May 2009
Salam hormat,
Pun kata orang, menulis bukan kerja mudah, lagi-lagi menulis karya kreatif, berlipat-lipat susahnya. Lebih susah lagi jika 'kerja menulis' itu terlalu lama ditinggalkan, dibiar terperosok di sudut bilik malap. Jarang-jarang amat bilik malap pengap itu dibuka, dicuci kotor habuknya, dianginkan, dimataharikan. Lalunya 'kerja menulis' yang terperap itu makin lama makin kusam, makin hilang seri, makin berkulat, makin berkarat.
Tapi dek kerana 'kerja menulis' itu tetap merupakan bahagian jiwanya yang sukar terpisah, setelah sebegitu sedih layaknya 'kerja menulis' itu diperlakukan, ditidakperdulikan dan diperosok di sudut-sudut malap pengap, dia kemudiannya seperti tersedar dari halusinasi tahap tinggi tiba-tiba pula bingkas bangun dari enaknya tidur, tertaba-raba, tercungap-cungap mencari 'kerja menulis' itu.
Padan muka dia, apabila setelah puas mencari 'kerja menulis' itu tak juga dijumpai. Puas dicarinya serata ruang. Diselaknya bawah-bawah tikar, celah-celah kain baju di dalam almari, belakang langsir, belakang almari, di bawah timbunan surat khabar lama, di seantero ruang habis diteroka. Namun hasilnya nil. Dia makin tak keruan, maka bergulinglah dia kiri dan kanan, melompat duduk melompat berdiri melompat lagi, tak juga diketemukan 'kerja menulis' itu.
Oleh kerana 'kerja menulis' itu adalah sebagian jiwanya, keghaiban 'kerja menulis' disaat-saat dia sangat inginkannya membuat dia langsung menjadi panas baran. Habis segala pasu bunga, periuk belanga, bingkai gambar, mesin pemanas air, rak kasut dan lain-lain barang mudah angkat dilemparnya tak ketahuan tuju. Berkecai derai segala benda yang tercapai olehnya.
Habis semua itu, bahkan ditambah lagi dengan habis segala pamplet-pamflet dikoyak dicariknya, dia lelah. Benar-benar lelah. Terduduk. Terjelepuk. Terperosok.
Dia benar-benar lelah, tersudut di bilik yang malap pengap. Dia seakan mahu menangis, tapi hatinya sudah tidak punya emosi hiba untuk diairmatakan. Yang ada padanya satu rasa sepi, rasa sepi yang mencengkam ke tulang-tulang hitam. Rasa sepi, rasa sendiri yang membawanya terbang entah ke mana. Entah ke ruang maha gelap di dasar laut atau di ruang maha gelap di ruang cakerawala. Dia sepi. Dia sunyi. Dia sendiri.
'Kerja menulis' ketawa dan menangis sekaligus...
|