| Khamis, 22 April 2010 |
TEMBOK DIRI
BENARLAH, kadang-kadang tembok penghadang tidak sekuat mana walaupun pada zahirnya ia kelihatan kukuh dan teguh. Ini kerana tembok itu bikinan manusia, hasil fikiran dan kederat manusia. Walau sesasa mana manusia itu, ia hanyalah kederat manusia!
Tembok yang sekian lama menjadi kubu mengelak dari segala ancaman musuh perlahan-lahan sudah runtuh. Di sana sini sudah berlubang lantas memberi ruang kepada segala musuh menyeronot masuk ke dalam. Memberi kesempatan kepada musuh untuk menilai kekuatan yang selama ini dilihat amat kebal!
Lalu berpestalah para musuh yang berjaya memasuki kubu itu. Terus merancang bagaimana untuk merobohkan tembok itu supaya kekebalan yang selama ini tidak dapat ditembusi akan lenyap begitu sahaja. Lantas akan memudahkan segala kerja jahat yang bakal dilakukan kemudian nanti. Ayuh!!!!
* * * * * * * * * * * * * * *
Aku bangun pagi ini dalam samar subuh menikmati nyaman yang berlainan sama sekali dari kebiasaan. Udara yang kusedut terasa nikmat yang teramat. Bayu yang berpuput amat dingin seakan menyahkan segala kepanasan tubuhku. Melihat arah timur tika mentari memunculkan dirinya bagai ada suatu kekuatan baharu. Aku amat terkesan sekali. Bukan seperti kebiasaan.
Burung-burung berterbangan dengan kicau riang bagai menerbangkan kerisauan yang sendat di mindaku selama ini. Bawalah bersama terbangmu itu wahai burung, aku izinkan. Lemparkan jauh-jauh ke daerah usang tanpa penghuni, biar kerisauan itu tidak pulang lagi dan mati beragan tanpa nesan di daerah itu! Biarkan!
Aku bersyukur! Teramat bersyukur!!
|
|
Disumbangkan pada 11:08:33 AM
Lihat komen (0) / Tambah komen
|