esasterawan.net

 

Wan Azli

Laman utama
Maklumat peribadi
Weblog
Karya
Foto
Maklumat sisi
Promosi
Papan nota

info

Nama penuh
Wan Azli Wan Jusoh

Email
taktibau@yahoo.com

Laman web kegemaran

Superptui! & Transit Kaler Magenta
Sebuah Drama yang disumbangkan pada 11/5/2006 1:03:27 AM





 


 


 


PRESET:


Skrin dengan imej poster Superptui! & Transit Kaler Magenta.


 


GELAP.


 


AUDIO:


Muzik pembukaan.


 


SKRIN:


Kredit awal di atas imej poster.


 


LAMPU:


Pentas diterangkan perlahan-lahan.


 


SET:


Stesen transit, dengan bangku tempat duduk dan advertisement board yang bertindak sebagai skrin dalam persembahan ini.


 


PTUIH! MASUK KE SET, MEMBAWA TRAVELLER BAG. DIA DUDUK DI SATU BANGKU. WAJAHNYA KOSONG.


 


SKRIN:


Imej-imej abstrak yang bersimpang-siur dalam kepala Ptuih!


 


HELIUM MASUK BERSAMA PATUNG TWEETIENYA. PTUIH! MENYEDARI KEHADIRAN HELIUM. MEREKA SALING PANDANG.


 


PTUIH!:


Apahal kau ikut aku?


 


SKRIN:


Imej-imej perjalanan.


 


HELIUM TIDAK BERSUARA. DIA DIAM MEMERHATI. HANYA MATANYA SEAKAN MEMUJUK.


 


PTUIH!:


Kau tahu? Kalau seseorang tu dalam hidup dia asyik kena ludah, lama-lama dan lali, dah tepu, dah tak kisah lagi. Nak ludahpun, ludah lah. Ludahlah sampai habis air liur. Dah tak ada apa, dah. Hidup kena teruskan. Tak boleh mengalah. Jatuh dalam kolam taik pun kena berenang keluar.


 


Aku ni terkena. Memang terkena. Takdir aku, nak buat macam mana. Tapi kalau dia ingat, dia halau aku dari rumah, aku tak boleh hidup, dia salah, Helium. Dia salah. Salah yang ke berapa ratus juta, dah. Orang tua bangang tu ingat, selama ni aku ikut telunjuk dia pasal aku takut. Dia guna tu. Guna kuasa, takutkan aku. Aku pun buat-buatlah takut. Kalau masa dia marah tu, aku tertunduk-tunduk, dia ingat aku takut. Aku gelaklah. Dalam hati aku ketawa kuat-kuat. Tak ada orang dengar. Tapi Tuhan dengar.


 


Sakit mesti ada ubatnya. Susah mesti bukak jalan. Kalau mintak-mintak tak dapat, aku rompak. Aku rompak, Helium. Yang jadi susahnya, pasal darah. Ada talian darah. Pasal dia bapak, aku anak. Macam mana boleh jadi musuh? Orang tanya. Macam mana? Jahat sangat ke bapak kau? Ke kau yang jahat?


 


Aku nak jawab apa? Aku jawab dua-dua jahat. Adil.


 


HELIUM:


Kau tak jahat. Kau hero.


 


PTUIH!:


Hero taik kucing?


 


HELIUM:


Taik minyak.


 


HELIUM TERSENYUM. PTUIH! JUGA TERSENYUM.


 


HELIUM:


Baru pukul lima pagi ni. Lagi sejam baru ada tren.


 


PTUIH!:


Dah berpuluh tahun aku tunggu nak lari, nak keluar dari rumah jahanam tu. Setakat sejam, tak ada apa lah, Helium. Macam makan kuaci je.


 


HELIUM:


Betul kau nak pergi?


 


PTUIH! HANYA MENGANGGUK.


 


HELIUM:


Kau nak tinggalkan aku?


 


PTUIH! DIAM SEKETIKA TETAPI KEMUDIANNYA MENGANGGUK. HELIUM DIAM. SIKIT-SIKIT DIA MULA MENANGIS.


 


SKRIN:


Imej-imej renggutan, sesuatu diragut dari sesuatu. Keras.


 


PTUIH!:


Kau apahal kau? Dah lah Helium. Karang aku tampar kau kat sini. Sikit-sikit menangis. Sikit-sikit menangis. Fed up betul lah dengan kau ni. Murah sangat air mata kau. Cuba jadi kuat sikit. Jadi jantan. Aku ni adik. Kau tu abang. Aku rasa tak bestlah ada abang macam kakak.


 


HELIUM:


Sampai hati kau nak tinggalkan aku!


 


PTUIH!:


Aduh!!!! Kecoh.


 


HELIUM:


Macam mana aku nak hidup kalau kau tak ada. Aku takut.


 


PTUIH! DIAM.


 


HELIUM:


Aku balik cakap dengan bapak biar dia tarik balik kata-kata dia. Aku pujuk bapak supaya benarkan kau balik, OK?


 


PTUIH!:


Apa yang kacau sangat kau ni? Dah la. Dah cukup. Dah tamat. Aku tak heran pun. Kau pulak yang lebih. Ni last plot aku dengan bapak.


 


HELIUM:


Dengan famili. Dengan aku, dengan mak, dengan Maseh Dara. Dengan semua. Aku tak kisahlah kalau kau nak jadi Jebat. Aku boleh terima kau sebagai Jebat.


 


PTUIH!:


Macam ni. Kau duduk. Kau diam. Kau dengar. Aku bercakap. OK? Aku bercakap dengan kau, kali akhir. Lepas ni aku dah tak ada. Lepas ni, kalau kau tengok patung Tweetie kau tu, kau ingat aku. Kau ingat dialog yang aku bagi kat kau sekarang ni. OK?


 


HELIUM DIAM.


 


PTUIH!:


Kau tahu sejarah aku, kan?


 


HELIUM DIAM.


 


SKRIN:


Buku Sejarah Melayu. Mukaddimah Ceritera Tun Beraim Bapa.


 


PTUIH!:


Aku tanya ni! Kau tahu sejarah aku?!


 


HELIUM:


Aku duduk. Aku diam. Aku dengar. Kau bercakap.


 


DIAM.


 


PTUIH!:


Dia namakan aku macam ni. Bukannya aku nak, bukannya aku mintak. Tapi dia yang sukahati nak namakan aku macam ni. Lepas tu dia tak suka bila aku jadi macam ni. Bila nama aku tepat dengan makna, dia jadi jelek. Aku tak boleh terima orang macam ni. Orang macam ni kita patut cincang je. Cincang bagi makan babi. Ini semua karut. Rumah kita karut. Bapak jadikan kita karut. Karut marut!


 


Kau, tengok nama kau, Helium Si Gas Nadir. Kau tak rasa nama kau tu pelik ke? Tapi betul. Kau pelik. Kau memang pelik. Tak macam orang lain. Hidup dalam dunia kau sendiri. Tak boleh bercampur dengan orang. Macam gas Helium. Tak boleh ada di atmosfera bumi. Lepaskan, terus terbang ke langit. Tapi dia boleh terima kau. Sebab kau tak kacau dia. Kau tak membahayakan total freedom dia. Dia memang dah plan dah. Dia ajar kau, didik kau supaya kau tak kacau dia.


 


Tapi aku? Sebab dia tahu dia salah, dia tersalah, dia kata aku berontak lawan dia. Dia yang tak boleh sabar, dia kata aku yang sial. Babi. Dia cipta aku, jadi murrabi aku, lepas tu dia tak suka aku. Kau ingat macam mana rasa dalam hati aku? Kau dapat bayangkan tak? Kau dapat bayangkan, macam mana rasa dalam hati aku? Macam mana sakitnya jiwa aku?


 


Aku tak tahu kalau aku salah. Aku cuma nak sambung perjuangan dia. Perjuangan dia sebelum dia lupa diri sebab dah senang, sebab dah mewah, dah selesa. Aku cuma sambung perjuangan dia sebelum dia rasa dia serba cukup. Sekarang dia rasa dia dah power sangat dah. Sampai dia lupa sejarah kita siapa yang cipta?


 


Apa sebab aku jadi pemberontak? Apa sebab? Sebab dia dah tak betul. Sebab dia dah sesat. Kalau dia di jalan lurus, aku tak kisah, Helium. Huh! Aku dah malas. Dah lah. Aku ingat, kau pergi balik lah Helium.


 


HELIUM:


Aku nanti sunyi kalau kau tak ada. Aku nak cakap dengan siapa?


 


PTUIH!:


Dengan patung Tweetie kau tu.


 


HELIUM:


Tweetie tak boleh bercakap.


 


PTUIH!:


Tahu pun. Tapi aku tengok kau selalu bercakap dengan dia.


 


HELIUM:


Aku tak ada tempat nak luahkan rasa aku. Aku cuma ada kau yang tahu macam mana hati aku. Aku sayang kau. Bagi aku kau tetap hero, superhero. Aku nampak kuasa supernatural kau. Kau berani kata benar. Kau tak hipokrit macam semua orang – kat depan, senyum, puji bukan main, tapi kat belakang, kutuk habis-habis. Semuanya bunga plastik. Bunga plastik! Tuhan tahu. Semua pikir kepentingan diri sendiri. Individualism dah musnahkan orbit. Tunggulah, nanti planet-planet akan berlanggar sama sendiri.


