esasterawan.net

 

aziz zabidi

Laman utama
Maklumat peribadi
Weblog
Karya
Foto
Maklumat sisi
Promosi
Papan nota

info

Nama penuh
Abdul Aziz Mahamad Zabidin

Email
arjosh81@yahoo.com

Laman web lain
http://



weblog • 26 • lihat arkib weblog

Khamis, 8 April 2010
Selepas jeda...

Hampir 6 bulan saya tidak menulis di sini...phewww, mohon maaf dan sekaligus terima kasih kepada rakan-rakan yang tidak bosan membuka halaman ini dan mendapati ianya tidak dikemaskini. Segala sumpahan, makian ataupun cebikan dari kalian (jika ada) saya terima seredhanya. Saya memang pembaloq...kata orang utara.

Untuk kali ini pun saya tak tahu apa yg nak ditulis, jadi untuk mengelak tuan puan dari membaca sesuatu yang sia-sia, saya tampalkan disini komen caca marba saya terhadap sajak sdr Roslina Sheikh Ahmad di Penyair pagi tadi.

Membaca kembali komen itu, saya rasa banyak yang perlu ditambah supaya dapat menjadi sebuah ulasan sajak. Masalahnya, saya memang pembaloq...heheh...terima kasih

***

SIAPAKAH YANG GILA

Lihat!
Mesyuarat sekawan binatang di hujung rimba
wacana minda mewar-warkan cinta dunia

 

Siapakah yang gila
melakar sejarah hebat dunia
dalam koyaknya sejadah cinta..!


Roslina Sheikh Abdullah
Pahang Darul Makmur
080410

 

Sajak, sebagai hasil seni mempunyai pelbagai kemungkinan. Bermula dari tujuan sajak ditulis hinggalah kepada kesan sajak kepada dinia luar (pembaca, masyarakat etc). Dan diantara dua sisi itulah bentuk, isi, teknik, jenis etc. memainkan peranannya. Faktor didalam sajak dan diluar sajak juga mempengaruhi bagaimana sajak-sajak itu hidup (atau mati) dalam perjalanan itu. Namun, secara kolektifnya sajak diterima sebagai kerja seni yang mengkomunikasikan emosi dan pemikiran atau setidak-tidaknya salah satu daripadanya.

Saya menemui kedua-duanya dalam sajak ini, satu secara tersurat dan satu lagi secara tersirat.

Dengan membuka sajak menggunakan satu kata yang punya tanda seru "Lihat!" pembaca diperintah atau diajak membuka imaginasi ke satu arah yang bakal ditunjukkan dalam baris-baris seterusnya. Teknik begini walaupun tidak berapa mesra, namun sangat bagus untuk mempersiapkan imaginasi pembaca untuk masuk ke dalam sajak. Seterusnya, bermodalkan kata perintah tadi, pembaca dibawa kepada gambaran sebuah mesyuarat sekawan binatang di hujung rimba. Baris ini sangat imaginatif, vivid dan hidup. Saya membayangkan sekawan kambing, rusa, biri-biri malah harimau dan ungka sedang bermesyuarat di hujung rimba (hujung rimba? dimanakah hujung rimba, dipinggir bandarkah? ) Baris seterusnya walaubagaimanapun meleburkan imej-imej konkrit tadi menjadi segumpal metafora abstrak. "Wacana minda mewar-war cinta dunia" pastilah bukan sesuatu yg dimesyuaratkan oleh kambing, rusa dan harimau tadi. Selesai baris kedua itu,kita tahu, binatang yang dimaksudkan adalah idea tentang sifat kebinatangan yang ditamsilkan dalam konvensi budaya kita sebagai sesuatu yang teruk, ganas, babarian, kejam etc.

Pada rangkap seterusnya, imaginasi yang ditawarkan tadi tiba-tiba diputuskan dari minda pembaca, pembaca dihadapkan pula dengan sebuah soalan. Lompatan sebegini menimbulkan kesan kejutan. Seperti juga pembuka sajak yang mengejutkan dengan kata perintah, melangkah ke baris ke2 kita sekali lagi dikejutkan dengan teknik yang memutarkan imaginasi yang terbina tadi dengan sebuah soalan yang berupa argumentasi. Yang wujud dari kaedah sebegini ialah satu kesan lompang, kesan ketergesaan. Namun kesan sebegini tidak menjadikan sajak ini cacat. Mengapa perlu terkejut jika kita memang menjangkakan kejutan sejak bertemu ayat pertama lagi.

