Menjadi Abadi
Menulis ialah satu percubaan manusia untuk menjadi abadi. Begitulah lebih kurang satu kenyataan yang pernah saya baca, entah dari siapa. Mungkin dari Baha Zain atau Muhammad Hj Salleh. Kenyataan itu begitu melekat dalam ingatan saya sewaktu saya membaca, terutamanya karya-karya sastera dari penulis-penulis yang telah lama meninggalkan dunia ini.
Manusia sama ada secara sedar atau tidak mempunyai satu keinginan untuk abadi, dalam erti kata manusia tidak mahu kehidupannya di atas muka bumi ini berakhir tanpa tanda. Berakhir sia-sia. Sebolehnya manusia ingin mengelak dari mati, namun kematiaan adalah terlalu berkuasa untuk dielakkan. Sebolehnya manusia tidak mahu kehilangan dirinya, hilang kesedaran dirinya, hilang pengalaman dirinya, hilang akal fikiran, imaginasi, rasa dan semua yang membentuk peribadinya. Manusia secara asasnya inginkan keabadian. Namun dia tahu, dia tidak akan abadi. Lalu dicarinya cara untuk mengabadikan dirinya.
Raja-raja agung zaman-zaman purba mengerah seluruh rakyat membina patung-patung, atau monument-monumen yang pejal agam yang pada perkiraannya tidak akan hilang ditelan waktu bagi memenuhkan keinginannya tentang keabadian itu. Firaun-firaun Mesir mengarahkan tubuh mereka diawet dan disemadikan di piramid-piramid yang besar kukuh bagi tujuan yang sama. Pemimpin-pemimpin negara, dahulu dan kini mengarahkan pembinaan monument-monumen gergasi dan bertaraf mega. Wajah-wajah mereka dipotret, diukir dan dipatungkan. Semua percubaan ini menjurus kepada satu tujuan yang sama iaitu sebagai percubaan terakhir untuk menjadi abadi, walaupun hanya sekadar diwakilkan kepada benda-benda yang pada perkiraan mereka dapat bertahan lebih panjang daripada usia kehidupan mereka. Mereka mahu supaya diri mereka dikenang oleh manusia-manusia akan datang. Mereka mahu imej tentang diri mereka terselit dalam ingatan manusia-manusia selepas zaman mereka. Mereka ingin abadi, walaupun hanya sekadar dalam ingatan manusia-manusia selepas mereka.
Anehnya percubaan-percubaan mereka itu berjaya. Kita akan teringatkan firaun apabila melihat piramid, kita terkenangkan Shah Jehan apabila melihat Taj Mahal, kita terkenangkan Napoleon bila melihat Arc de Triomphe dan satu hari nanti pasti kita terkenangkan Mahathir Mohammad bila melihat Putrajaya.
Namun, apakah dengan pembinaan monumen, patung dan gambar kita dapat menjadi akrab dengan mereka? Sukar untuk kita mengesahkan kenyataan begitu. Mereka mungkin berjaya meninggalkan satu imej tak terpadam tentang sosok mereka di dalam ingatan kita, namun jauh dari merasa akrab dengan mereka. Mereka mungkin wujud dalam ingatan kita namun mereka tetap milik zaman mereka. Jauh dari kita. Mereka hanya wujud dalam bayang-bayangan kita tetapi mereka tak punya pengaruh dalam perlakuan, pemikiran dan tindak-tanduk kita.