 


SKRIN:


Imej-imej komik keperwiraan.


 


Kau berani betulkan bapak. Itu buat bapak tak boleh terima. Sebab dia bapak, kau anak. Sebab tu. Bukan sebab apa yang kau kata tu salah, yang dia kata betul, tapi sebab tu. Sebab kau anak, dia bapak. Dia guna kuasa bapaknya. Untuk kepentingan diri sendiri. Dia tak nak mengaku salah. Dia ego. Dia monopoli kuasa. Dia raksasa. Aku nampak kau Ultraman.


 


PTUIH!:


Ha ha Ultraman. Nasib aku. Ultraman keluar dari lubang dubur, jatuh dalam mangkuk tandas, sekarang ni tengah tunggu masa kena flush, hanyut ikut saluran paip ke loji pembentungan. Best kan? Hidup aku. Hidup yang korang tak mungkin dapat rasa. Aku rasa. Hidup Ultraman!


 


DIAM.


 


PTUIH!:


Ingatpun kau apa yang aku ajar. Dan ingat, kau kena jadi berani. Dah, pergi balik Helium. Sejuk ni. Nanti kena embun. Nanti kau demam.


 


HELIUM:


Aku tak nak. Kau balik dengan aku. Kita balik ya?


 


PTUIH!:


Kau nak aku muntah lagi? Aku tak boleh tengok muka dia lah. Tengok dari belakangpun aku rasa dah mual, kalau tengok dari depan, macam orang mabuk kaw-kaw kan, nanti. Banyak kerja Maseh Dara nanti, nak kena basuh muntah aku.


 


HELIUM:


Mesti ada caranya nak selesaikan. Kalau kau tak ada, macam mana nak selesaikan.


 


PTUIH!:


Ada cara. Memang ada caranya. Caranya, bunuh bapak. Bila bapak dah tak ada, baru kita boleh bebas. Kena ada revolusi. Kalau tak, sampai kiamat kita macam ni. Sampai kiamat kita hidup dalam sistem karut marut ni.


 


Tapi sayang, aku tak berjaya. Aku masih manusia lemah, tak sanggup nak bunuh bapak sendiri, walaupun dia memang patut dibunuh. Aku terpaksa mengaku aku lemah. Tapi seseorang kena kuburkan sejarah kotor ni, sejarah kotor oleh bapak yang tewas, tapi rasa menang. Karut. Karut.


 


SKRIN:


Imej pistol. Bahagian-bahagian pistol. Kegunaan pistol. Dan imej-imej kemanusiaan supaya kontras dengan pistol.


 


HELIUM:


Kalau bunuh dia, kita nak hidup macam mana?


 


PTUIH!:


Tu lah kau. Orang tak bergantung kat bapak. Orang bergantung kat Tuhan. Dia yang beri kita rezeki. Dia yang bagi kita hidup. Bukan bapak.


 


HELIUM!:


Bapak bagi kita duit.


 


PTUIH!:


Takkan setakat tu je kau tahu? Kau tu bijak. Macam mana boleh sampai situ je kau tahu? Mana agaknya dia ambik duit?


 


HELIUM:


Dia kerja.


 


PTUIH!:


Kerja apa agaknya?


 


HELIUM:


Kau tahu. Dia politician.


 


PTUIH!:


Politician? Politician? Itu berlakon je tu. Dia lacurkan Maseh Dara.


 


SKRIN:


Imej-imej hiburan.


 


HELIUM:


Kau menuduh ke? Dia dah banyak duit. Buat apa nak lacurkan Maseh Dara?


 


PTUIH!:


Tu lah kau. Helium. Hiduplah dalam dunia kau. Bapak memang asuh kau jadi macam tu. Kau tahu tu? Kau tak tahu. Kau tahu pasal planet, pasal cakerawala. Kau tahu pasal alam semesta, pasal matematik, geografi, sejarah, etnologi, psikologi, sosiologi, astrologi, antropologi, fisiologi, biologi, fizik, kimia, pengetahuan Islam, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin, Kantonis, Tamil, Hindi, Urdu, macam-macam kau tahu. Yang kau tak tahu, benda dekat dengan kau. Keluarga kau. Suasana keluarga kau. Kau tak tahu apa yang dekat dengan kau. Yang kau tahu, nun jauh nun. Pasal awan, pasal hujan, pasal macam mana nak pergi ke bulan, nak pergi ke matahari. Asyik-asyik kau cerita pasal white dwarf, red dwarf, pasal bulan kalau terinjak satu inci dari orbit dia, ekosistem bumi berubah. Itu kau tahu. Kau tahu pasal alam malakut, alam jin. Tapi kau tak nampak gajah depan mata. Tapi aku tak salahkan kau. Macam mana nak salahkan orang macam kau ni. Aku tak tahu. Dah lah. Malas aku nak cakap lagi. Bertahun-tahun aku cakap, kau angguk, angguk, angguk. Macam mesin dah. Terangguk-angguk, terangguk-angguk. Aku rasa macam nak libas tengkuk kau tu biar patah.


 


HELIUM:


Libas lah. Biar aku mati. Aku bangga kalau mati di tangan kau.


 


PTUIH!:


Aduhhh! Sesat lah kau ni. Dah lah. Pergi balik. Aku dah naik menyampah tengok kau.


 


SKRIN:


Imej-imej iklan produk sabun.


 


PENGAWAL KESELAMATAN STESEN MASUK, MENGHAMPIRI MEREKA BERDUA.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Guano buat geigei ssini ni? Buat ggapo ssini ni? Masuk kok mano nih? Ghukah pagar ko?


 


PTUIH!:


Sekejap saja pak cik.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Pokchik bakpo, yak kelih botei, ni nak ggugha ko guano kigho ni?


 


PTUIH!:


Saya panjat palang gate. Sebab saya nak masuk, tak ada orang jaga kat depan. Saya tengok pak cik tidur. Saya panjat. (Tunjuk arah Helium) Dia ni merangkak ikut bawah, kau merangkak kan, Helium?


 


HELIUM MENGANGGUK.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Nyo bakpo mu panggei aku pokcik. Aku baghu smilei belah. Mu nok ggocoh ko guano? Mu masuk ni saloh ni. Kalu aku ghipok poklih, kena igat masuk jel mu.


 


PTUIH!:


Saya ada masalah. Saya tak tahu mana nak pergi. Bagi saya relaks dulu sekejap, OK tak? Saya bukan nak buat orang susah. Saya tak nak buat sapa-sapa susah. OK, bila stesen bukak nanti, saya beli tiket. Tapi sekarang saya mintak nak duduk sini sebab saya tak tahu mana saya nak pergi. Boleh tak kalau kita bertolak ansur macam tu, pak cik?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Aku ghoyat jangei panggei aku pokchik!


 


PENGAWAL KESELAMATAN MENYERBU KE ARAH PTUIH! DAN CUBA MENUMBUK PTUIH!. PTUIH! ELAK DAN SADUNG KAKI PENGAWAL KESELAMATAN. PENGAWAL KESELAMATAN JATUH KE LANTAI. DIA TERUS TERDIAM MEMANDANG PTUIH!.


 


PTUIH!:


Saya tak nak bergaduh. (Kepada Helium) Helium, kau ada duit? Bagi aku.


 


HELIUM MENYELUK POKET, MENGELUARKAN BEBERAPA RINGGIT, MEMBERINYA PADA PTUIH!. PTUIH! MENGIRA, SEBAHAGIANNYA DIBERI PADA PENGAWAL KESELAMATAN.


 


PTUIH!:


Tu, cukup tu duit tiket. Saya bagi lebih lagi. Upah pakcik sebab nanti pakcik akan tolong saya belikan tiket yang paling jauh transit ni pergi. Saya nak lepak sini sekejap je. Sampai transit sampai. (Kepada Helium) Helium, pergi balik.


 


HELIUM MEMEGUN. TIBA-TIBA DIA DISERANG SAWAN. PTUIH! DAN PENGAWAL KESELAMATAN TERKEJUT.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Keno ggapo dio pulok. Keno sapok ko? Tak dok atu stesei ni.


 


PTUIH!:


Sawan babi. Biasa ni. Pakcik ada Panadol?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Tak dok. Keno gi kkeda, kena beli la.


 


PTUIH!:


Pakcik tolong pergi beli boleh tak?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Buleh sia paka Panadol joh ko?


 


PTUIH!:


Pergi je lah. Banyak tanya pulak. Nak tolong ke tak nak ni?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Yo la.


 


PENGAWAL KESELAMATAN BANGUN, TAPI TIDAK BERGANJAK.


 


PTUIH!:


Apa lagi?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Pitih?


 


PTUIH! MENGHULURKAN NOT SERINGGIT.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Upoh?


 


SKRIN:


Imej macam-macam jenis mata menjengil.


 


PTUIH!:


Beli dulu, upah nanti saya bagi.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Betul Panadol?


 


PTUIH!:


Panadol lah. Panadol.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Buleh sia paka Panadol?


 


PTUIH!:


Lailahaillallah.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Yo la, yo la.