Yang nyata, sajak ini adalah sajak idea, idea tentang falsafah kemajuan itu sendiri, tentang pertembungan nilai materialisme dan nilai agama. Membaca sajak ini saya kira pembaca tidak mengalami kesukaran menangkap idea itu. Walaupun dibumbui metafora namun ideanya jelas. bagi yang biasa dengan 'tool' sajak, idea ini, walaupun tersirat namun menonjol. Dalam dunia sajak, pemikiran sajak ini boleh dikatakan mendahului emosi yang wujud. Emosi/rasa pula sampai secara subtle, kita melihatnya melalui kewujudan kata kunci seperti penggunaan tanda seru, penggunaan kata yang keras seperti binatang & gila, lompatan gaya diantara dua rangkap (seperti yang dibincangkan tadi) dan soalan berbentuk retorik itu sendiri. Kita mengesan emosi marah, kecewa malah seakan pasrah dalam sajak ini. dan itulah yang tersiratnya.

Apapun, sajak ini telah berjaya memainkan peranannya untuk berkomunikasi dan menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Kesannya, samada akan kekal atau segera hilang akan ditentukan oleh pembaca itu sendiri. Seperti kata Chairil Anwar " sebuah sajak adalah sebuah dunia..."

sajak ini telah membina dunianya sendiri...

salam hormat, maaf atas kekurangan, penelitian spontan sebegini tidak mampu menghasilkan analisis yang lebih mantap.

 

***

 

Owh…rupanya sangat mudah menggunakan kaedah copy & paste ini untuk update blog. Saya gembira!

Sdr roslina, maaf tak minta izin siarkan sajak anda di sini : )

 



Disumbangkan pada 3:46:50 PM • Lihat komen (5) / Tambah komen


Selasa, 13 Oktober 2009
Entri Baru
Ini adalah entri baru. Terima kasih ; )

Disumbangkan pada 9:16:37 AM • Lihat komen (7) / Tambah komen


Khamis, 1 Oktober 2009
Berita Harian
Mungkin tuan-tuan boleh belek-belek berita harian hari ini. Ada sedikit pendapat daripada saya di ruangan sastera berkenaan sastera siber dan pengiktirafan daripada DBP. Mungkin boleh kita diskusikan.

Disumbangkan pada 4:23:16 PM • Lihat komen (7) / Tambah komen


Ahad, 13 September 2009
Selamat Hari Raya
Selamat HAri Raya Selamat Menyambut Hari RAya Aidilfitri utk sahabat-sahabat esastera. Maaf dipohon jika ada tersilap kata terkasar bicara. Selamat beraya...selamat semuanya. Assalamualaikum

Disumbangkan pada 1:26:46 PM • Lihat komen (3) / Tambah komen


Selasa, 1 September 2009
Membaca Jawi

 

Petang semalam aku tengok History, Astro 555. Cerita tentang tulisan jawi. Aku ingat sesuatu.

 

               *             *              *

 

Aku agak lambat pandai baca jawi.

 

Satu hari ustazah suruh budak-budak baca. Ustazah tulis di papan hitam, kami kena eja kuat-kuat dan sebut apa yang ditulis.

 

Sampai giliran aku.

 

“Kap-Alip-Wau-Nun…Kawin”

 

Ustazah gelak, kawan-kawan gelak. Mat Razip gelak paling kuat sambil ejek-ejek.

 

“Hahaha…kawin…kawin…Mu nak kawin ngan Yati ka?”

 

Aku tengok muka Mat Razip, dia gelak kuat-kuat. Aku tengok muka Yati. Muka Yati merah padam.

 

Aku bengang. Masa tu darjah 4, dan perkara lelaki perempuan adalah perkara paling sensitif.

