Mati
Mati. Satu perkataan yang memberi seribu pengertian. Siapa yang tak takut mati?
Pertama sekali, takziah buat Cikgu Hasimah sekeluarga di atas pemergian ibu tersayang. Al-fatihah. Moga rohnya dicucuri rahmat.
Perkataan mati bagi aku bukanlah satu antonim bagi hidup. Lebih kepada sinonim. Kita hidup untuk mati. Persediaan. Hmm, susah nak jujur dalam membicarakan perkara ni.
Umur dan perjalanan hidup ini merupakan guru terbaik mengajar erti mati. Apabila kematian di depan mata, bila kau rasa dekatnya mati, bila kau lihat dan rasa kehilangan orang tersayang, bila kau melihat mereka yang ditinggalkan, pasti kau akan lebih mengerti.
Bila usia menanjak lanjut, pelbagai perkara yang perlu difikirkan. Suatu permasalahan dapat dilihat dari pelbagai sudut. Suatu permasalahan dianggap terlalu enteng jika dibandingkan dengan rahmat yang dipinjamkan-Nya.
Sorry, jika aku agak sensitif akan perihal ini. Mati. Aku selalu fikirkan tentangnya. Aku selalu merenung penghujung umurku. Sesungguhnya hanya 3 perkara dibawa oleh seorang muslim itu sesudah mati. Doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang disampaikan. Kiranya beruntung juga jadi pensyarah, diberi kesempatan memberi ilmu yang teramat sedikit ini untuk dimanfaatkan oleh pelajarku. Melihat mereka membesar, dari segi mental terutamanya memberikan kepuasan total bagiku. Aku doakan moga mereka berjaya dunia akhirat.
Kalau betul-betul nak rasa syahdu. Teringin nak rasa kerdilnya diri. Aku cadangkan kau pergi ke 2 tempat; hospital dan kubur. Kalau tak mampu, lihat sahaja muka ibu kalian. Kalau renung dalam-dalam, mahu menitis air mata. Besar sungguh pengorbanannya. Memang betullah sabda Rasulullah yang membenarkan ummi sebagai insan yang perlu didahulukan. Betullah kata pepatah, syurga itu di bawah kaki ibu.
Maaflah, kalau entri kali ni agak sentimental. Mati. Kalau aku pergi dulu, maafkan segala dosaku pada kalian.
|