 


PENGAWAL KESELAMATAN PERGI. TAPI HELIUM SUDAH BERANSUR PULIH.


 


SKRIN:


Imej-imej iklan produk kesihatan.


 


PTUIH!:


Aku tahu. Tak ke mana nya sawan babi kau tu. Dah banyak kali lah kau sawan macam tu. Psiko lah kau ni.


 


HELIUM:


Kau nak tinggalkan aku jugak ke?


 


PTUIH!:


Kau balik lah.


 


HELIUM:


Kalau Batman ada Robin, kau ada aku. Aku ikut kau?


 


PTUIH! DIAM.


 


HELIUM:


Aku ikut kau?


 


PTUIH! TETAP DIAM. HELIUM MENDEKATI PTUIH!.


 


HELIUM:


Aku ikut kau ya?


 


PTUIH! TETAP JUGA DIAM.


 


HELIUM:


Boleh la. Aku ikut kau ya?


 


PTUIH!:


Balik ambik pakaian kau.


 


HELIUM MELOMPAT GEMBIRA, TAPI SEKEJAP SAHAJA. DIA TERDIAM TIBA-TIBA.


 


HELIUM:


Tak apa. Aku boleh pakai baju kau. Kalau aku balik, nanti bapak kurung aku. (Diam seketika) Sampai hati, kau.


 


PTUIH!:


Macam mana aku nak bawak kau?


 


HELIUM:


Kau tak ada duit, aku ada. Aku boleh tolong kau. Kan Batman ada Robin? Aku akan tolong kau.


 


PTUIH!:


Kau hak bapak. Kalau aku bawak kau, bapak mesti susahkan aku lagi. Aku dah malas Helium. Aku nak putuskan terus hubungan ni. Aku nak padamkan terus sejarah aku kat sini. Biar hari ni jadi hari lahir aku.


 


SKRIN:


Imej-imej patriotik.


 


HELIUM:


Biar hari ni jadi hari lahir aku juga.


 


PTUIH!:


Kau takkan sanggup susah, Helium.


 


HELIUM:


Aku sanggup susah dengan kau.


 


PTUIH!:


Hidup aku dengan ramai orang. Kau tak boleh hidup celah orang ramai. Nanti kau kena sawan babi. Takkan kau nak sawan babi tiap masa. Letih lah aku nak kena layan sawan babi kau tu selalu.


 


HELIUM:


Aku janji aku tak kena sawan lagi.


 


PTUIH!:


Itu kata kau. Alah, kalau ada orang yang kau tak kenal, yang kau tak selesa, kau mesti sawan lah. Tadi tu baru pak guard tu sorang. Kalau ramai, tiap minit kau sawan. Aku tahulah.


 


HELIUM:


Kau tak sayang aku rupanya.


 


PTUIH!:


Bukan masalah aku sayang ke tak sayang, Helium. Tapi kalau kau dengan bapak, kau OK, sebab bapak OK dengan kau.


 


HELIUM:


Dengan kau pun aku OK.


 


PTUIH!:


Helium... Macam mana lagi aku nak cakap? Macam ni. Bagi kau nampak jelas sikit. Kau tu lambang intelektual bapak, simbol intelektual rumah kita. Kalau kau tak ada, orang boleh kata famili kita bodoh. Ada kau, rumah kita taklah bodoh. Kau jadi harapan bapak. Kalau kau ikut aku, bapak akan ikut aku. Aku tak mahu tu. Aku dah malas berurusan dengan orang tua karut tu.


 


SKRIN:


Imej-imej institusi pengajian.


 


HELIUM:


Habis macam mana? Aku tak nak berpisah dengan kau. Hanya kau yang nak duduk berbual dengan aku. Kalau kau tak ada, macam mana? Kau tak fikir ke pasal aku? Kalau Ultraman tak ada, macam mana? Siapa nak lawan raksasa?


 


PTUIH!:


Kau lah lawan.


 


HELIUM:


Aku tak berani.


 


PTUIH!:


Kenapa?


 


HELIUM:


Aku tak kuat macam kau.


 


PTUIH!:


Kalau kau kata tak kuat, tak kuat lah kau. Kena ada semangat. Ni tak, sikit-sikit mengalah, sikit-sikit mengalah. Kalau macam tu tak ada gunanya kau bijak. Tak ada gunanya kau tahu banyak benda. Pasal apa yang kau tahu tu kau tak tahu nak gunakan. Baik kau jadi bodoh je, tak payah jadi genius.


 


HELIUM:


Dah aku memang macam ni, nak buat macam mana?


 


PTUIH!:


Kalau kau dah kata kau macam tu, memanglah kau macam tu. Cuba keluar sikit dari dunia kau tu. Kau ingat kau boleh duduk selamanya dalam dunia kau tu? Aku tak kisah kalau kau tak menyusahkan orang. Tapi kau ni menyusahkan orang.


 


HELIUM:


Kau marah aku ke?


 


HELIUM SEAKAN MAHU MENANGIS.


 


PTUIH!:


Aku tak marah kau. Tapi kau kena jadi kuat Helium. Hidup dalam suasana karut-marut ni, kau kena kuat. Kalau tak, tak ada gunanya hidup kau.


 


HELIUM MENANGIS.


 


HELIUM:


Kau marah aku.


 


PTUIH!:


Aduh! Entahlah Helium. Tak tahulah aku macam mana lagi nak layan kau ni. Aku cakap, kau kata aku marah. Aku tak cakap, kau langsung tak sedar apa yang boleh kau buat dengan otak kau tu. Tapi ya lah. Bapak dah latih kau jadi macam tu.


 


HELIUM:


Kau marah aku.


 


PTUIH!:


Aku tak marah kau lah. Aku cakap je. OK, OK. Aku buat lawak je. Dah, dah, tak payah lah menangis. Aku buat lawak je. Dah. Jangan menangis. Hi hi lawak. Hi hi lawak.


 


HELIUM TERSENGIH WALAUPUN MUKANYA MASIH ADA KESEDIHAN.


 


HELIUM:


Aku memang macam ni, aku nak buat macam mana?


 


PTUIH!:


Ya. Kau memang macam tu nak buat macam mana.


 


HELIUM:


Tapi kalau kau bagi aku ikut kau, aku janji, aku akan berubah. Aku akan buat apa saja yang kau suruh.


 


PTUIH!:


Kau ingat sikap kau tu boleh berubah dalam sehari?


 


HELIUM:


Kau marah aku lagi?


 


PTUIH!:


Ya Allah.


 


HELIUM:


OK. OK. Kau tak marah aku. Boleh aku duduk sebelah kau?        


         


PTUIH! MEMBERI ISYARAT YA DENGAN HANYA GOYANGAN KEPALANYA. HELIUM NAMPAK GEMBIRA. DIA TERSENYUM-SENYUM. MEREKA BERDUA TERDIAM.


 


HELIUM:


Boleh aku pegang tangan kau?


 


PTUIH! HANYA DIAM TETAPI PERLAHAN-LAHAN, HELIUM MEMEGANG TANGAN PTUIH!.


 


HELIUM:


Aku ikut kau ya?


 


PTUIH! DIAM.


 


MASEH DARA. MASUK, BERJALAN MELENGGANG-LENGGUK.


 


MASEH DARA.:


Helium, balik.


 


HELIUM TERKEJUT, CUBA BERLINDUNG DI SEBALIK PTUIH!.


 


SKRIN:


Imej-imej berahi dan lepas laku.


 


PTUIH!:


Apahal kau kat sini?


 


MASEH DARA.:


Bapak suruh aku datang bawak Helium balik. Bahaya dia ikut orang macam kau ni. Porak- peranda nanti.


 


PTUIH!:


Macam mana kau tahu Helium ada kat sini?


 


MASEH DARA.:


Aku ikut dia lah. Kau ingat aku bodoh sangat ke?


 


PTUIH!:


Dah lama lah dia sampai. Kau kenapa baru sampai? Kau sembunyi dulu ke apa?


 


MASEH DARA.:


Apa kau kisah kalau aku lambat sampai?


 


PTUIH!:


Bapak tahu aku kat sini?


 


MASEH DARA.:


Bapak dah tak suka kau. Dah geli-geleman dengan kau. Tak payahlah kau ambik tahu pasal bapak. Dia pun malas nak ambik tahu pasal kau dah. Dia dah cop kau anak durhaka.


 


PTUIH!:


Aku tanya, macam mana kau boleh sampai sini? Macam mana kau tahu Helium ada dengan aku kat sini?!


 


MASEH DARA.:


Aku cakap aku ikut Helium lah! Tak faham ke? Ha, tengok, selama ni kau kata aku bodoh. Tengok sekarang, siapa lagi bodoh.


 


PTUIH!:


Aku kata, Helium dah berjam kat sini, tapi kau baru sampai. Kalau kau ikut dia, mesti dah lama kau sampai. Jadi aku tanya, kau sembunyi dulu ke apa? 


 


MASEH DARA.:


Aku nampak dia masuk sini, aku tahulah dia ada kat sini. Cuma aku tak masuk dulu sebab aku ada urusan aku. Alah, jauh manalah si Helium ni boleh pergi. Jauh sikit, sawan babi lah dia ni.


