wawancara ini. Nampaknya sudah banyak isu yang kita bicarakan. Kalau ada perulangan isi yang saya lontarkan, minta saudara padamkan atas kebijaksanaan saudara. Terima kasih lagi atas respons saudara terhadap sajak saya berjudul “Perlu”. Untuk makluman, sajak itu lama juga saya mengambil masa untuk hasilkan. Bukanlah sehari dua atau seminggu. Lebih dari jangka masa itu. Itu pun saya masih kurang berpuas hati. Itu adalah siri sajak cinta, dari dimensi sejagat.


 


Oklah saya ingin kembali kepada soalan saudara. Isu pemilihan teks KOMSAS bukan karya Sasterawan Negara, diganti dengan karya popular. Desas desus ini sudah menghangatkan dunia sastera Melayu sehingga Sasterawan Negara A.Samad Said meluahkan rasa protesnya dengan menyatakan “Saya adalah mantan Sasterawan Negara.” Terlalu cepat juga tindakan SN A.Samad Said mengambil tindakan. Percakapan beliau agak pedas atas suara protesnya, yang sebelum ini dia pernah memprotes dengan melancarkan “mogok seni”. Akhirnya dia kembali berkarya setelah berjaya membuat perundingan seninya.


 


Tahun 2010, tahun macam-macam. Kedah, dengan Kedah Majunya, dan projek-projek mega lainnya, kita tunggu lepas pilihan raya 2008. Masanya pula 2 tahun sahaja selepas itu. Itu cadangan pihak Kementerian Pelajaran. Belum pasti lagi. DBP menyatakan bahawa, belum apa-apa diputuskan. Kita tunggu dan lihat apa tindakan dan keputusan Kementerian dan reaksi DBP sebagai organisasi penting yang menggerakkan bahasa, budaya dan sastera Melayu.


 


Beginilah, saya melihat isu ini memang serius, kalaulah ia menjadi kenyataan. Saya berpandangan bahawa sistem pendidikan nasional kita, tidak konsisten dan selalu berubah-ubah, dan tiada hala tuju terutamanya dalam usaha membina modal insan, apatah lagi kalau kita mahu bercakap ‘modal insan kelas pertama.’ Itu suatu utopia kalau dengan begini dasar pelajaran dan pendidikan nasional kita. Dasar dan falsafah pendidikan nasional kita, cantik di atas kertas tapi implementasinya, jauh tersasar. Berbalik kepada kata falsafah bermaksud mencari kebenaran dalam hidup. Sebagai individu pula, mental, jasmani, dan rohani hendaklah dikembangkan supaya menjadi insan yang sempurna dan seimbang. Jadi apa yang pelaksana dan penggubal dasar telah lakukan? Dasar bahasa dalam sistem pendidikan nasional kita lihat, sudah jelas menghumban maruah bahasa Melayu, dipinggirkan angkara para pemain politik yang tidak bertanggungjawab. Lalu, yang rugi ialah anak-anak Melayu. Lalu, kita teruskan juga dasar yang jelas merugikan bangsa kita. Begitu jugalah isu kesusasteraan Melayu, terus dipinggirkan dan dipinggirkan.


 


Kalau sistem pendidikan kita gagal, kita akan gagal melahirkan modal insan yang kita inginkan. Kalau kita dedahkan para pelajar kita dengan isu popular, bukan isu yang membuatkan pelajar kita berfikir, maka terhasillah manusia yang berminda popular. Sebenarnya para pelajar kita, terlebih terdedah dengan isu dan bahan-bahan popular. Lihat saja, di media masa bercetak dan elektronik. Banyak cerita berunsurkan popular dan hanya untuk keseronokan. Pelajar kita membaca majalah-majalah popular yang berlambak-lambak di pasaran. Mereka menonton TV, mengakses internet dan berkomunikasi via telefon bimbit, mereka terdedah dengan unsur-unsur popular. Apa hendak jadi dengan mereka? Di sekolah pula, ada lagi karya popular. Seolah-olah kerajaan sendiri menyokong unsur popular yang di luar sekolah, dibawa dan dibincang pula di sekolah. 


 


Unsur­-unsur popular dalam karya, tidak membuatkan pelajar berfikir berlandaskan falsafah pendidikan nasional atau berbalik kepada konsep falsafah itu seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Saya sendiri kurang faham, maksud novel atau karya Sasterawan Negara berat dan sukar difahami? Kenapa baharu sekarang timbul isu ini? Adakah ini berdasarkan respons para pelajar dan guru-guru sastera atau bahasa Melayu yang mengatakan karya Sasterawan Negara memang sukar difahami atau ada isu-isu lain yang tersirat di balik permainan politik individu-individu tertentu? Kalau beginilah situasinya, akan malanglah bahasa dan sastera Melayu, apatah lagi nasib Sasterawan Negara dan sasterawan-sasterawan pemenang anugerah lainnya, misalnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan S.E.A Awards.


 


Pihak-pihak tertentu terutamanya Kementerian Pelajaran dan DBP harus berperanan dalam hal ini, mencari jalan penyelesaian. Kalau benarlah itu, maka terjadi lagi tragedi bahasa dan sastera Melayu.  Kesusasteraan Melayu tinggi dan berilmu yang dihasilkan oleh para Sasterawan Negara, tiada nilainya dalam dunia pendidikan kita. Dan akan menjadi realiti juga seperti dalam sebuah tulisan yang disiarkan dalam sebuah media elektronik berjudul “Batu Nesan Kesusasteraan Melayu.” Membaca tulisan itu dan respons para penggiat dan peminat sastera Melayu, mereka rasa terpanggil untuk menyatakan protes mereka terhadap keputusan itu, kalau jadi kenyataan. Betapa tidak bertanggungjawabnya mereka terhadap masa depan bahasa dan kesusasteraan Melayu.