Cuba bayangkan individu-individu lain. Karl Marx, Ghazali, Eistein, Ibnu Khaldun ataupun John Locke. Individu-individu ini adalah pemuka-pemuka zaman mereka, idea dan pemikiran mereka merubah zaman mereka dan secara tidak langsung memberi kesan terhadap kehidupan kita kini. Mereka juga berjaya menjadi abadi dalam pemikiran kita. Bukan sosok jasad mereka yang wujud dalam ingatan kita namun idea, pemikiran dan ilmu mereka hidup dalam diri kita. Bagaimana mereka melakukan? Mereka menulis, atau idea dan pemikiran mereka ditulis kembali oleh pengikut-pengikut mereka. Kita mengenal mereka dalam bentuk pemikiran mereka dan ianya sedikit sebanyak mempengaruhi kita, mempengaruhi pemikiran, perlakuan dan tindak-tanduk kita hari ini. Pemikiran mereka wujud dalam diri kita, dan akan terus wujud dalam diri generasi-generasi akan datang. Mereka berjaya mengabadikan kewujudan mereka. Kewujudan mereka di atas muka bumi ini disahkan oleh pemikiran mereka yang meresap ke dalam diri generasi-generasi selepas mereka. Beratus-ratus tahun selepas kematian jasad mereka. Namun sekali lagi, adakah kita menjadi akrab dengan mereka. Adakah kita merasakan mereka adalah sahabat-sahabat yang berbisik-bisik dan berkongsi rahsia hidup mereka dengan kita? Apakah kita merasakan kesepian dan rindu mereka? Apakah kita mengenal benci dan marah mereka? Sekali lagi kita sukar untuk berkata ‘Ya’. Kita hanya mengutip pemikiran mereka tapi kita kehilangan emosi mereka. Idea mereka abadi dalam diri kita, namun perasaan mereka hilang dipupuskan masa. Emosi dan jiwa mereka sirna bersama-sama jasad mereka.
Manusia terdiri dari 2 elemen penting yang membentuk diri sebagai individu yang hidup. Jasad dan roh. Terpencar dari dua elemen ini ialah segala sistem yang menyempurnakan kewujudannya, yang paling utama tentulah akal dan emosi. Tanpa kedua-duanya kewujudan manusia tidak lebih dari satu jenis benda hidup di antara ribuan benda hidup di atas muka bumi ini sahaja.
Bagaimana pula persepsi kita dalam mengenal Basho, Kafka, Hemingway, Jalaluddin Rumi, Camus atau Chairil Anwar. Apakah mereka abadi dalam diri kita? Saya merasakan begitu setiap kali membaca karya-karya mereka. Kita merasakan mereka sangat akrab. Mereka berbisik dan bercerita, sesekali menjerit dan menangis. Saya sentiasa membayangkan Chairil mendepangkan kedua tangan ke langit sambil menjerit ‘Aku mahu hidup seribu tahun lagi!”, sewaktu membaca puisinya yang terkenal itu, saya sentiasa merasa dekat dengan Eliot dan mendengar dia bercerita tentang keresahan zaman dan sejarah dalam bahasa yang sangat berseni sewaktu membaca ‘The Waste Land’ dan saya dapat merasakan rindu dan getar hati Rumi sewaktu membaca masnawinya itu. Emosi, jiwa, perasaan dan sekaligus pemikiran mereka meresap jauh ke batin sewaktu dan selepas kita membaca tulisan-tulisan mereka. Jiwa dan roh yang tadinya sirna sewaktu kita berhadapan dengan Marx ataupun Weber ataupun Locke muncul sewaktu kita berhadapan dengan Whiltman ataupun Usman Awang. Kita mendengar bisikan mereka, kita mendengar jeritan mereka dan sekaligus kita mengenal mereka dengan sosok yang lebih sempurna sebagai manusia yang pernah hidup.
Jadi, mengenang kembali kata-kata Baha Zain atau Muhammad Haji Salleh itu ‘Menulis ialah satu percubaan manusia menjadi abadi’ (maaf, saya masih tidak dapat mengingat siapakah di antara keduanya yang pernah mengungkapkan kenyataan tersebut) kita tidak dapat tidak akan mengakui kebenaran kata-kata itu. Dan lagi, jika keabadian yang manusia inginkan itu adalah bersifat lebih lengkap, maka tidak dapat tidak kita juga akan mengakui bahawa tulisan-tulisan kreatif mempunyai upaya yang lebih untuk mengambil peranan tersebut. Atau untuk lebih sempurna, kita mungkin perlu menulis kedua-duanya. Kreatif dan non-kreatif. Seperti Iqbal, seperti Tolstoy seperti A. Samad Ismail ataupun seperti Wan Abu Bakar Bin Wan Abas. ; )
|