 


PTUIH!:


Apa urusan kau tu?


 


MASEH DARA.:


Tak payah nak menyibuk.


 


PTUIH!:


Kau melacur dulu?


 


MASEH DARA.:


Suka hati akulah, kalau aku nak melacur dulu. Kau peduli apa?


 


PTUIH!:


Aku dah agak. Orang gila seks macam kau ni, jangan ada orang tegur tepi jalan. Memang dasar bohsia, orang tegur, terus syok.


 


MASEH DARA.:


Aku tak ada masalah lah pasal tu. Kau ada masalah ke? Tak payahlah jadi bermasalah pasal aku. Aku suka buat, kau peduli apa? Ha? Kau peduli apa? Bukannya ada kaitan dengan kau.


 


PTUIH!:


Tapi kalau kau melacur dulu, aku rasa sekejap sangat. Kau melacur dengan kucing ke apa?


 


MASEH DARA.:


Mamat tu, pegang sini je terus pancut (Menunjukkan arah buah dadanya). Tapi tak apa. Aku tak kisah. Ramaipun macam tu. Janji bayar. Aku tak rugi apa-apa.


 


PTUIH!:


Memang tak ada maruah. Memang bohsia. Duit yang bapak bagi tak cukup lagi ke? Sampai nak jual tubuh kau pada semua orang?


 


MASEH DARA.:


Sukahati lah. Aku tak kisah, kau yang lebih. Aku suka, kau peduli apa? Helium, aku kata ikut aku balik! Sekarang! Cakap dengan Ptuih! ni lama-lama bukannya untung.


 


PTUIH!:


Kalau dia tak nak balik kau nak buat apa?


 


MASEH DARA.:


Aku cakap dengan bapak.


 


PTUIH!:


Pergi cakap dengan bapak.


 


MASEH DARA.:


Helium, balik.


 


PTUIH!:


Betullah kau ni.


 


MASEH DARA.:


Helium, balik.


 


PTUIH!:


Betul-betul macam mesin.


 


MASEH DARA.:


Helium, balik.


 


HELIUM:


Aku tak nak.


 


PTUIH!:


Woo! Helium, tak sangka.


 


HELIUM:


(Kepada Ptuih!) Tolong aku.


 


MASEH DARA.:


Helium! Balik.


 


PTUIH!:


(Kepada Maseh Dara.) Kau sajalah balik.


 


MASEH DARA.:


Kenapa nak jahanamkan famili ni lagi? Kita hidup OK, kan? Aman damai, kan? Hari-hari dapat duit kan?


 


PTUIH!:


Aku kata kau bodoh kau marah. Tapi semua orang nampak kau bodoh. Dah lah. Kau janganlah jadi bodoh lagi. Cukuplah. Cuba sedar sikit. Jangan asyik tidur memanjang. Sampai maruah terjual pun kau tak tahu. Kau rasa OK. Ada duit, OK. Tapi ni, si Helium ni kata, planet dah terkeluar dari orbit. Aku setuju. Aku setuju. Planet-planet dah terbabas dari orbit. Tak lama lagi berlanggar sama sendiri.


 


MASEH DARA.:


Aku tak tahu apa kau cakap.


 


PTUIH!:


Apa lah yang kau tahu.


 


MASEH DARA.:


Banyaklah aku tahu. Ha... Aku tahu macam mana kau dapat nama. Ptuih! Ptuih! Bunyi ludah, kan? Ptuih!


 


HELIUM:


Superptui!


 


MASEH DARA.:


Kau diam Helium. Kau tak tahu apa. Ptuih! (Ketawa) Bapak best. Kalau tak nama kau mesti best. Tak boleh eja pakai abjad. Kena pakai not muzik. (Membunyikan notasi muzik) Best kan, bunyi nama kau. Tapi takdir dah jadikannya lain. Ptuih! Tak best langsung! Ptuih! Tapi tak kisah sebab ada juga kegunaan dia. Sekurang-kurangnya dapat redakan rasa marah semua orang. Ada tempat nak diludah. Ptuih!! Ptuih!!


 


PTUIH!:


Kau pergi baliklah Maseh Dara. Kau tak balik sekarang, aku jual kau nanti. Jual terus pakai timbang kilo.


 


SKRIN:


Imej-imej pergeseran.


 


MASEH DARA.:


Cerita belum habis. Kerani pendaftaran surat beranak tu berani marah bapak. Dia marah bapak. Dia tak tahu bapak siapa. Dia tak tahu bapak kreatif. (Mengajuk cara kerani bersuara) Apa ni? Apa yang jadi tak betul macam ni? Kat kedai berlambak buku pilihan nama anak-anak. Baik-baik makna dia. Nama nabi, nama rasul, ni yang tiba-tiba nak namakan anak dengan bunyi yang tak boleh eja ni macam mana? Kalau saya tulis tak bunyi macam tu. Bunyi dindingdinding je ni. Takkan encik nak nama anak encik dinding-dinding. Hahaha dia ketawa. Dia ketawakan bapak. Dia tak tahu bapak siapa. Dia ingat bapak tak ada emosi, tak ada perasaan?


 


PTUIH!:


Aku tahulah cerita tu! Tak payah kau nak ulang banyak kali. Tapi aku tahu, kau ulang pun sebab kau tak ada benda lain nak cakap. Otak kau banyak kosong. Yang kau tahu, apa yang bapak ajar kau je. Dahlah! Pergi balik. Kalau tak, aku cakap betul, aku jual kau.


 


MASEH DARA.:


Belum habis lagi. Bapak apa lagi, terus tulis P.T.U.I.H. dalam daftar surat beranak kau. Siap ada tanda seruan. PTUIH! Marah betul dia bila idea dia tak diterima. Hebat bapak. Ada pendirian.


 


HELIUM:


Nama kau ada noktah kat belakang. Bapak kata supaya makna tak lari, tak terbang. Tapi terbang jugak. Kau bukannya dara lagi, kan?


 


MASEH DARA.:


Kau jangan menyampuklah. Kau pergi balik. Kau tu tak serupa orang. Bapak kreatif, berjaya jadikan kau unik. Unik sebab tak serupa orang. Hebatkan bapak?


 


PTUIH!:


Kau tahu sampai situ je. Bapak dah gila kuasa kau tak tahu, kan? Sejak jadi ahli politik, dia dah gila, dah lupa diri, kau tahu? Kau tak tahu. Bapak kita sekarang bukan bapak yang dulu lah. Bukan bapak yang bersemangat nak bebaskan rumah kita dari tangan orang luar, yang nak hapuskan semua pengaruh orang luar. Bapak sekarang dah gila. Dah lupa diri. Yang dia tahu, kumpul harta banyak-banyak. Tak tahulah dia nak bagi siapa. Anak-anak dipecah belahkan. Ah! Dah lah. Kau tak tahu apa-apalah! Dah banyak lemak. Kau memang betul-betul Melayulah.  Yang kau tahu, hanya gossip. Gossip, gossip, gossip. Terawang-awangan. Membohong. Mengampu. Itu yang bapak ajar kau. Nak buat macam mana.


 


MASEH DARA.:


Kau marah ke Ptuih!? Kau marah ke? Malang betul kan, nasib kau? Tak dapat aku nak imagine, macam mana life kau. Hari-hari asyik kena ludah je. Ptuih! Ptuih! Best tak, kena ludah? Best tak? Tapi memang padan pun dengan muka kau.


 


Helium, baliklah! Apasal bodoh sangat ni? Balik! Jangan diikut orang gila ni.


 


PTUIH!:


Helium boleh buat keputusan sendiri.


 


MASEH DARA.:


Cuba kau jangan menyampuk. Aku bukan suruh kau balik. Aku suruh Helium. Kau tu dah tak berguna. Aku terima arahan dari bapak suruh bawak Helium balik. Aku cuma jalankan perintah. Jadi tak payah lah kau nak tunjuk hero.


 


HELIUM:


Aku tak nak balik.


 


PTUIH!:


Tengok. Bukan aku yang cakap.


 


MASEH DARA.:


Aku cungkil biji mata kau nanti.


 


HELIUM:


(Kepada Ptuih!) Tolong aku…


 


PTUIH!:


Jangan jadi penakut Helium. Kau lagi kuat. Dia tak boleh buat apa-apa. Kau jentik telinga dia pun, dia tak boleh buat apa. Dia cakap je lebih. Aku tahulah spesies macam ni, berani menyalak je. Datang dekat lari ni.


 


MASEH DARA. GERAM. DIKELUARKANNYA SEPUCUK PISTOL.


 


SKRIN:


Imej-imej autoriti.


 


MASEH DARA.:


Aku ada ni. Jeng jeng jeng! Dua-dua aku tembak. Dua-dua mampus nanti.


 


HELIUM:


(Kepada Ptuih!) Tolong aku...


 


PTUIH!:


Mana kau dapat pistol?


 


MASEH DARA.:


Eh, orang baik dengan bapak, bapak bagi lah. Bapak kata, guna untuk tembak kau.  Bestnya. Best dapat tembak kau.


 


HELIUM:


Tolong aku.


 


MASEH DARA.:


Kalau tak nak mati, baik kau balik, Helium.


 


HELIUM:


(Kepada Ptuih!) Aku kena balik. Kalau tak aku mati.