 

Aku celapak, tumbuk muka Mat Razip. Aku dan Mat Razip bergomol, berguling-guling dalam kelas. Ustazah jerit-jerit suruh berhenti.

 

Alhasil, muka Mat Razip bengkak, muka aku pun bengkak.

 

Kejadian itu berlaku di bulan puasa. Aku dah lupa hari tu aku berpuasa atau tak.

 

Mat Razip dah kahwin, anak dua. Yati pun dah kahwin, tapi dia tak kahwin dengan aku, dia kahwin dengan orang lain.

  

Moralnya: Belajarlah membaca tulisan jawi dengan betul.



Disumbangkan pada 5:10:27 PM • Lihat komen (9) / Tambah komen


Selasa, 18 Ogos 2009
Mengenang kembali keindahan itu...

 

 

Waktu itu tak ada snek untuk dikunyah, tak ada cekedi tak ada keropok untuk dimamah-mamah. Gula-gula getah jauh sekali. Tapi, bukan tak ada dalam erti sebenarnya tak ada. cumanya tak ada dalam erti kata sangat terbatas, khasnya untuk kami. Jika balik ke kampung memang adalah semua-semua itu, tapi entahlah, saya tak berminat sangat dengan makanan-makanan ringan yang perlu dibeli itu. Duitpun bukannya ada untuk beli semua-semua itu. Cumanya sekali-sekala kalau abah ada duit lebih, dibelinya kami keropok cap ayam bapak. Sebungkus 5 sen. Seingat sayalah.

 

Kami sekeluarga di Bukit Juang, kawasan sawah padi, kawasan getah, kawasan belukar, kawasan rimba di pingggir kampung kami. Abah memugar bendang, menanam getah di tanah beberapa relung di situ. Di pinggir rimba itu abah dirikan pondok. Pondok kami kecil, berdindingkan buluh, berlantaikan papan dan beratapkan nipah. Tiangnya dari kayu bulat. Ada jemuran di depan dan belakang rumah.  

 

Di pinggir rimba itu apalah yang ada. Jangan dikata snek atau gula-gula atau cekedi atau keropok, bahkan kedai runcitpun tak pernah wujud di situ. Sekali-sekala bila pulang ke kampung, ke rumah Ta, adalah juga saya ke kedai, mengikut mak. Tapi tak pula saya ingat pernah membeli apa-apa, mungkin adalah mak belikan keropok cap ayam bapak atau ais krim Malaysia. Mungkin adalah, tapi tak pula saya ingat.

 

Tapi saya punya gula-gula sendiri, saya punya cekedi sendiri. Semuanya enak-enak, lazat-lazat belaka, dan yang pentingnya gula-gula, cekedi-cekedi saya itu tak satupun perlu dibeli. Semuanya pemberian alam, semuanya hasil hutan yang tumbuh disekeliling kami. Ada cenderai, ada buah rotan, ada biji janggus, ada tebu dan macam-macam lagi. Yang saya ingat betul-betul adalah buah cenderai. Bulat-bulat, kecil sebesar kacang-kacang pada roda basikal. Hijau waktu putik dan hitam waktu masak. Buah cenderai itulah yang jadi kesukaan saya. Masam manis kelat rasanya. Dikebam-kebam, dikunyah-kunyah untuk menikmati rasanya yang lazat sangat itu. Sebenarnya bukan isinya yang lazat, cenderai tak ada isipun, cuma campuran dari kulit dan air liur kitalah yang membuatnya lazat. Dan bijinya pula diluah begitu saja.

 

Ada sepokok cenderai besar agam didepan pondok kami. Saya ingat betul pokok cenderai sebatang itu. Batangnya besar, dahannya bercabang-cabang. Daunnya hijau dan lebat. Pokok cenderai besar agam itulah yang jadi peneduh halaman pondok kecil kami. Dibelakangnya terbentang bendang beberapa petak, baruh dan santak ke bukit-bukau yang memagar kawasan bendang-bendang itu. Pagi-pagi, selepas bangun, basuh mata lebih kurang, saya suka benar mencangkung tutup badan dan kepala dengan kain sentung di atas jemuran pondok kami sambil memerhatikan burung-burung kecil berciap-ciap terbang lompat terbang lompat di dahan cenderai. Mematuk-matuk cenderai-cenderai masak itu.

