Mengenang kembali keindahan itu...
Waktu itu tak ada snek untuk dikunyah, tak ada cekedi tak ada keropok untuk dimamah-mamah. Gula-gula getah jauh sekali. Tapi, bukan tak ada dalam erti sebenarnya tak ada. cumanya tak ada dalam erti kata sangat terbatas, khasnya untuk kami. Jika balik ke kampung memang adalah semua-semua itu, tapi entahlah, saya tak berminat sangat dengan makanan-makanan ringan yang perlu dibeli itu. Duitpun bukannya ada untuk beli semua-semua itu. Cumanya sekali-sekala kalau abah ada duit lebih, dibelinya kami keropok cap ayam bapak. Sebungkus 5 sen. Seingat sayalah.
Kami sekeluarga di Bukit Juang, kawasan sawah padi, kawasan getah, kawasan belukar, kawasan rimba di pingggir kampung kami. Abah memugar bendang, menanam getah di tanah beberapa relung di situ. Di pinggir rimba itu abah dirikan pondok. Pondok kami kecil, berdindingkan buluh, berlantaikan papan dan beratapkan nipah. Tiangnya dari kayu bulat. Ada jemuran di depan dan belakang rumah.
Di pinggir rimba itu apalah yang ada. Jangan dikata snek atau gula-gula atau cekedi atau keropok, bahkan kedai runcitpun tak pernah wujud di situ. Sekali-sekala bila pulang ke kampung, ke rumah Ta, adalah juga saya ke kedai, mengikut mak. Tapi tak pula saya ingat pernah membeli apa-apa, mungkin adalah mak belikan keropok cap ayam bapak atau ais krim Malaysia. Mungkin adalah, tapi tak pula saya ingat.
Tapi saya punya gula-gula sendiri, saya punya cekedi sendiri. Semuanya enak-enak, lazat-lazat belaka, dan yang pentingnya gula-gula, cekedi-cekedi saya itu tak satupun perlu dibeli. Semuanya pemberian alam, semuanya hasil hutan yang tumbuh disekeliling kami. Ada cenderai, ada buah rotan, ada biji janggus, ada tebu dan macam-macam lagi. Yang saya ingat betul-betul adalah buah cenderai. Bulat-bulat, kecil sebesar kacang-kacang pada roda basikal. Hijau waktu putik dan hitam waktu masak. Buah cenderai itulah yang jadi kesukaan saya. Masam manis kelat rasanya. Dikebam-kebam, dikunyah-kunyah untuk menikmati rasanya yang lazat sangat itu. Sebenarnya bukan isinya yang lazat, cenderai tak ada isipun, cuma campuran dari kulit dan air liur kitalah yang membuatnya lazat. Dan bijinya pula diluah begitu saja.
Ada sepokok cenderai besar agam didepan pondok kami. Saya ingat betul pokok cenderai sebatang itu. Batangnya besar, dahannya bercabang-cabang. Daunnya hijau dan lebat. Pokok cenderai besar agam itulah yang jadi peneduh halaman pondok kecil kami. Dibelakangnya terbentang bendang beberapa petak, baruh dan santak ke bukit-bukau yang memagar kawasan bendang-bendang itu. Pagi-pagi, selepas bangun, basuh mata lebih kurang, saya suka benar mencangkung tutup badan dan kepala dengan kain sentung di atas jemuran pondok kami sambil memerhatikan burung-burung kecil berciap-ciap terbang lompat terbang lompat di dahan cenderai. Mematuk-matuk cenderai-cenderai masak itu.
Sebentar emak akan panggil, menyeruk. Biasanya ubi rebus dan kopi ‘o’ pekat. Kadang-kadang pulut tanak, atau nasi goreng berlaukkan keli atau haruan. Selepas itu, saya lagi ke pokok cenderai. Kali ini saya pula yang bergayut-gayut di dahan-dahan cenderai itu. Buah-buah cenderai yang bertangkai-tangkai itu saya ragut begitu saya, ada yang lekat di tangan tapi banyak pula yang luruh ke tanah. Saya kutip buah-buah cenderai itu, masukkan dalam poket seluar. Yang mana masak saya masukkan ke mulut, kunyah-kunyah, telan manisannya dan hampasnya diluah ke tanah. Ayam-ayam mak yang beberapa ekor itu akan terpa celapak memagut-magut hampas cenderai. Yang mana putik saya masukkan dalam poket seluar, buat peluru cakpelong.