 


PTUIH!:


Dia takkan tembak kau Helium. Bapak suruh dia bawak kau balik. Dia tahu sampai situ je. Dia tahu sampai apa yang bapak ajar. Bapak kata, kalau aku tak bagi kau ikut dia balik, tembak aku. Sambil-sambil, ugut untuk konon-kononnya nak tembak kau. Kau jangan takut Helium. Barua macam ni, kita jangan takut. Dia takkan tembak kau. Barua ni takkan buat apa yang bapak tak suruh. Anjing bapak ni. Jangan takut. Konco-konco raksasa ni. Kita kena lawan.


 


MASEH DARA.:


Kau memang haram jadah, kan? Dari kecik sampai tua kena ludahpun, kau masih tak serik-serik? Kenapa kau nak kacau urusan orang ni?


 


PTUIH! MENDEKATI MASEH DARA..


 


SKRIN:


Imej-imej benda berpasang-pasang yang tidak lengkap kalau hilang satu.


 


MASEH DARA.:


Kau dekat aku tembak. Kau ingat aku main-main?


 


PTUIH!:


Maseh Dara, Maseh Dara! Kau ingat, aku kisah ke, kau nak tembak aku? Aku tak kisah lah. Macam kau kata lah, dari kecik sampai tua kena ludah, kau ingat sekarang aku kisah ke, kalau orang nak ludah aku?


 


MASEH DARA.:


Aku tembak kau.


 


PTUIH!:


Tu yang aku tengah tunggu ni. Kau nak tembak aku kat mana? Kat dada? Berhati-hati ya Maseh Dara. Jangan salah tuju, nanti kalau kena sipi-sipi, aku hidup lagi. Kalau aku hidup, sampai lubang cacing aku cari, aku kerjakan kau. Aku kerat-kerat kau kecik-kecik, goreng, buat nugget. Ke, kau nak tembak aku kat kepala? Biar bersepai otak aku? Kau ingat, siang boleh hilangkan malam ke? Tak boleh Maseh Dara, tak boleh. Dah berjuta kali aku cakap, kau jangan jadi bodoh Maseh Dara. Guna otak kau tu lebih sikit. Kita ni manusia. Jangan asyik jadi lembu.


 


HELIUM:


Nanti dia tembak betul.


 


PTUIH!:


Jangan takut. Aku tak takut mati, Helium. Orang yang dah mati, mana lah nak takut mati. Sekarang ni, sikit pun tak ada rasa takut dalam hati aku, Helium. Yang ada, rasa nak ketawa kuat-kuat. Lucu, Helium, lucu, tengok keluarga kita macam ni. Orang tanya, apasal famili kau jadi macam tu? Aku nak cakap salah siapa? Salah aku? Salah kau Helium? Ke salah kau, Maseh Dara?


 


MASEH DARA.:


Apa pulak salah aku? Aku tak salah. Aku ikut apa yang bapak suruh buat. Aku bukan anak durhaka, macam kau.


 


PTUIH!:


Aku tahu. Kau jenis yang buat apa saja yang bapak suruh. Bila bapak suruh mandi, kau mandi. Tapi kau tak tahu bapak pasang kamera dalam bilik air kau, tengok kau mandi bogel, rakam, buat bisnes video blue. Bila bapak peluk kau, kau rasa bapak sayang kau. Pasal, itu yang bapak ajar kau. Nak buat macam mana, kan? Bila bapak dukung kau masuk bilik dia, kau akur jugak. Bila bapak romen kau, tindih kau, kau akur. Bapak kata, doggie style, kau pun doggie style. Bila bapak kata, blowjob, anakku sayang, kau pun blowjob. Kau anak yang baik, kata bapak. Baik. Baik sangat sampai kau anggap jadi bahan nafsu bapak tu satu kewajipan. Kau memang anak yang baik bagi bapak yang jahat. Baik bagi bapak pasal kau sanggup serah diri pada bapak bila-bila masa je. Tiap kali bapak stim. Kau sanggup kandungkan adik kau sendiri, sebab bapak kata itu definisi anak yang baik. Bila bapak kata, gugurkan, kau gugurkan. Dan bapak doggie style kau lagi. Membenih lagi dalam rahim kau. Gugurkan lagi. Kau tak kisah sebab nak jadi anak yang baik. Itu. Itu definisi anak yang baik yang bapak ajar kau. Dan kau pulak, dah tak nak ambik tahu lebih dari itu. Sebab selesa. Sebab kau pun nafsu kuda. Kau tahu, orang macam kau ni lah yang buat bapak jadi setan.


 


MASEH DARA.:


Tubuh aku. Tubuh aku, kan? Suka hati akulah nak bagi siapa. Tak ada kena mengena dengan kau. Ke kau pun terasa nak? Kalau nak, cakap je lah.


 


PTUIH!:


Kau berani tawar kat aku? Tengok. Agaknya kalau monyet datang mengendeng pun kau bagi.


 


MASEH DARA.:


Aku cakap tubuh aku! Tubuh aku! Kau peduli apa? Kau nak ke?


 


PTUIH!:


Kau memang nak sangat bagi aku rasa tubuh kau, ke kau yang nak rasa aku punya?


 


MASEH DARA. DIAM.


 


SKRIN:


Imej warna bertukar ganti, berakhir dengan magenta.


 


PTUIH!:


Alah aku tau lah. Kau teringin buat dengan aku. Bapak dah semput-semput. Dah tua. Lama-lama kau rasa dah tak best. Aku tahu kau nak bagi. Tinggal lagi, aku tak beri kau lampu hijau je.


 


MASEH DARA. DIAM.


 


PTUIH!:


Kalau kau memang nak bagi aku, aku OK je. Kita boleh lupakan sengketa sama kita. Aku OK kalau kau OK. Apa kata?


 


PTUIH! MENGHAMPIRI MASEH DARA..


 


PTUIH!:


Kau tahu tak yang kau ni lawa?


 


MASEH DARA. DIAM, TAPI SENYUM SEDIKIT.


 


PTUIH!:


Kita lupakan sengketa, aku layan kau macam buah hati aku.


 


PTUIH! SEMAKIN DEKAT, MASEH DARA. HANYA DIAM TERSENYUM.


 


PTUIH!:


Aku tahu kau harap aku datang kat kau. Aku datang sekarang. Sebelum aku pergi, sebelum aku dah tak ada lagi, aku nak sekali, bersama dengan kau. Aku pun dah syok ni. Dah stim.


 


PTUIH! MEMEGANG PISTOL DI TANGAN MASEH DARA.. MASEH DARA. MEMBIARKAN. DIA KEASYIKAN.


 


PTUIH!:


Orang lawa macam kau tak elok pegang pistol. Pistol bukan budaya kita. Pistol budaya Amerika. Tapi kalau kau suka pistol, mesti kau suka yang macam ni, kan. Amerika!


 


PTUIH! MENGAMBIL PISTOL DARI MASEH DARA.. MASEH DARA. MEMBIARKAN. PTUIH! KEMUDIAN CUBA MERANGKUL MASEH DARA.. SAAT INI, PENGAWAL KESELAMATAN STESEN KEMBALI. BERSAMANYA ADA SNEK, MINUMAN RINGAN DAN MINI KOMPO. MELIHAT PENGAWAL KESELAMATAN, PTUIH! MENGHENTIKAN TINDAKANNYA, DAN CEPAT-CEPAT MENYEMBUNYIKAN PISTOL DI DALAM JAKETNYA.


 


SKRIN:


Imej-imej iklan produk kecantikan.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Panadol! Panadol! Panadol sapa! (Melihat Helium) Eh, sia doh? Makei ubat ggapo dio?


 


PTUIH!:


Panadol lambat sangat. Saya ludah tiga kali, terus sembuh.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Hu, ganah! Ludoh buleh sia. Terro. Buleh jjadi tok bomo. (Menjuih arah Maseh Dara.) Ni sapa dio pulok?


 


PTUIH! TIDAK MENJAWAB.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Bohsia ko? Hok ni aku tok bghapo kkenei.


 


PTUIH!:


Cukup duit tadi?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Hok tu nok ghoya’ ni. Aku beli cakedih denga air coke ni skali, takut-takut mu lapar ko ggapo. Aku bayar pitih aku dulu. Keno tambah lagi spuluh ghia. Campur dengan upoh, campur dengan sewa mini kompo ni, dalei limo ghia lagi. Bukei ggapo, aku takut mu bosei, buleh denga radio ni. Jadinyo, capo-capo, jjadi... kughei limo ghia, duo puloh.


 


PTUIH! MENGELUARKAN LEBIHAN DUIT TADI. DUA NOT LIMA RINGGIT.


 


PTUIH!:


Bisnes ha?


 


PENGAWAL KESELAMATAN TERSENYUM MENGANGGUK.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Nnego kecei kecilei, oghei kato. Tamboh pendapatei.


 


PTUIH!:


Mini kompo ni tak payah kot. Harga tiket ke stesen paling jauh, berapa?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Utagho ko slatei?


 


PTUIH!:


Yang mana lebih jauh?


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Utagho. Tapi harga tiket samo joh, pat ghia stengoh sbutei ppalo.


