esasterawan.net

 

azmi rahman

Laman utama
Maklumat peribadi
Weblog
Karya
Foto
Maklumat sisi
Promosi
Papan nota

info

Nama penuh
Mohamad Azmi Ab. Rahman

Email
azmi214@uum.edu.my

Laman web lain
http://azmirahman.esasterawan.net

Laman web kegemaran

JATUH CINTA KEPADA SAJAK SIBER
Sebuah Artikel yang disumbangkan pada 7/10/2012 4:50:48 PM


MENGENALI, KEMUDIAN JATUH CINTA KEPADA PUISI/ SAJAK SIBER*

Oleh:
Azmi Rahman
Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden
Kolej Sastera dan Sains
Universiti Utara Malaysia
Blog:
http://azmirahman.esasterawan.net
Blog:
http://esasterawan.org/azmirahman
Emel:
azmi214@uum.edu.my


Kandungan


1.      Mukadimah


2.      Ada apa pada kesusasteraan?


3.      Konsep kesusasteraan siber (cyber literature)


4.      Pelbagai genre/ jenis kesusasteraan siber; puisi dan prosa


5.      Sajak siber (cyber poem)


6.      Pengalaman berkarya di alam siber


7.      Pandangan dan rumusan.


8.      Rujukan.



1.      Mukadimah


a.       Benarlah ungkapan lama “Tak kenal, maka tak cinta” mengandungi makna tersurat dan tersirat tentang  kehidupan. Dalam konteks apa jua kehidupan, misalnya cinta sebagai subjek yang dekat dengan manusia, jika sudah kenal seseorang, maka seseorang akan jatuh cinta atau mencintainya. Dalam konteks ilmu atau akedemik, kalau seseorang kenal subjek bahasa dan sastera, dia akan jatuh cinta – minat menulis, berkarya, membaca, misalnya novel atau mengapresiasi karya. Apatah lagi dalam konteks agama, jika hamba-Nya tak kenal Allah SWT, maka hamba-Nya tak akan mencintai-Nya.


 


2.         Ada apa pada kesusasteraan?


 


a.       Kesusasteraan sebagai kumpulan karya yang indah, bermanfaat kepada manusia, memberi keseronokan, dan menyentuh fikir rasa manusia (su, bahasa Sanskrit bermaksud indah, cantik, molek)


b.      Karya sastera sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan (bercetak) atau elektronik (siber) adalah ‘benda’ (teks) yang berupa, tidak ‘bernyawa’ tetapi hidup dan dihidupkan oleh pengarang/ penggubah dengan bahasa, cerita, watak dan perwatakan serta penceritaan. Penghayatan akan memberi nyawa kepada karya. Kesan terasa di jiwa; sedih, benci, meluat, ghairah,  duka, gembira, lucu, marah, dan protes. Contoh terkini lirik lagu, sebagai sebuah hasil sastera “Bawa Kupergi” oleh Malique, nyanyian Zizan Raja Lawak, dan Kaka, menimbulkan kontroversi kerana  dikatakan mengandugi unsur negatif – menggalakkan remaja lari dari rumah (Utusan Malaysia, 30 Mac 2012, h. 4). Saya perturunkan sebahagian lirik lagu tersebut.


 


Bawa Kupergi



Bawa aku pergi


pacu laju-laju


kita lari dari realiti


bawa aku pergi


pacu laju lagi


malah kita


tak perlu kembali



Tengah malam nanti


tolong jangan lupa


jangan mungkir janji


aku dah teruja


sudah cukup lama


aku tunggu saat ini


sejak kali terakhir kau hantar pulang


hidup sungguh sepi


tolong jangan bilang mama


tolong jangan bilang papa


malah jangan bilang teman karibmu


jangan bilang sesiapa



Oh buku merah jangan lupa bawa


moga-moga belum tamat tempoh


kali ini kita pergi lebih lama


pergi lebih jauh, ayuh





c.       Terasa sayu dan sedih apabila kita membaca dan menghayati sajak “Ke Makam Bonda” karya Sasterawan Negara Usman Awang.


                        Kami mengunjungi pusara bonda
                        Sunyi pagi disinari suria
                        Wangi berseri puspa kemboja
                        Menyambut kami mewakili bonda



                        Tegak kami di makam sepi
                        Lalang-lalang tinggi berdiri
                        Dua nisan terkapar mati
                        Hanya papan dimakan bumi


                        Dalam kenangan kami melihat
                        Mesra kasih bonda menatap
                        Sedang lena dalam rahap
                        Dua tangan kaku berdakap


                        Bibir bonda bersih lesu
                        Pernah dulu mengucupi dahiku
                        Kini kurasakan kasihnya lagi
                        Meski jauh dibatasi bumi


                        Nisan batu kami tegakkan
                        Tiada lagi lalang memanjang
                        Ada doa kami pohonkan
                        Air mawar kami siramkan


                        Senyum kemboja mengantar kami
                        Meninggalkan makam sepi sendiri
                        Damailah bonda dalam pengabadian
                        Insan kerdil mengadap Tuhan


                        Begitu bakti kami berikan
                        Tiada sama bonda melahirkan
                        Kasih bonda tiada sempadan
                        Kemuncak murni kemuliaan insan


d.      Kita bersemangat patriotik dengan sajak “Pahlawan (Kepada Pahlawan Pahang)” karya Sasterawan Negara Usman Awang.                 


