Alhamdulillah...
"Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang hendak kamu dustakan?"
Kalau dulu, ayat ini tidaklah terlalu aku fikirkan. Terlalu banyak kali ditekankan. Selang satu ayat, maka diulang lagi ayat tersebut.
Bila dah 'tua' ni, benda-benda macam ni banyak bermain dalam fikiranku.
Minggu lepas, banyak juga benda baik berlaku padaku. Alhamdulillah, aku dapat lagi satu geran penyelidikan. Kali ini FRGS pula. Kiranya sekarang ni aku ada geran Jangka pendek dan eScience Fund. Nilai bersih lebih kurang RM 250 ribu. Tapi bukan nilai yang penting, tapi tanggungjawab yang turut terpikul di pundak mengatasi rasa ujub yang kadangkala cuba menyelinap tumbuh dalam atmaku.
"Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang hendak kamu dustakan?"
Aku jadi insaf akan kekerdilan diri. Betapa aku sering alpa dan lupa. Betapa masa yang menderas tanpa digunakan sebaik mungkin.
Minggu lepas, Akademi Sains Malaysia (ASM) menghantar email bagi meminta aku menjadi reviewer jurnal berkala terbitannya. Kiranya ini kali kedua aku menjadi reviewer. Seronok juga dapat membaca terbitan penyelidik muda di Malaysia. Yang mana boleh bantu tu, aku komenlah yang sepatutnya. Semoga hasil tangan penulis jurnal tersebut akan bertambah mutunya.
"Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang hendak kamu dustakan?"
Esok, pelajarku akan menduduki peperiksaan bagi subjekku, ENT 420 Biological System Modeling. Semoga semuanya dapat menjawab sebaik mungkin. Musim peperiksaan ini selalunya banyak dugaannya. Aku faham. Aku pun masih seorang pelajar. Sabarlah, usaha, doa dan tawakal sajalah. Itu sahaja yang mampu aku katakan.
Betullah kata Prof Wan dalam entri aku yang sebelumnya. Bab exam satu hal. Bab nak menanda skrip jawapan satu hal lagi. Perlukan kesabaran tahap tertinggi. Kadang-kadang tergelak. Kadang-kadang tergeleng kepala. Kadang-kadang termenung. Bahagian mana kita boleh bantu. Itulah aku katakan, Panadol jadi ubat wajib selepas menanda, minyak cap kapak menjadi teman di sisi. Pening. Hmm, mudah-mudahan kali ini mereka akan lebih cemerlang. Insya-Allah....
|