 


PTUIH! MENGIRA DUIT.


 


PTUIH!:


Tak cukup duit lah. Macam mana ni? Helium, kau ada duit lagi?


 


HELIUM MENGGELENGKAN KEPALA.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Pah tu sapa nok bayar ni. Tok leh lagu tu. Ggini. Kalu tok cukup duit, buleh kigho cagho lain. Hok aku nampok kelih mu ado baghei. Buleh tukar suko samo suko. Guano?


 


PTUIH!:


Barang apa?


 


PENGAWAL KESELAMATAN MENJELING ARAH MASEH DARA.. PTUIH! FAHAM.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Aku pun lamo doh tok tubik air.


 


PTUIH!:


Deal. Macam tu boleh. Dengan rela hati, tapi dengan sewa mini kompo sekali lah, kalau macam tu.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Orrait my man! Tapi tokleh ssini. Aku keno bowok gi blakei stor. Ssitu buleh bekali.


 


PTUIH!:


Pakcik sorang ke jaga malam ni? Mesti ada guard lain kat sini.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Ado. Pok cik Semei. Tapi tak po. Dia tido. Oghei tuo. Tak po. Tok soh ghusing ko dio. Dio tido mapuh. Slagi kheto api tok maghi, tok seda.


 


PENGAWAL KESELAMATAN MENGHAMPIRI MASEH DARA., MENARIK MASEH DARA. SUPAYA IKUT BERSAMANYA. MASEH DARA. TIDAK MELAWAN, MALAH KELIHATAN GEMBIRA. MASEH DARA. IKUT PENGAWAL KESELAMATAN STESEN KELUAR PENTAS. HELIUM TERPINGA-PINGA MELIHAT.


 


PENGAWAL KESELAMATAN:


Slamat sdagho!


 


PTUIH! MENGANGGUK-ANGGUKKAN KEPALA DAN TERSENYUM.


 


SKRIN:


Imej-imej iklan majalah hiburan.


 


PTUIH!:


Selamat! Selamat berhibur!


 


HELIUM:


Kau jual dia?


 


PTUIH!:


Musuhlah, musuh! Kau ingat dia benci ke aku buat macam tu? Dia suka. Kau tak nampak ke yang dia suka? Pergi mampus! Kalau dah bohsia, bohsialah Helium. (Menuju ke mini kompo) Ada ni. Boleh dengar lagu. Jom kita dengar, ada lagu best ke tak malam ni.


 


HELIUM:


Kau jual Maseh Dara. Kalau kau nak duit, aku masih ada duit.


 


PTUIH!:


Tadi kau kata tak ada?


 


HELIUM:


Ada. Aku cuma tak nak bagi orang tu. Dia nampak jahat.


 


PTUIH!:


Engkau ni... (Diam seketika) Dah tu nak buat macam mana? Dah jual. Hah, tak kisahlah. Kita dengar lagu lagi bagus.


 


PTUIH! MENGHIDUPKAN MINI KOMPO.


 


AUDIO:


Lagu pop.


 


PTUIH! DAN HELIUM TERDIAM, MENDENGAR LAGU BEBERAPA KETIKA. KEMUDIAN, PTUIH! MENGELUARKAN PISTOL DAN MEMBELEK-BELEK.


 


SKRIN:


Imej-imej komik percintaan.


 


PTUIH!:


Helium, kau sayang aku?


 


HELIUM:


Kau superhero aku.


 


PTUIH!:


Kau maksudkan apa yang kau cakap tadi? Kalau aku Batman, kau Robin?


 


HELIUM:


Aku boleh jadi doraemon. Aku boleh tolong kau.


 


PTUIH!:


Kau marah bapak, tak?


 


HELIUM:


Tak tahu lah. Aku tak tahu untuk apa aku nak marah dia. Aku tahu dia tak suka kau. Dia raksasa. Tapi dia layan aku OK.


 


PTUIH!:


OK? OK. Kalau kau kata OK, OK lah. Sekarang aku nak kena pergi. Dia dah halau aku. Dah banyak kali pun bergaduh, kau pun tahu. Akhirnya, dia halau aku. Dari hak aku yang lahir dalam rumah tu, untuk duduk kat situ. Tapi dia kata tu rumah dia. Tak pa. Memang kuasa di tangan dia. Dia bapak. Nak buat macam mana.


 


HELIUM:


Aku ikut kau, kan?


 


PTUIH!:


Aku pikir-pikir, aku rasa, tak boleh lah, Helium. Sebab bapak nak kau ada dengan dia. Kau rekaan dia yang dia suka. Kalau kau ikut aku, aku akan terima susah nanti. Dia akan ikut aku. Dia akan kejar aku.


 


HELIUM:


Habis macam mana?


 


PTUIH!:


Aku tak tahu Helium. Tapi tadi kau kata kau sayang bapak. Baik kau balik.


 


HELIUM:


Aku tak kata aku sayang dia. Tadi kau kata aku boleh ikut?!


 


PTUIH!:


Bila masa aku kata kau boleh ikut?


 


HELIUM:


Tadi masa Maseh Dara suruh aku balik, kau halang aku ikut dia?


 


PTUIH!:


Itu sebab aku nak suruh kau jangan mengalah dengan orang bodoh, pasal kau tu cerdik.


 


HELIUM:


Habis macam mana?


 


PTUIH!:


Kau sayang bapak, kan?


 


HELIUM:


Aku tak cakap aku sayang dia lah. Aku cuma cakap dia layan aku OK. Aku sayang kau.


 


PTUIH!:


Apa yang aku cakap selama ni masih tak cukup untuk buat kau rasa yang apa yang bapak buat tu tak betul?


 


HELIUM:


Aku tahu dia tak betul, tapi dia tak pernah sakitkan aku.


 


PTUIH!:


Walaupun dia jahat, tapi sebab dia tak pernah buat jahat kat kau, kau rasa dia OK?


 


HELIUM:


Dia tak susahkan aku.


 


PTUIH!:


Kau nampak tu? Kau nampak tak yang cara dia didik kau berjaya. Kau dah tak ada semangat assabiyah. Kau tak fikirkan kita semua sebagai satu keluarga. Bapak sekularkan kita adik beradik. Kau dengan dunia kau, Maseh Dara dengan dunia dia, dan aku dengan dunia aku. Agaknya kalau aku tak buat baik pada kau, tak selalu lepak kat bilik kau, bercerita dengan kau, agaknya, aku pun tak wujud dalam diri kau.


 


HELIUM:


Tapi kau dah jadi superhero aku. Selain Tweetie, aku tak ada kawan lain. Tolonglah. Jangan tinggalkan aku. Jangan pisahkan kita...


 


PTUIH! DIAM.


 


PTUIH!:


Kau sayang aku?


 


HELIUM MENGANGGUK, PTUIH! MENDEPANGKAN TANGAN.


 


PTUIH!:


Sini!


 


HELIUM DATANG MEMELUK. MEREKA BERPELUKAN SEKETIKA.


 


PTUIH!:


Kau tak boleh ikut aku, Helium. Bukan aku tak nak bawak kau sekali, bukan. Tapi sebab kau ada urusan di sini. Urusan yang menanti kau di rumah kita, sementara aku pergi. Tapi kau jangan risau, sebab aku akan kembali. Aku akan balik semula. Bila kekuatan aku cukup, aku akan balik jumpa kau, Helium. Sekarang kau tak boleh ikut aku. Sebab aku Batman, kau Robin. Aku Superptui!, kau Helium. Aku cedera sekarang. Jiwa aku cedera parah. Aku mesti diubat dulu. Biar aku pergi berubat. Kau tahu, kan, bila Batman cedera, Robin mesti akan selesaikan kerja Batman. Bila Ultraman cedera, mesti satu lagi Ultraman dari langit muncul bantu, kan? Raksasa mesti kalah. Kalau raksasa menang, dunia nanti jadi porak peranda. Chaos.


 


Bila Superptui! cedera, batinnya cedera, kuasa supernaturalnya gagal berfungsi, kau Helium, kau boleh tolong. Kau nak tolong aku? Kau nak jadi orang kanan aku, kan? Kau nak tolong aku?


 


HELIUM DIAM.


 


SKRIN:


Imej-imej perpisahan.


 


PTUIH!:


Kalau kau sayang aku lah. Ucap sayang mesti ada buktinya, Helium. Buktikan, yang kau sayang aku.


 


HELIUM:


Aku tolong. Aku nak tolong, tapi...


 


PTUIH!:


(Menghulurkan pistol) Ambil pistol ni. Bunuh bapak bagi pihak aku. Biar aku terbebas. Biar kau terbebas. Raksasa mesti dihapuskan. Biar Superptui! dan Helium hidup bahagia selama-lamanya. Bapak mesti mati. Sistem yang buat kita sesat mesti dihapuskan. Ambil pistol ni. Guna pistol ni, bunuh bapak. Bunuh dia. Hanya kau yang boleh tolong aku sekarang.


 


HELIUM DIAM, TIDAK MENGAMBIL PISTOL.


 


PTUIH!:


Tak apa lah kalau kau tak sayang aku. Kalau kau hipokrit macam semua orang. Cakap ya ya, tapi bohong.