Jika hilangmu tanpa pusara
jika pusaramu tanpa nama
jika namamu tanpa bunga
penjajah mengatakan engkau derhaka
maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya


Gema seabad silam
Inggeris datang meredah Pahang
bersama peluru bersama senapang
membunuh menangkap setiap pejuang


Sungai Semantan berubah merah
bukan sarap hilir ke kuala
bukan rakit mudik ke hulu
arus merahnya menjulang mayat
pahlawan bangsa pahlawan rakyat
tujuh liang dadanya tersayat


Pahlawan!
Untukmu derita untukmu penjara
bukan bintang tersemat di dada
semangatmu api negara berdaulat
namamu terukir di jantung rakyat.


e.       Kita tersenyum sinis atau gelak kecil apabila membaca koleksi cerita pendek (anekdot) Lawak Giler  (tanpa tahun) tentang watak ‘Pak Pandir’ dalam  kisah semasa.


f.       Kita tersentuh dengan fikir rasa musibah yang melanda manusia sejagat; tsunami, gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir, kemarau, perang, dan kezaliman terhadap kanak-kanak, misalnya Musibah Padang (2010), dan isu Dirang (sajak “Dirang” karya Azmi Rahman, Mac 2011).




3.            Konsep kesusasteraan siber (cyber literature)


 


a.       Sastera siber adalah suatu genre baru sastera yang muncul bila internet diperkenalkan. Sastera siber sinonim dengan teknologi. Sastera siber disebut juga sastera internet atau  sastera tanpa kertas atau sastera elektronik. Dunia teknologi yang muncul dengan pesatnya telah menarik sama bidang sastera untuk berada bersamanya.


     Justeru, sastera siber telah mula diperkenalkan dan diajar di institusi pengajian                    tinggi.     Dengan mengambil Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai penelitian   kes, dapatlah dinyatakan bahawa sastera siber telah mula mendapat tempat dalam    kalangan pelajar universiti.  Walaupun sastera siber tidak sebagai satu kursus   lengkap, atas inisiatif selaku tenaga akademik, penulis telah memasukkan 12 jam                  waktu kuliah topik kesusasteraan siber di Malaysia dalam silibus Kesusasteraan                 Melayu. Kursus ini merupakan satu daripada kursus minor Bahasa Melayu yang                      ditawarkan kepada pelajar jurusan Pendidikan di UUM.



     b.  eSastera.com


                        Kesusasteraan siber Melayu yang dalam konteks ini adalah merujuk kepada  karya-karya sastera siber yang diterbitkan dalam majalah elektronik                                                 eSastera.com   www.esastera.com dan eSastera. net versi cetak yang sudah 10   edisi diterbitkan. Kemudian bermula Disember 2011, edisi pertama eSastera                               Majalah pula  diterbitkan bagi menggantikan eSastera.net       Bahan-bahan ini                                  menjadi rujukan utama para pelajar semasa mengikuti kuliah tentang sastera siber.


                        Selain itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran (P & P) kesusasteraan pula tidak  lagi secara konvensional; tidak terikat pada bahan bercetak atau bertulis di atas kertas. P & P kesusasteraan Melayu di UUM menggunakan media teknologi  khasnya internet. Dalam hal ini, kursus kesusasteraan Melayu seiring dengan   perkembangan teknologi. Justeru, bahan-bahan kuliah boleh diakses dalam                            Internet dan blog pensyarah) http://azmirahman.esasterawan.net. dan   blog-blog lain yang memuatkan bahan P & P berkenaan sastera siber yang boleh  dimanfaatkan oleh pelajar.


c.   Media Baru dan  Sastera Siber


                        Blog, SMS, YouTube,  facebook, dan twitter merupakan media baru yang muncul  dalam era dunia tanpa sempadan. Keakraban warga mayapada dengan media  baru telah mengubah cara dan gaya berinteraksi, menyebarkan, mewujudkan  jaringan ilmu, melahirkan ramai pensiber (penulis/ pengarang siber) dan  pemsiber (pembaca siber). Selain itu, penciptaan komputer yang berinternet  telah memunculkan karya elektronikeJurna(http://www.doaj.org/)di                                                          http://cmslib.uum.edu.my/psb/ eAkhbar, eMajalah, eBook                                                             (http://en.wikipedia.org/wiki/E-book) atau eBuku. Kelihatan jelas lalu lintas ilmu   di lebuh raya siber begitu sibuk; tidak terkecuali karya sastera yang dipaparkan   dan dikomposisikan dalam satu-satunya majalah sastera elektronik   berbahasa    Melayu di dunia, iaitu eSastera.com (http://esastera.com) yang muncul sejak   2002 dengan nama asalnya CommunityZero(http://communityzero.com) yang  diasaskan oleh Profesor Ir. Dr. Wan Abu Bakar Bin Wan Abas, profesor  kejuruteraan bioteknologi atau nam penanya Dr.Irwan.                                                                    (http://esasterawan.org/irwan). Di ruang eSastera.com atau di  eSasterawan.net dan eSasterawan.org, para pensiber  berkarya; menulis entri di blog untuk bacaan khalayak siber, menulis karya kreatif; sajak, sajen (sajak jenaka), puisi Melayu tradisional, pantun, soneta, ulasan dan kritikan sastera, haiku dan tankya, cerpen, drama, novel, bicara karya sastera,  madah serta    berinteraksi di alam siber atas nama sastera, seni dan budaya  Melayu.