 

Sebentar emak akan panggil, menyeruk. Biasanya ubi rebus dan kopi ‘o’ pekat. Kadang-kadang pulut tanak, atau nasi goreng berlaukkan keli atau haruan. Selepas itu, saya lagi ke pokok cenderai. Kali ini saya pula yang bergayut-gayut di dahan-dahan cenderai itu. Buah-buah cenderai yang bertangkai-tangkai itu saya ragut begitu saya, ada yang lekat di tangan tapi banyak pula yang luruh ke tanah. Saya kutip buah-buah cenderai itu, masukkan dalam poket seluar. Yang mana masak saya masukkan ke mulut, kunyah-kunyah, telan manisannya dan hampasnya diluah ke tanah. Ayam-ayam mak yang beberapa ekor itu akan terpa celapak memagut-magut hampas cenderai. Yang mana putik saya masukkan dalam poket seluar, buat peluru cakpelong.

 

Selepas itu saya akan ke bendang. Angkat kail yang semalam dipacak di batas bendang. Kail-kail yang dipacak biasanya tak kurang dari sepuluh batang. Kail kami biasanya diperbuat dari batang buluh, ada juga dari batang bemban. Dan biasanya juga, rezeki saya murah, daripada 10 batang kail itu sekurang-kurangnya 4 atau 5 batang mesti dimakan ikan. Biasanya ikan keli sawah. Kecil tapi sangat sedap kalau digulai atau digoreng. Jika ada keli yang besar sedikit tersangkut di mata kail, saya akan melaung Kak Chik. Saya tak berapa berani nak membuka mata kail dari ikan keli yang besar-besar. Telinganya bersengat. Tajam dan bisa. Saya pernah terkena sengat keli. Bisanya bawa ke perdu bahu. Pedih dan lenguh juga dua tiga hari sementara bisanya surut. Kalau saya melaung kuat-kuat begitu biasanya Kak Chik akan berlari datang. Pondok kami berada di kawasan yang agak tinggi sedikit dari bendang. Untuk naik ke kawasan pondok abah takah-takahkan tanah dijadikan anak-anak tangga. Kak Chik akan berlari turun ke bendang, ikut anak-anak tangga itu, lompat caruk kecil yang memisahkan kawasan bendang dengan kawasan darat dan terpa tolong saya membuka mata kail di mulut keli. Atau kalau keli besar sangat, dan Kak Chik sendiripun tak berani buka mata kail dari mulut keli, saya akan berlari naik ke pondok dengan ikan keli yang masih tersangkut di mata kail dan minta tolong emak yang buka. Tapi biasanya pagi-pagi begitu emak tak ada dirumah, selepas kami semua menyeruk emak akan ke kebun menorah getah atau ke kebun belakang rumah menanam apa saja. Emak suka menanam. Paling banyak ditanam adalah pokok ulam dan sayuran. Ada kacang panjang, kacang sireh, petola, cabai burung, serai, lengkuas dan apa-apa lagilah.

 

Bila tengah hari sedikit saya akan merayau-rayau,mengail atau mencari emak di kebun sayurnya. Atau saya akan mengajak Kak Chik menebang tebu untuk saya. Tebu itu kemudiannya akan saya gongong sampai ke petang. Kemudiannya selepas makan tengah hari, berlaukkan ikan keli atau haruan atau pelanduk atau burung yang ditangkap abah, saya akan mengikut abah ke sawah, saya akan melihat abah melakukan kerja di sawah sambil saya bermain apa saja. Tetapi sebetulnya saya lebih suka berkhayal. Jika ada helikopter melintas udara saya akan berangan bahawa sayalah yang memandu helikopter tersebut dan berperang dengan komunis, jika ternampak monyet bermain-main dipokok-pokok di tepi bendang, saya akan berkhayal yang monyet-monyet itu sedang menanti-nanti peluang untuk menyerang pondok kecil kami dan menangkap adik saya yang masih kecil lalu saya akan bersedia dengan buluh kecil menanti serangan monyet-monyet tersebut. Atau selalu juga sambil menanti abah di bendang saya akan memancing atau sekali-sekala bersama-sama Kak Chik bermain layang-layang. Abahlah yang akan membuat layang-layang kami dari kertas yang rangkanya daripada bilah-bilah buluh. Dan petangnya kami akan mandi telaga. Telaga itu agak dalam, airnya sejuk dan wangi  Pernah dalam satu kejadian saya jatuh ke dalam telaga. Insyaallah akan saya bercerita kejadian itu kelak. Insyaallah.