 


HELIUM:


Aku sayang kau. (Terus mengambil pistol dari Ptuih!). Betul kau akan balik ke rumah balik?


 


PTUIH!:


Aku akan balik. Aku janji, aku akan datang balik. Helium, pandang mata aku. Tengok keikhlasan aku. Aku janji, aku bersumpah, aku akan datang balik. Malam takkan hilang selagi belum kiamat. Bumi berputar. Biar aku ubat cedera aku sekejap. Biar aku kumpul tenaga. Tapi sementara kita masih ada peluang, kau bertindak bagi pihak aku. Kau kena balik.


 


SKRIN:


Imej-imej iklan pest control.


 


PTUIH!:


Sembunyikan pistol tu, takut nanti bapak tahu, habis peluang kita. Kau sembunyikan dulu pistol tu. Mana tahu kalau-kalau bapak masih belum tidur. Dan kalau dia tanya mana Maseh Dara, kau cakap kau tak tahu. Biar bapak fikir yang Maseh Dara dah tak ikut cakap dia, dah hancurkan harapan dia. Kau cakap dengan bapak yang kau balik kerana kau memang nak balik. Bukan Maseh Dara datang suruh kau balik.


 


Tapi kalau bapak dah tidur, peluang kita lagi cerah. Kau tahu kan, bila bapak bangun pagi-pagi, sebelum bapak keluar, dia mesti datang bilik kau. Tengok kau OK ke tak. Kau pura-pura tidur. Biar dia datang dekat dengan kau. Jangan tembak kalau dia masih jauh. Nanti tak kena. Nanti dia lari. Nanti kita rugi.


 


Bila dia datang dekat, kau halakan pistol ni kat kepala dia, kau tarik picu, kau tembak dua tiga kali. Tembak kat kepala. Biar otak dia berkecai. Lepas tu, kau tembak lagi dia kat dada. Biar tembus hati dia. Tembak sampai habis peluru. Jangan nak berjimat. Biar dia mati terus. Baru semuanya selesai. Dan kau jangan risau. Bila bapak dah mati, aku akan datang ambik kau. Kita akan bersama.


 


HELIUM:


Boleh ke?


 


PTUIH!:


Kena yakin. Kau buat, kita hidup bersama-sama. Kalau kau tak yakin, apa pun takkan jadi. Kau kena yakin. Kau yakinkan hati kau yang kau bukan bunuh bapak yang jadi pemangkin benih yang memunculkan kau atas dunia ni, tapi kau bunuh satu sistem yang telah menghancurkan kegembiraan seluruh keluarga kita. Kau buat, dan kita akan hidup bersama-sama. Aku bersumpah. Kita akan hidup sama-sama. Bahagia bersama-sama.


 


AUDIO:


Bunyi desing landasan menandakan ada transit sedang menghala ke situ.


 


PTUIH!:


Simpan pistol tu. Tren dah nak ada. Nanti ramai orang yang nak ke tempat kerja datang ke mari. Nanti mereka nampak. Kalau mereka nampak, misi kita akan gagal. Kau akan kena tangkap. Kalau kau tertangkap, kita gagal. Kalau kita gagal, aku akan kecewa. Kau jangan buat aku kecewa. Kau tak nak buat aku kecewa, kan? Kalau aku kecewa, kau akan hilang aku selama-lamanya.


 


PTUIH! MENGAMBIL PISTOL DARI TANGAN HELIUM DAN MENYELITKANNYA DI TALI PINGGANG BELAKANG HELIUM, DAN MENUTUPNYA DENGAN BAJU HELIUM.


 


HELIUM:


Hari ni hari minggu. Tak kerja. Tak kan ada orang keluar waktu macam ni.


 


PTUIH!:


Apapun kita kena berhati-hati. Jangan sampai orang tahu misi kita. Dan yakin. Kita akan berjaya.


 


HELIUM MENGANGGUK PERLAHAN. SEDIH DENGAN PERPISAHAN.


 


SKRIN:


Imej transit menghampiri stesen dan akhirnya tiba di stesen.


 


PTUIH!:


Jaga diri Helium. Yakin. Kita akan berjaya. Kita akan bersama.


 


HELIUM SERBA SALAH.


 


HELIUM:


Kau sayang aku?


 


PTUIH!:


Aku sayang kau.


 


HELIUM:


Aku sayang kau jugak.


 


MEREKA BERPELUKAN. HELIUM MEMELUK PTUIH! ERAT-ERAT, SEPERTI TIDAK MAHU MELEPASKAN PTUIH!.


 


AUDIO:


Bunyi tren sampai ke stesen.


 


LAMPU:


Semakin terang dengan cepat sehingga silau, kemudian padam tiba-tiba.


 


SKRIN:


Hitam.


 


LAMPU:


Lampu dinyalakan. Malap pada bahagian set yang lain tetapi spot pada Helium.


 


STESEN TRANSIT SUNYI. HANYA ADA HELIUM. PTUIH! TELAH PERGI. HELIUM HIBA. DIA TERKETAR-KETAR MENAHAN SEDIH. KEMUDIAN, DIA KELUARKAN PISTOL DAN MEMBELEK-BELEKNYA.


 


SKRIN:


Imej-imej komik keperwiraan.


 


HELIUM MEMANDANG PATUNG TWEETIENYA. DIAMBIL DAN DIDUKUNG, KEMUDIAN DILETAKKAN DI HADAPANNYA. DIA MEMANDANG TWEETIE LAMA-LAMA.


 


HELIUM:


Apa ada pada nama? Apa nama yang terbang? Nama yang seperti layang-layang putus tali. Macam bunga plastik. Maseh Dara bunga plastik.


 


Ptuih! bunyi ludah. Ludah bukan wajib pada benci semata-mata. Ludah kahak bila batuk atau ludah lalat yang masuk mulut sebab ternganga lihat anak dara lalu. Dara yang tak boleh nak agak, dara ke dah tak dara. Bukan nak cerita pasal dara. Tapi kalau betul kata Superptui!, bapak buat kami adik beradik tak berdara lagi.


 


Tapi macam mana? Aku masih respek pada bapak. Aku masih terkesan dengan perjuangan bapak dulu. Apa bezanya perjuangan bapak dulu dengan perjuangan Superptui!?


 


Patut ke aku bunuh bapak? Aku rindukan bapak yang dulu. Sama macam Superptui!. Aku suka perjuangan mencari kelainan anjuran bapak. Kata bapak dulu, kita terikat dengan sistem yang dibuat orang luar. Tapi kenapa bapak berubah? Betulkah mewah dah ubah bapak?


 


Bapak dulu memang best. Maseh Dara silap. Sebab bapak sekarang dah tak best. Betul kata Superptui!. Bapak sekarang dah karut. Patut ke aku bunuh bapak?


 


Bapak dulu pejuang. Pejuang supaya kita terbebas dari sistem orang luar yang berakar umbi, yang menekan kebebasan hidup kita. Tapi kenapa bapak berubah?


 


Kalau mak pun lari kerana tak sanggup lagi hidup dalam sistem bapak yang semakin bercelaru, apakah bapak memang patut mati?


 


Mungkin sebab itu aku patut bunuh bapak. Ya. Mungkin sebab itu. Sebab bapak, mak lari bersama kasih sayang. Aku haus kasih sayang. Aku perlu kasih sayang. Tapi bapak tak kejar mak. Bapak kata, kalau mak pergi, dia tak pelik. Berapa ramai perempuan ada dalam dunia ni. Dia kata kejar mak itu sia-sia. Tapi aku? Aku selalu rasa yang perkataan mak itu sinonim dengan kasih sayang. Mak sama dengan kasih sayang. Sampai bila di sekolah, bila cikgu tanya apa perkataan seerti dengan emak, aku terus jawab kasih sayang. Cikgu tu ketawakan aku. Aku tak kisah. Aku sayang mak.


 


Mungkin itu boleh jadi sebab untuk aku bunuh bapak. Sebab bapak rasa mak tak berharga pada dia. Mak berharga pada aku. 


 


Hah! Macam mana ni? Aku janji dengan Superptui! nak bunuh bapak. Tapi aku takut. Macam mana ni? Tweetie, macam mana ni? Kalau Superptui! tak sanggup bunuh bapak, kenapa dia fikir aku boleh?


 


HELIUM DIAM.


 


Tak. Aku bukan takut. Aku bukan takut bunuh bapak. Kata Hamlet, bertindak atau tidak itu soalnya. Apakah lebih mulia menanggung derita batin, oleh pukulan ali-ali dan panah nasib buruk yang jahat, atau berdiri dan menentang lautan bencana, lalu menghapuskannya? Aku akan berdiri. Aku akan berdiri. Aku akan hapuskan.


 


Tapi aku takut dengan memori aku sendiri nanti. Kalaulah aku boleh bunuh dia tanpa sedar. Bunuh dia ketika fikiran aku tak ingat apa-apa. Tapi kalau mabuk, kalau khayal, macam mana aku nak tahu yang aku kena bunuh dia? Ahh!! Tweetie, tolong aku. Macam mana ni? Aku sayang Superptui! Aku tak sayang bapak. Aku tak sayang bapak! Aku tak sayang bapak!