Selepas itu saya akan ke bendang. Angkat kail yang semalam dipacak di batas bendang. Kail-kail yang dipacak biasanya tak kurang dari sepuluh batang. Kail kami biasanya diperbuat dari batang buluh, ada juga dari batang bemban. Dan biasanya juga, rezeki saya murah, daripada 10 batang kail itu sekurang-kurangnya 4 atau 5 batang mesti dimakan ikan. Biasanya ikan keli sawah. Kecil tapi sangat sedap kalau digulai atau digoreng. Jika ada keli yang besar sedikit tersangkut di mata kail, saya akan melaung Kak Chik. Saya tak berapa berani nak membuka mata kail dari ikan keli yang besar-besar. Telinganya bersengat. Tajam dan bisa. Saya pernah terkena sengat keli. Bisanya bawa ke perdu bahu. Pedih dan lenguh juga dua tiga hari sementara bisanya surut. Kalau saya melaung kuat-kuat begitu biasanya Kak Chik akan berlari datang. Pondok kami berada di kawasan yang agak tinggi sedikit dari bendang. Untuk naik ke kawasan pondok abah takah-takahkan tanah dijadikan anak-anak tangga. Kak Chik akan berlari turun ke bendang, ikut anak-anak tangga itu, lompat caruk kecil yang memisahkan kawasan bendang dengan kawasan darat dan terpa tolong saya membuka mata kail di mulut keli. Atau kalau keli besar sangat, dan Kak Chik sendiripun tak berani buka mata kail dari mulut keli, saya akan berlari naik ke pondok dengan ikan keli yang masih tersangkut di mata kail dan minta tolong emak yang buka. Tapi biasanya pagi-pagi begitu emak tak ada dirumah, selepas kami semua menyeruk emak akan ke kebun menorah getah atau ke kebun belakang rumah menanam apa saja. Emak suka menanam. Paling banyak ditanam adalah pokok ulam dan sayuran. Ada kacang panjang, kacang sireh, petola, cabai burung, serai, lengkuas dan apa-apa lagilah.
Bila tengah hari sedikit saya akan merayau-rayau,mengail atau mencari emak di kebun sayurnya. Atau saya akan mengajak Kak Chik menebang tebu untuk saya. Tebu itu kemudiannya akan saya gongong sampai ke petang. Kemudiannya selepas makan tengah hari, berlaukkan ikan keli atau haruan atau pelanduk atau burung yang ditangkap abah, saya akan mengikut abah ke sawah, saya akan melihat abah melakukan kerja di sawah sambil saya bermain apa saja. Tetapi sebetulnya saya lebih suka berkhayal. Jika ada helikopter melintas udara saya akan berangan bahawa sayalah yang memandu helikopter tersebut dan berperang dengan komunis, jika ternampak monyet bermain-main dipokok-pokok di tepi bendang, saya akan berkhayal yang monyet-monyet itu sedang menanti-nanti peluang untuk menyerang pondok kecil kami dan menangkap adik saya yang masih kecil lalu saya akan bersedia dengan buluh kecil menanti serangan monyet-monyet tersebut. Atau selalu juga sambil menanti abah di bendang saya akan memancing atau sekali-sekala bersama-sama Kak Chik bermain layang-layang. Abahlah yang akan membuat layang-layang kami dari kertas yang rangkanya daripada bilah-bilah buluh. Dan petangnya kami akan mandi telaga. Telaga itu agak dalam, airnya sejuk dan wangi Pernah dalam satu kejadian saya jatuh ke dalam telaga. Insyaallah akan saya bercerita kejadian itu kelak. Insyaallah.
Disitulah zaman awal kanak-kanak saya. Seingat saya, di kawasan pingggir rimba itulah saya mengenal zaman kanak-kanak saya. Satu zaman serba indah, meskipun serba daif. Satu zaman yang pendek tempohnya namun sangat manis untuk dikenang.
Entah apa sebabnya malam ini kenangan-kenangan itu datang lagi memesrai saya. Kenangan-kenangan itu datang pula dalam bentuk mimpi. Saya termimpikan pondok kecil kami yang telah menjadi sejarah itu. Saya bermimpi Kak Chik berlari turun dari pondok kecil kami membantu saya tanggalkan ikan keli pada kail. Saya mimpikan lagi pokok cenderai besar agam di depan pondok. Saya bermimpi mandi air telaga di tepi caruk kecil kami. Saya bermimpikan arwah abah meranduk banjir membuang reba buluh dan sampah di bendang kami. Saya bermimpi semua itu, dan kemudiannya saya terjaga. Saya terjaga dan mendapati diri saya kini bukan kanak-kanak lagi. Bukit Juang terlalu jauh saya tinggalkan. Saya dapati diri ini terlalu jauh dari daerah kelahiran. Saya terjaga dan mendapati saya berada di tempat yang terlalu asing. Tempat yang tak punya bendang, tak punya pokok cenderai, tak punya caruk, tak punya telaga. Saya terjaga dan mendapati bahwasanya abah telah lama meninggalkan dunia ini, meninggalkan Bukit Juang yang diterokainya. Saya terjaga dan mendapati emak berada sangat jauh, dan makin dimamah usia. Emak tak lagi bercucuk tanam di kebunnya yang tercinta itu. Saya terjaga dan saya sebak mengenangkan keindahan zaman kanak-kanak saya yang walaupun serba daif namun sangat indah. Dan dalam sebak yang begitu saya menaip coretan ini.
Salam hormat.
|