 

Disitulah zaman awal kanak-kanak saya. Seingat saya, di kawasan pingggir rimba itulah saya mengenal zaman kanak-kanak saya. Satu zaman serba indah, meskipun serba daif. Satu zaman yang pendek tempohnya namun sangat manis untuk dikenang.

 

Entah apa sebabnya malam ini kenangan-kenangan itu datang lagi memesrai saya. Kenangan-kenangan itu datang pula dalam bentuk mimpi. Saya termimpikan pondok kecil kami yang telah menjadi sejarah itu. Saya bermimpi Kak Chik berlari turun dari pondok kecil kami membantu saya tanggalkan ikan keli pada kail. Saya mimpikan lagi pokok cenderai besar agam di depan pondok. Saya bermimpi mandi air telaga di tepi caruk kecil kami. Saya bermimpikan arwah abah meranduk banjir membuang reba buluh dan sampah di bendang kami. Saya bermimpi semua itu, dan kemudiannya saya terjaga. Saya terjaga dan mendapati diri saya kini bukan kanak-kanak lagi. Bukit Juang terlalu jauh saya tinggalkan. Saya dapati diri ini terlalu jauh dari daerah kelahiran. Saya terjaga dan mendapati saya berada di tempat yang terlalu asing. Tempat yang tak punya bendang, tak punya pokok cenderai, tak punya caruk, tak punya telaga. Saya terjaga dan mendapati bahwasanya abah telah lama meninggalkan dunia ini, meninggalkan Bukit Juang yang diterokainya. Saya terjaga dan mendapati emak berada sangat jauh, dan makin dimamah usia. Emak tak lagi bercucuk tanam di kebunnya yang tercinta itu. Saya terjaga dan saya sebak mengenangkan keindahan zaman kanak-kanak saya yang walaupun serba daif namun sangat indah. Dan dalam sebak yang begitu saya menaip coretan ini.

 

Salam hormat.



Disumbangkan pada 5:52:26 PM • Lihat komen (11) / Tambah komen


Jumaat, 7 Ogos 2009
Menjadi Abadi

 

 

Menulis ialah satu percubaan manusia untuk menjadi abadi. Begitulah lebih kurang satu kenyataan yang pernah saya baca, entah dari siapa. Mungkin dari Baha Zain atau Muhammad Hj Salleh. Kenyataan itu begitu melekat dalam ingatan saya sewaktu saya membaca, terutamanya karya-karya sastera dari penulis-penulis yang telah lama meninggalkan dunia ini.

 

Manusia sama ada secara sedar atau tidak mempunyai satu keinginan untuk abadi, dalam erti kata manusia tidak  mahu kehidupannya di atas muka bumi ini berakhir tanpa tanda. Berakhir sia-sia. Sebolehnya manusia ingin mengelak dari mati, namun kematiaan adalah terlalu berkuasa untuk dielakkan. Sebolehnya manusia tidak mahu kehilangan dirinya, hilang kesedaran dirinya, hilang pengalaman dirinya, hilang akal fikiran, imaginasi, rasa dan semua yang membentuk peribadinya. Manusia secara asasnya inginkan keabadian. Namun dia tahu, dia tidak akan abadi. Lalu dicarinya cara untuk mengabadikan dirinya.