 


Tapi aku tak nak memori ni. Nanti kalau aku bunuh dia, dia masih ada dalam memori aku. Macam mana aku nak hidup kalau dia sentiasa ada dalam memori aku? Macam mana kalau nanti dia datang dengan rupa hantu jerangkung, ahh.. Aku takut...


 


Bertindak atau tidak, itu soalnya.


 


HELIUM TERKETAR-KETAR MENAHAN LEDAKAN KELIRU.


 


Memori ni. Memori ni yang mesti tidak ada (Menunjuk-nunjuk arah kepalanya). Memori ni. Memori ni yang patut lesap. Baru sistem yang menyakitkan tu tak wujud lagi. (Helium mengacu-ngacu pistol di kepalanya).


 


Ya. Memori ni yang patut aku hapuskan. Memori ni. Aku mesti tekad. Kata Superptui!, aku mesti yakin. Aku mesti tekad. Aku mesti berani. Aku mesti berani. Berdiri dan menentang lautan bencana. Hapuskannya. Aku mesti berani. Aku mesti bunuh bapak. Aku akan lenyapkan kisah bapak. Aku akan bunuh bapak. Aku bunuh bapak!!


 


LAMPU:


Lampu padam.


 


AUDIO:


Bunyi satu das tembakan. Kemudian disusuli dengan muzik penutup.


 


SKRIN:


Kredit akhir pada imej poster seperti preset.


 


TAMAT.




Komen (1)

pengarang 11/29/2006 3:03:53 AM
Artikel ini disiarkan di kakiseni.com

Super Tweety
Superptuih! & Transit Kaler Magenta adalah sebuah cerita kejatuhan superhero dan keruntuhan ketamadunan kemanusian
by Mislina Mustaffa
09-12-2004

Sinopsis persembahan ini memang epik. Inilah cubaan saya untuk meringkasnya: Ptuih! (nama protagonis) yang rebel bertengkar dengan bapak dan dihalau keluar. Helium Si Gas Nadir, abang Ptuih! yang sedikit autisme mengikut Ptuih! hingga ke stesen transit. Ptuih! merupakan bagai Superman kepada Helium, yang sentiasa memeluk patung Tweety. Helium memujuk Ptuih! supaya tidak pergi. Bapak pula menghantar Maseh Dara, kakak tengah supaya membawa Ptuih! balik. Lalu terjadi pertengkaran antara Ptuih! dan Maseh Dara, yang rupa-rupanya adalah ‘sex toy’ bapa mereka. Bila Maseh Dara cuba membawa Helium balik, Ptuih! menghalang, malah menjual Maseh Dara pada Pengawal Keselamatan Stesen. Kemudian, Ptuih! memujuk dan menggunakan kelemahan Helium sebagai senjatanya untuk meneruskan misinya – bunuh bapak.
Superptuih! & Transit Kaler Magenta, tulisan dan arahan Wan Azli Wan Jusoh, adalah sebuah cerita kejatuhan yang tragik. Ia boleh kita jadikan bahan rujukan semasa yang aktif untuk kita melihat kembali perang saraf yang melanda anak-anak muda waktu ini untuk kita jadikan iktibar. Idea dan teksnya bersifat global, boleh diadaptasikan mengikut isu dan peradaban mana-mana bangsa, kerana ia bukan sahaja sebuah kejatuhan peribadi tetapi keruntuhan ketamadunan kemanusiaan keseluruhannya.

Dengan mengambil latarbelakang Malaysia kini, konflik sosio-budaya-ekonomi-politik dilihat sebagai pemangkin penting dalam pembentukan eksistensi anak-anak muda yang terperangkap. Terperangkap di dalam ruang masa, ruang logik, ruang kenangan lampau, ruang ugama dan sebagainya. Kesemuanya bercampur-baur dan bertempur di dalam balang tuntutan materialisme. Masing-masing ingin mencari ruang untuk bernafas, ruang untuk menjadi manusia tenang dan sederhana. Dalam usaha untuk meminimalkan kadar absurditi inilah, konflik tercetus dan perkelahian prinsipal berlaku. Oleh kerana sistem yang dulunya menjadi pedoman kini sudah tidak mampu lagi untuk memberi jawapan, jalan mudahnya adalah, keluar dari sistem tersebut atau runtuhkan sahaja ia.

Inilah yang berlaku kepada Ptuih! (Ahmad Fuad Osman), Helium (Nam Ron) dan Maseh Dara (Ili Farhana) yang pecah sahsiah diri akibat Bapak yang sudah tidak mampu lagi untuk berfungsi sebagai super-ego mereka.

Bapak sepatutnya menjadi super-hero yang menyelamatkan dunia tetapi gagal. Puncanya, dari seekor burung helang bermata tajam, dia telah bertukar menjadi ular yang tamak, membelit keseluruhan sistem lantas menjadi raja. Lidahnya berbisa. Maseh Dara terperangkap dalam janji-janji manis status dan kebendaan. Ptuih! terperangkap dalam kata-kata nista dan kebencian. Dan Helium pula, seperti sebuah globe yang terperangkap diantara 2 paksi, hanya mampu berputar-putar didalam wilayah kebingungan ini dan akhirnya pecah. Mereka adalah mangsa. Apa yang kita tonton di atas pentas adalah impak. Puncanya tersembunyi dan seperti ular, masih merayap dalam diam mencari mangsa seterusnya.

Lalu apa yang lebih penting untuk kita bicarakan di sini adalah bapak yang tidak muncul di atas pentas itu. Dialah sistem yang mengakibatkan keruntuhan setragis itu. Dan dia ular yang masih hidup.

Walau bagaimanapun, bicara tentang sistem dan impak positif nagatifnya adalah sebuah bicara yang mual. Setiap saat kita disogok dengan sistem-sistem yang dibina dari logika akal yang bertahap super. Setiap saat juga kita menonton kemusnahan berpunca dari sistem-sistem ini. Kita bingung. Tidak tahu apa lagi yang harus kita perbetulkan kerana kalaulah sistem akal manusia yang paling logik pun sudah tidak mampu berfungsi lagi, dari mana lagi harus kita cari jawapan untuk kedamaian kemanusiaan kita?

Tambahan pula, ini zaman kemuncak akal. Membikin sistem bukanlah sesuatu yang sukar. Segalanya di hujung jari. Makanan segera, wang segera, kepuasan segera dan baru-baru ini, demam reality TV yang menjanjikan emosi segera, menjadi sistem kehidupan kita. Bayangkan, apabila ‘kesegeraan’ menjadi super-hero yang menyelamatkan hari-hari kita, apakah yang akan terjadi kepada pembentukan kemanusiaan kita? Eksistensi segera juga bermaksud kematian yang segera.

Jawapannya, kerna kehidupan kita sudah jadi sesegera komik, kita harus berusaha semula menjadi manusia. Tak perlu jadi Superman dan jangan pula jadi Tweety.

Kehadiran patung Tweety, komik Superman dan iklan-iklan dagangan yang dipancarkan di dinding sewaktu pementasan berlangsung merupakan imej-imej yang menarik. Mereka adalah imej kemanusiaan kita zaman ini. Dua dimensi, tiada perasaan, boleh dijual beli, adalah ciri-ciri tamadun dan ketamadunan kita. Syabas kepada pengarahnya.

Namun, kerja-kerja menterjemah sebuah teks untuk dihidangkan di atas pentas dalam dulang Teater Idea yang minimal, inteligen dan mempunyai pemikiran kritikal terhadap isu yang akan diperkatakan adalah kerja berat dan rumit. Semua elemen di atas pentas harus diterjemahkan ke dalam bentuk simbol yang paling ringkas, tepat dan efektif namun global sifatnya mengikut sign dan signifier yang bersesuaian dengan penerimaan dan persepsi audien.

Seterusnya penterjemahan ini harus pula membenarkan perkongsian dan perdebatan data-data isu berlaku secara timbal-balik dan eklektik di antara apa yang berlaku di atas pentas dan pemikiran audien sewaktu persembahan. Barulah di akhir pementasan, proses dialektika yang berlaku di antara persembahan dan audien akan mencapai kata sepakat dalam beberapa hal – meskipun persembahan itu berkeputusan terbuka dan tidak menirus kepada apa-apa pegangan secara total.

Sepatutnya Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta boleh mencapai tahap tersebut tetapi pembikinannya yang jelas kelihatan tergesa-gesa telah mencacatkan potensi ini. Kerna pembikinannya yang kurang masak, karya ini berada di tengah-tengah paksi. Antara ada dan tiada. Antara nampak dan tersembunyi. Antara ya dan tidak. Antara berfungsi dan tidak berfungsi. Mungkin itu juga adalah salah satu impak sistem ‘kesegeraan’. Kalau itu tujuan pementasan ini, Syabas kerana ia berjaya.

~ ~ ~

Mislina Mustaffa adalah seorang pelakon (Otak Tak Centre, Alang Rentak Seribu, dan Bangau, Oh Bangau) dan pengarah (Till Death Do Us Part dan Waiting for Godot).





Bagi mengelakkan spam, sila tuliskan perkataan di dalam imej ini ke dalam ruang yang disediakan.





Hakcipta © 2005 eSastera Enterprise • Kemaskini terakhir 7/1/2010 7:34:31 AM • Bilangan pelawat 39236