 


4.      Pelbagai genre/ jenis kesusasteraan siber; puisi dan prosa

 a.  puisi siber: tradisional dan moden (konteks sastera Melayu)
 b.  puisi tradisional: pantun, syair, mantera, teka-teki, peribahasa, gurindam, dikir,
      dan seloka.
 c.  puisi moden: sajak dan soneta (daripada sastera Inggeris)
d.  di peringkat dunia, puisi dan pemuisi/ penyajak sudah diangkat darjatnya dengan   diisytiharkan oleh the United Nations Educational, Scientific and Cultural   Organization
   (UNESCO)  pada setiap 21 Mac, sejak 1999 sebagai HARI PUISI             SEDUNIA (WORLD POETRY DAY).


5.      Sajak siber (cyber poem)

Sajak siber adalah sajak IIMA


I adalah menggunakan jaringan Internet


I adalah interaktif – penyajak berinteraksi dengan pemsiber


M adalah multimedia; teks, grafik (visual), animasi (imej bergerak singkat/ pantas), audio (suara/ bunyi),  video (paparan imej bergerak yang lebih dinamik dan penuh), interaktiviti, hipermedia (pautan dalam laman web – teks, imej, video, dan lain-lain), dan hiperteks (pautan/ link ke laman web lain).


A adalah akses di mana-mana tanpa sempadan geografi, manusia, dan masa


6.      Pengalaman berkarya di alam siber



a. 
Kenapa berkarya di alam siber?  Bukan untuk suka-suka atau seronok. Pandangan   peribadi, alam siber lebih ramai khalayak (pemsiber). Di alam siber, rasa lebih            bebas berkarya, dan kreativiti lebih menyerlah. Apa jua pembaharuan dalam karya, lebih terbuka ruang di alam siber. Ekspresi atau luahan fikir rasa diri          sebagai manusia yang ada hak, tanpa apa jua sekatan dapat diluahkan. Namun,       rasa sedar yang mendalam bahawa batasan agama, budaya, dan peraturan negara     hendaklah dijaga. Dalam hal ini, bukan bermaksud bebas sebebasnya berkarya.


 


b.       Di eSastera.com dan di blog eSasterawan.net, sudah lebih 200 entri blog, lebih 300 sajak siber, lebih 200 sajak jenaka siber, lebih 40 soneta, lebih 1000 rangkap pantun siber, dan kritikan sastera, ulasan sajak, puisi Melayu tradisional. haiku, makalah biografi dan bimbingan.


c.       Yang tersurat adalah karya sastera dalam bahasa Melayu. Namun yang tersirat, mendalam di hati dan di lubuk jiwa adalah perjuangan saya untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu di alam siber selari dengan perkembangan era teknologi global. Saya yakin bahawa bahasa dan sastera Melayu semakin berkembang, subur dan tidak akan pupus selagi ada manusia yang berkarya dalam bahasa Melayu, dan diInternetkan.


 


 


7.        Pandangan dan rumusan


     Perkongsian ilmu dan pengalaman ini diharap memberi manfaat kepada semua   dalam usaha memartabatkan harga diri bangsa, bahasa dan sastera      Melayu di 


persada global.


 


8.        Rujukan


 eSastera.com
 eSasterawan.net
 eSastera.net (versi cetak edisi 1 hingga 10)


 ttp://en.wikipedia.org/wiki/World_Poetry_Day
Irwan Abu Bakar dan Hasimah Harun. (2008).  Berkarya di alam siber  Kuala Lumpur: ESastera Enterprise.


 Irwan Abu Bakar dan Hasimah Harun. (2003). Kursus kepenyairan E-  Sastera: Garis panduan dan tip untuk penyair dan peminat puisi.  Kuala Lumpur: KAPAS Publication.



Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir. (2005). Multimedia: Konsep dan praktis Batu Caves: Venton Publishing (M) Sdn. Bhd.


 


* Makalah untuk Apresiasi Sastera Sekolah Men. Dato’ Sheikh Ahmad, Arau, pada 11 Julai 2012.


 


                      


             


 


 


 


 



Komen (0)





Bagi mengelakkan spam, sila tuliskan perkataan di dalam imej ini ke dalam ruang yang disediakan.





Hakcipta © 2005 eSastera Enterprise • Kemaskini terakhir 12/20/2013 9:26:56 PM • Bilangan pelawat 130277