 

Raja-raja agung zaman-zaman purba mengerah seluruh rakyat membina patung-patung, atau monument-monumen yang pejal agam yang pada perkiraannya tidak akan hilang ditelan waktu bagi memenuhkan keinginannya tentang keabadian itu. Firaun-firaun Mesir mengarahkan tubuh mereka diawet dan disemadikan di piramid-piramid yang besar kukuh bagi tujuan yang sama. Pemimpin-pemimpin negara, dahulu dan kini mengarahkan pembinaan monument-monumen gergasi dan bertaraf mega. Wajah-wajah mereka dipotret, diukir dan dipatungkan. Semua percubaan ini menjurus kepada satu tujuan yang sama iaitu sebagai percubaan terakhir untuk menjadi abadi, walaupun hanya sekadar diwakilkan kepada benda-benda yang pada perkiraan mereka dapat bertahan lebih panjang daripada usia kehidupan mereka. Mereka mahu supaya diri mereka dikenang oleh manusia-manusia akan datang. Mereka mahu imej tentang diri mereka terselit dalam ingatan manusia-manusia selepas zaman mereka. Mereka ingin abadi, walaupun hanya sekadar dalam ingatan manusia-manusia selepas mereka.

 

Anehnya percubaan-percubaan mereka itu berjaya. Kita akan teringatkan firaun apabila melihat piramid, kita terkenangkan Shah Jehan apabila melihat Taj Mahal, kita terkenangkan Napoleon bila melihat Arc de Triomphe dan satu hari nanti pasti kita terkenangkan Mahathir Mohammad bila melihat Putrajaya.

 

Namun, apakah dengan pembinaan monumen, patung dan gambar kita dapat menjadi akrab dengan mereka? Sukar untuk kita mengesahkan kenyataan begitu. Mereka mungkin berjaya meninggalkan satu imej tak terpadam tentang sosok mereka di dalam ingatan kita, namun jauh dari merasa akrab dengan mereka. Mereka mungkin wujud dalam ingatan kita namun mereka tetap milik zaman mereka. Jauh dari kita. Mereka hanya wujud dalam bayang-bayangan kita tetapi mereka tak punya pengaruh dalam perlakuan, pemikiran dan tindak-tanduk kita.

 

Cuba bayangkan individu-individu lain. Karl Marx, Ghazali, Eistein, Ibnu Khaldun ataupun John Locke. Individu-individu ini adalah pemuka-pemuka zaman mereka, idea dan pemikiran mereka merubah zaman mereka dan secara tidak langsung memberi kesan terhadap kehidupan kita kini. Mereka juga berjaya menjadi abadi dalam pemikiran kita. Bukan sosok jasad mereka yang wujud dalam ingatan kita namun idea, pemikiran dan ilmu mereka hidup dalam diri kita. Bagaimana mereka melakukan? Mereka menulis, atau idea dan pemikiran mereka ditulis kembali oleh pengikut-pengikut mereka. Kita mengenal mereka dalam bentuk pemikiran mereka dan ianya sedikit sebanyak mempengaruhi kita, mempengaruhi pemikiran, perlakuan dan tindak-tanduk kita hari ini. Pemikiran mereka wujud dalam diri kita, dan akan terus wujud dalam diri generasi-generasi akan datang. Mereka berjaya mengabadikan kewujudan mereka. Kewujudan mereka di atas muka bumi ini disahkan oleh pemikiran mereka yang meresap ke dalam diri generasi-generasi selepas mereka. Beratus-ratus tahun selepas kematian jasad mereka. Namun sekali lagi, adakah kita menjadi akrab dengan mereka. Adakah kita merasakan mereka adalah sahabat-sahabat yang berbisik-bisik dan berkongsi rahsia hidup mereka dengan kita? Apakah kita merasakan kesepian dan rindu mereka? Apakah kita mengenal benci dan marah mereka? Sekali lagi kita sukar untuk berkata ‘Ya’. Kita hanya mengutip pemikiran mereka tapi kita kehilangan emosi mereka. Idea mereka abadi dalam diri kita, namun perasaan mereka hilang dipupuskan masa. Emosi dan jiwa mereka sirna bersama-sama jasad mereka.