 


Terima kasih kerana sudi melayan soalan-soalan saya dalam sesi wawancara ini. Termasuklah satu soalan merapu daripada saya - yang tidak disangka dijawab dengan begitu serius oleh saudara. Banyak ilmu yang saya peroleh dalam wawancara ini dan demikianlah juga hendaknya dengan pembacanya di komuniti Profil. Saya ingin meminta maaf seandainya ada kata-kata yang menyinggung perasaan saudara sepanjang sesi wawancara ini dijalankan.


 


Kata akhir daripada saudara?


 


Oh…sudah berakhir rupanya wawancara kita. Kalau ada soalan lagi, saya sudi menjawabnya. Tapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara Rima kerana sudi mewawancara saya. Sekadar yang mampu saya menjawab, saya jawab. Semuanya adalah spontan, dari tulus ikhlas hati saya demi sastera, bahasa, budaya dan tamadun Melayu. Saya fikir melalui medium e-Sastera, saya dapat bersuara, suara saya yang terpendam dan terpinggir di daerah ini. Namun, saya penuh yakin, ada sesuatu yang bermakna demi masa depan semuanya itu daripada kita di e-Sastera.


 


Saya penuh yakin dengan masa depan sastera yang digerakkan melalui e-Sastera, yang kita namakan sastera siber. Yang penting setiap ahli dan penggerak sastera siber mesti serius berkarya, bersama-sama menyumbang demi masa depan e-Sastera. Saya juga banyak berterima kasih kepada founder Drirwan, dan para administrator serta seluruh tenaga penggerak e-Sastera yang begitu komited dengan dunia sastera kita.


 


Izinkan saya ingin mengakhiri sesi wawancara ini dengan sebuah sajak berjudul ‘Berdiri Menghadap Langit.” Sajak yang saya ciptakan khusus semasa wawancara ini berlangsung, juga untuk warga e-Sastera.


 


BERDIRI MENGHADAP LANGIT


 


Kupejam kedua-dua mataku


terbuka matahatiku


menghadap langit-Mu.


 


Berdiri aku menghadap langit-Mu


kubuka pula kedua-dua mataku


terbuka luas matahatiku.


 


Seluruh aksara agung di langit-Mu


mengerdilkan diriku


masih aku berdiri menghadap langit-Mu.


 


Sedang di kaki usiaku


berselerakan daunan kering


menunggu angin membawanya pergi.


 


azmi rahman


 


Wawancara ini telah dijalankan melalui e-mel bermula pada 17 Disember 2007 hingga 31Januari2008.


Wawancara > 2007 > Gebang Intelektual dengan Sdr. Azmi Rahman disumbangkan pada Khamis, 31 Januari 2008 6:03:15 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 31 Januari 2008 6:03:15 PM oleh rimanilzah




Komen (6)

Dayang 2/10/2011 11:31:58 PM
membaca wawancara ini, banyak manfaat ilmu saya perolehi berkenaan sastera Melayu/ sastera siber. tahniah.

nia_naini88 8/5/2010 7:54:10 PM
slm ukuahfillah:
sebagai penggemar satera saya merakamkan jutaan terima kasih kepada saudara Azmi dia tas perkongsian yang sangat bermanfaat ini.Mudah-mudahan daya berpeluang bertemu dengan saudar untuk melihat kehebatan saudara mendeklamasikn sajak..wassalam..

shy_blusky 9/12/2008 6:09:24 AM Hantar email
salam...tahniah en azmi.membaca ruang gebang intelektual ini,banyak memberi input yang berguna kepada saya.pada mulanya,sastera atau kesusateraan ini, bukanlah yang pertama dihati.namun setelah berkuliah selama hampir satu sem bersama en azmi,telah timbul sedikit minat,atau keseronokan dalam memahami dunia sastera ini.namun,menyedari akan kekurangan bakat yang ada pada diri lantaran kurangnya pengetahuan dalam mengaplikasikan perkataan yang puitis dalam sajak,pantun,cerpen dan sebagainya menyebabkan say kurang yakin dalam menceburi bidang ini.walau bagaimanapun,saya amt berminat dalam membaca,novel,cerpen dan sajak.disamping cuba memahami apakah maksud yang cuba disampaikan,saya juga dapat mengetahui input-input terkini tentang kehidupan.saya amat menyukai perkataan2 yang puitis dan memberi kesan dihati..terima kasih en azmi atas tunjuk ajar anda.dan tahniah

cactusbiru 8/27/2008 9:38:47 AM
terpana dan terpegun tatkala berpeluang mendengar saudara Azmi mendeklamasikan sajak..bukan calang-calang orang yang dapat menggayakan sajak dengan penuh perasaan.

ananisha 7/16/2008 1:10:52 PM
Salam ilmu....
Semoga ilmu sastera terus mekar dihati para penggemarnya. Tidak semua insan dianugerahkan oleh yang Maha Kuasa untuk berkarya dengan nada spontan seperti saudara azmi. Tahniah... Wassalam.

ananisha 7/16/2008 1:10:34 PM
Salam ilmu....
Semoga ilmu sastera terus mekar dihati para penggemarnya. Tidak semua insan dianugerahkan oleh yang Maha Kuasa untuk berkarya dengan nada spontan seperti saudara azmi. Tahniah... Wassalam.





Bagi mengelakkan spam, sila tuliskan perkataan di dalam imej ini ke dalam ruang yang disediakan.





Hakcipta © 2005 eSastera Enterprise • Kemaskini terakhir 12/20/2013 9:26:56 PM • Bilangan pelawat 130277