 

Manusia terdiri dari 2 elemen penting yang membentuk diri sebagai individu yang hidup. Jasad dan roh. Terpencar dari dua elemen ini ialah segala sistem yang menyempurnakan kewujudannya, yang paling utama tentulah akal dan emosi. Tanpa kedua-duanya kewujudan manusia tidak lebih dari satu jenis benda hidup di antara ribuan benda hidup di atas muka bumi ini sahaja.

 

Bagaimana pula persepsi kita dalam mengenal Basho, Kafka, Hemingway, Jalaluddin Rumi, Camus atau Chairil Anwar. Apakah mereka abadi dalam diri kita? Saya merasakan begitu setiap kali membaca karya-karya mereka. Kita merasakan mereka sangat akrab. Mereka berbisik dan bercerita, sesekali menjerit dan menangis. Saya sentiasa membayangkan Chairil mendepangkan kedua tangan ke langit sambil menjerit ‘Aku mahu hidup seribu tahun lagi!”, sewaktu membaca puisinya yang terkenal itu, saya sentiasa merasa dekat dengan Eliot dan mendengar dia bercerita tentang keresahan zaman dan sejarah dalam bahasa yang sangat berseni sewaktu membaca ‘The Waste Land’ dan saya dapat merasakan rindu dan getar hati Rumi sewaktu membaca masnawinya itu. Emosi, jiwa, perasaan dan sekaligus pemikiran mereka meresap jauh ke batin sewaktu dan selepas kita membaca tulisan-tulisan mereka. Jiwa dan roh yang tadinya sirna sewaktu kita berhadapan dengan Marx ataupun Weber ataupun Locke muncul sewaktu kita berhadapan dengan Whiltman ataupun Usman Awang. Kita mendengar bisikan mereka, kita mendengar jeritan mereka dan sekaligus kita mengenal mereka dengan sosok yang lebih sempurna sebagai manusia yang pernah hidup.

 

Jadi, mengenang kembali kata-kata Baha Zain atau Muhammad Haji Salleh itu ‘Menulis ialah satu percubaan manusia menjadi abadi’ (maaf, saya masih tidak dapat mengingat siapakah di antara keduanya yang pernah mengungkapkan kenyataan tersebut) kita tidak dapat tidak akan mengakui kebenaran kata-kata itu. Dan lagi, jika keabadian yang manusia inginkan itu adalah bersifat lebih lengkap, maka tidak dapat tidak kita juga akan mengakui bahawa tulisan-tulisan kreatif mempunyai upaya yang lebih untuk mengambil peranan tersebut. Atau untuk lebih sempurna, kita mungkin perlu menulis  kedua-duanya. Kreatif dan non-kreatif. Seperti Iqbal, seperti Tolstoy seperti  A. Samad Ismail ataupun seperti Wan Abu Bakar Bin Wan Abas. ; )

 



Disumbangkan pada 3:09:48 PM • Lihat komen (6) / Tambah komen


Khamis, 16 Julai 2009
Nur Qaseh Humaira
Photobucket

Tak ada bahasa yg terucap selain sejuta syukur kepada Nya atas limpah rahmat Nya.

Nur Qaseh Humaira bt Abdul Aziz selamat dilahirkan pada 5 Julai 2009 jam 2.32 petang di Hospital Putrajaya melalui kaedah cesarean.
Alhamdulillah, bayi dan ibu selamat semuanya walaupun air mata saya begitu mudah untuk tumpah pada petang itu.

Ada rasa sepi paling sunyi menyelinap jauh di dasar sukma bila pertama kali menatap bayi yang dibawa keluar dari bilik bedah oleh jururawat dan menyerahkan kepada saya untuk diazankan. Ada rasa pilu paling sendu dalam jiwa melihat isteri dibawa keluar dari bilik bedah dalam keadaan separuh sedar. 

Benar, bahasa tak lagi punya makna ketika itu, cukup dengan bening mata isteri dan lembut wajah bayi telah mengheret jiwa ke ruang-ruang yang tak pernah terteroka.

Maha Besar Tuhan. Maha Agung Dia.

Nur Qaseh Humaira

Disumbangkan pada 11:48:19 PM • Lihat komen (16) / Tambah komen


Selasa, 19 Mei 2009
May 2009

Salam hormat,

Pun kata orang, menulis bukan kerja mudah, lagi-lagi menulis karya kreatif, berlipat-lipat susahnya. Lebih susah lagi jika 'kerja menulis' itu terlalu lama ditinggalkan, dibiar terperosok di sudut bilik malap. Jarang-jarang amat bilik malap pengap itu dibuka, dicuci kotor habuknya, dianginkan, dimataharikan. Lalunya 'kerja menulis' yang terperap itu makin lama makin kusam, makin hilang seri, makin berkulat, makin berkarat.

Tapi dek kerana 'kerja menulis' itu tetap merupakan bahagian jiwanya yang sukar terpisah, setelah sebegitu sedih layaknya 'kerja menulis' itu diperlakukan, ditidakperdulikan dan diperosok di sudut-sudut malap pengap, dia kemudiannya seperti tersedar dari halusinasi tahap tinggi tiba-tiba pula bingkas bangun dari enaknya tidur, tertaba-raba, tercungap-cungap mencari 'kerja menulis' itu.

Padan muka dia, apabila setelah puas mencari 'kerja menulis' itu tak juga dijumpai. Puas dicarinya serata ruang. Diselaknya bawah-bawah tikar, celah-celah  kain baju di dalam almari, belakang langsir, belakang almari, di bawah timbunan surat khabar lama, di seantero ruang habis diteroka. Namun hasilnya nil. Dia makin tak keruan, maka bergulinglah dia kiri dan kanan, melompat duduk melompat berdiri melompat lagi, tak juga diketemukan 'kerja menulis' itu.

Oleh kerana 'kerja menulis' itu adalah sebagian jiwanya, keghaiban 'kerja menulis' disaat-saat dia sangat inginkannya membuat dia langsung menjadi panas baran. Habis segala pasu bunga, periuk belanga, bingkai gambar, mesin pemanas air, rak kasut dan lain-lain barang mudah angkat dilemparnya tak ketahuan tuju. Berkecai derai segala benda yang  tercapai olehnya.

Habis semua itu, bahkan ditambah lagi dengan habis segala pamplet-pamflet dikoyak dicariknya, dia lelah. Benar-benar lelah. Terduduk. Terjelepuk. Terperosok.

Dia benar-benar lelah, tersudut di bilik yang malap pengap. Dia seakan mahu menangis, tapi hatinya sudah tidak punya emosi hiba untuk diairmatakan. Yang ada padanya satu rasa sepi, rasa sepi yang mencengkam ke tulang-tulang hitam. Rasa sepi, rasa sendiri yang membawanya terbang entah ke mana. Entah ke ruang maha gelap di dasar laut atau di ruang maha gelap di ruang cakerawala. Dia sepi. Dia sunyi. Dia sendiri.

'Kerja menulis' ketawa dan menangis sekaligus... 



Disumbangkan pada 10:50:30 AM • Lihat komen (14) / Tambah komen


Isnin, 22 Disember 2008
HESCOM 2008
Tahniah kepada pengasas esastera serta seluruh AJK Hescom 2008 atas kejayaan menganjurkan majlis yang sy pasti sgt meriah. Tahniah kepada para pemenang, tahniah juga kepada semua warga esastera yang hadir pada malam itu. Kejayaan menganjurkan Hescom saban tahun membuktikan visi jelas serta komitmen jitu pecinta sastera melayu dlm upaya menyebar luaskan sastera melayu di kalangan masyarakat melalui medium siber. Maaf dipohon kpd rakan-rakan esastera atas ketidak hadiran saya pada malam itu. Keperluan tanggungjawab dlm kursus yang sedang saya ikuti memustahilkan saya untuk turut serta. Apapun saya tumpang gembira mengetahui majlis berjalan lancar dan meriah. Insyaallah,selesai kursus saya pada bulan April depan saya akan kembali aktif di esastera..salam hormat buat sahabat2 semua

Disumbangkan pada 6:05:47 PM • Lihat komen (5) / Tambah komen




Mukasurat dari 3


Hakcipta © 2005 eSastera Enterprise • Kemaskini terakhir 4/8/2010 3:46:50 PM • Bilangan pelawat 5799